JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengemukakan dua nama calon bagi menggantikan Encik Gibran Rakabuming Raka, sebagai Naib Presiden negara itu, susulan peletakan jawatannya pada 12 November di tengah-tengah kontroversi berhubung kelayakan akademiknya.

Dua calon berkenaan ialah Menteri Pertanian, Encik Andi Amran Sulaiman, 58 tahun; dan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Sugiono, 47 tahun.

Pencalonan itu diumumkan oleh Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Encik Ahmad Muzani, selepas menerima surat rasmi daripada Encik Prabowo yang diserahkan sendiri oleh Presiden di kompleks Parlimen di Jakarta pada 23 November.

Pengumuman itu membuka laluan kepada proses pemilihan Naib Presiden baharu yang dijadual berlangsung dalam sidang pleno MPR pada 11 Disember, selepas kedua-dua calon menjalani pemeriksaan kelayakan.

“Dengan ini, saya mencalonkan dua nama sebagai calon Naib Presiden Republik Indonesia, iaitu Andi Amran Sulaiman dan Sugiono,” kata Encik Muzani ketika membacakan kandungan surat Presiden.

Menurut beliau, jawatankuasa pengesahan yang ditubuhkan MPR akan segera memulakan tugas meneliti kelayakan kedua-dua calon sebelum proses pemilihan dijalankan.

Pemeriksaan itu merangkumi syarat kesihatan, rekod perundangan dan kelayakan pendidikan bagi memastikan calon memenuhi semua peruntukan yang ditetapkan.

MPR turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan proses pemilihan dan pelantikan Naib Presiden baharu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Menurut Encik Prabowo, kedua-dua calon dipilih berdasarkan pencapaian, pengalaman, dedikasi dan kesetiaan mereka kepada negara.

Beliau yakin kedua-duanya mempunyai keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

“Saya percaya kedua-duanya akan melakukan yang terbaik untuk bangsa, negara dan rakyat Indonesia,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pencalonan itu tidak bermakna hanya kedua-dua tokoh berkenaan layak menyandang jawatan tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa ini tidak bermakna hanya mereka berdua yang layak. Terdapat ramai calon lain yang baik, tetapi Perlembagaan menetapkan saya hanya boleh mengemukakan dua nama.

“Masa saya terhad dan saya tidak boleh mengadakan rundingan terlalu lama,” katanya.

Antara dua calon itu, Encik Sugiono dilihat mempunyai hubungan politik paling rapat dengan Encik Prabowo.

Beliau sering digelar sebagai “anak ideologi” presiden kerana hubungan kerja yang erat serta kesetiaannya kepada pemimpin tersebut sejak sekian lama.

Encik Sugiono pernah berkhidmat dalam unit pasukan khas tentera Indonesia sebelum bersara daripada perkhidmatan ketenteraan pada 2004.

Beliau kemudian