JAKARTA: Pengunduran Encik Gibran Rakabuming Raka, daripada jawatan Naib Presiden Indonesia bukan sekadar mewujudkan kekosongan dalam kepimpinan negara.

Malah, ia turut membuka ruang kepada Presiden Prabowo Subianto, menyusun semula struktur kuasa dalam pemerintahannya.

Selepas sekitar dua tahun mentadbir bersama anak sulung mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, Encik Prabowo kini berpeluang menentukan sendiri calon timbalannya bagi meneruskan agenda pembangunan negara sehingga 2029.

Keputusan Encik Prabowo mencalonkan Menteri Pertanian, Encik Andi Amran Sulaiman; dan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Sugiono, pada 23 November mencerminkan dua keperluan utama pemerintahannya – kestabilan politik dan keberkesanan pelaksanaan dasar.

Di sebalik pencalonan itu, timbul persoalan lebih besar mengenai hala tuju pemerintahan Encik Prabowo, masa depan pengaruh politik Encik Jokowi serta keseimbangan kuasa antara parti dalam gabungan pemerintah.

Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) dijadual mengadakan sidang pleno pada 11 Disember bagi memilih dan melantik naib presiden baharu.

Encik Prabowo berkata kedua-dua calon dipilih selepas beliau mengadakan perbincangan dengan parti-parti dalam gabungan pemerintah serta kepimpinan Parti Gerindra.

“Pertimbangannya semata-mata berdasarkan pencapaian, pengabdian, kesetiaan kepada negara dan keyakinan saya bahawa mereka akan bekerja,” katanya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kesetiaan menjadi pertimbangan penting

Pemilihan naib presiden baharu berlangsung ketika pemerintah Indonesia berdepan beberapa cabaran politik, termasuk pengunduran Encik Gibran dan siasatan terhadap mantan Ketua Polis Indonesia, Encik Listyo Sigit Prabowo, berhubung dakwaan cubaan menggugat pemerintah.

Meskipun tiada bukti kedua-dua perkembangan itu mempunyai kaitan langsung, keadaan tersebut menyerlahkan kepentingan kestabilan politik dan kepercayaan dalam kalangan kepimpinan negara.

Pengarah Eksekutif Indonesia Political Opinion (IPO), Dr Dedi Kurnia Syah, berkata Encik Prabowo memerlukan seorang timbalan yang bukan sahaja cekap mentadbir, malah mampu mengurus perkembangan politik bagi memastikan pemerintah kekal stabil.

Menurutnya, kesetiaan merupakan antara pertimbangan penting dalam menentukan pengganti Encik Gibran.

Sebelum pengumuman dua calon rasmi itu, beliau menyenaraikan beberapa tokoh Gerindra, termasuk Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Sufmi Dasco Ahmad; Encik Sugiono dan Encik Sudaryono, sebagai individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Encik Prabowo.

“Tokoh-tokoh ini telah membuktikan kesetiaan mereka dan sudah lama mempunyai hubungan rapat dengan Presiden,” katanya kepada portal berita, VOI.

Penganalisis politik dan ketenteraan Universiti Nasional (UNAS), Dr Selamat Ginting, pula berkata naib presiden baharu perlu mempunyai kesamaan hala tuju politik dengan Encik Prabowo.

Selain kesetiaan, beliau menggariskan empat lagi kriteria, iaitu keupayaan menyatukan kekuatan politik, kecekapan mentadbir, mengelakkan konflik baharu serta mempunyai keabsahan atau mandat yang kukuh.

Menurutnya, pertukaran naib presiden seharusnya menjadi peluang untuk memperkukuh pemerintahan Encik Prabowo, bukan mencetuskan perebutan kuasa baharu.

Dua calon dengan kekuatan berbeza

Pengarah Eksekutif Parameter Politik Indonesia (PPI), Encik Adi Prayitno, menyifatkan pencalonan Encik Amran dan Encik Sugiono sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Ini terutama selepas nama Encik Dasco mendapat perhatian meluas sejak pengunduran Encik Gibran.

Nama Encik Amran juga jarang disebut dalam perbincangan mengenai calon pengganti Encik Gibran sebelum ini.

Menurut Encik Adi, pencalonan Encik Sugiono dapat dikaitkan dengan hubungan rapatnya dengan Encik Prabowo, selain pengalaman politik dan kesetiaannya kepada pemimpin tersebut.

Encik Sugiono, yang juga Setiausaha Agung Gerindra, pernah menjadi setiausaha peribadi Encik Prabowo dan dianggap antara individu yang memahami pemikiran serta hala tuju politik Presiden itu.

Encik Amran pula mempunyai latar belakang berbeza.

Ahli perniagaan berusia 58 tahun dari Sulawesi Selatan itu pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertanian di bawah pentadbiran Encik Jokowi sebelum kembali memegang jawatan tersebut dalam pemerintahan Encik Prabowo.

Encik Adi berkata prestasi Encik Amran dalam bidang keterjaminan makanan mendapat perhatian positif masyarakat, berdasarkan tinjauan PPI pada Oktober lalu.

Pengarah Eksekutif FIXPOLL Indonesia, Encik Mohammad Anas RA, pula berpandangan bahawa kedua-dua pencalonan itu mencerminkan pendekatan berbeza dalam memenuhi keperluan kepimpinan Indonesia.

Menurutnya, Indonesia memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu mengurus hubungan dalam kalangan elit politik, malah berupaya menyelesaikan masalah ekonomi yang menjejas kehidupan rakyat.

“Indonesia berdepan masalah struktur melibatkan keterjaminan makanan, kebergantungan pada import, produktiviti ekonomi, ancaman krisis sejagat dan kesejahteraan masyarakat,” katanya kepada Media Indonesia.

Antara kepentingan parti dengan agenda ekonomi

Sekiranya Encik Sugiono dipilih, kedua-dua jawatan tertinggi Indonesia akan disandang oleh pemimpin daripada Gerindra.

Keadaan itu boleh memudahkan penyelarasan dasar antara Presiden dengan Naib Presiden, namun turut menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan kuasa dalam gabungan pemerintah.

Pencalonan Encik Amran, yang berlatarbelakangkan bidang pertanian dan perniagaan, pula memberikan dimensi berbeza kepada rundingan antara parti politik.

Penganalisis politik Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN), Profesor Dr Firman Noor, berkata pengalaman profesional Encik Amran boleh membantu memperkukuh pelaksanaan program pemerintah yang menyentuh kepentingan rakyat.

Beliau berkata program keterjaminan makanan bukan sahaja penting dari sudut ekonomi, malah berpotensi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemerintah.

Bagaimanapun, penganalisis Lembaga Survei Indonesia (LSI), Dr Yoes Kenawas, mengingatkan bahawa Encik Amran juga mempunyai jaringan politik yang luas di Sulawesi Selatan, dengan beberapa anggota keluarganya memegang jawatan dalam pentadbiran wilayah.

Justeru, perbezaan antara Encik Amran dengan Encik Sugiono tidak semestinya boleh dilihat semata-mata sebagai persaingan antara seorang teknokrat dengan seorang ahli politik.

Ujian terhadap perpaduan gabungan pemerintah

Reaksi parti-parti politik terhadap kedua-dua pencalonan itu turut memberikan gambaran mengenai dinamik kuasa dalam pemerintah.

Meskipun Gerindra menyokong kedua-dua calon, jurucakapnya, Encik Sugiat Santoso, memberikan penekanan kepada hubungan kerja Encik Sugiono dengan Encik Prabowo yang telah terjalin sekian lama.

Parti Demokrat, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) pula secara umum menyambut baik keputusan Presiden itu.

Namun, PKB belum menyatakan sokongan rasmi kepada mana-mana calon.

Berbeza dengan parti-parti tersebut, pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Encik Deddy Sitorus, menyuarakan keraguan terhadap kesesuaian kedua-dua calon dalam menghadapi keadaan politik dan ekonomi semasa.

Menurutnya, pengalaman Encik Amran lebih tertumpu kepada pelaksanaan program pemerintah berbanding usaha membina kesepakatan politik.

Perbezaan pandangan itu menunjukkan bahawa pemilihan pada 11 Disember bukan sekadar menentukan pengganti Encik Gibran, malah menjadi ujian terhadap perpaduan gabungan pemerintah.

Pengaruh Jokowi masuk fasa baharu

Satu lagi dimensi penting ialah masa depan pengaruh politik Encik Jokowi selepas pengunduran anak sulungnya.

Gandingan Encik Prabowo dengan Encik Gibran pada Pilihan Raya Presiden 2024 mencerminkan kerjasama antara dua kekuatan politik yang sebelum itu pernah bersaing.

Sokongan Encik Jokowi membantu perjalanan Encik Prabowo ke Istana Presiden, manakala kedudukan Encik Gibran sebagai naib presiden memberikan kesinambungan kepada pengaruh politik keluarganya.

Namun, pengunduran Encik Gibran pada 12 November, di tengah-tengah kontroversi mengenai kelayakan akademiknya, mengubah hubungan tersebut.

Agensi berita, Reuters, melaporkan bahawa pengunduran Encik Gibran dilihat sebagai petanda semakin lemahnya perkongsian politik antara Encik Prabowo dengan Encik Jokowi.

Encik Gibran sendiri menegaskan bahawa keputusannya meletak jawatan dibuat atas sebab peribadi.

Ketiadaan Encik Gibran dalam pentadbiran bagaimanapun tidak semestinya menandakan berakhirnya pengaruh Encik Jokowi, memandangkan beliau masih mempunyai jaringan politik yang perlu diambil kira.

Bukan sekadar pembantu Presiden

MPR kini menjalankan pemeriksaan terhadap kelayakan kedua-dua calon, termasuk latar belakang pendidikan, rekod undang-undang, pengisytiharan kekayaan, percukaian dan kesihatan.

Pemeriksaan pada 25 dan 26 November itu melibatkan 36 anggota jawatankuasa, dengan hasilnya dijadual dibentangkan pada 1 Disember sebelum pemilihan berlangsung.

Siapa pun yang dipilih kelak bakal berdepan tanggungjawab besar dalam membantu Encik Prabowo menangani cabaran ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan memastikan program pembangunan pemerintah mencapai matlamatnya.

Kesetiaan kepada Presiden mungkin menjadi asas hubungan kerja antara kedua-dua pemimpin, namun kemampuan memberikan pandangan bebas, menyelaras dasar dan mengimbangi kepentingan politik juga penting dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

Seperti ditegaskan Dr Selamat: “Jawatan naib presiden bukan sekadar simbol politik.” – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan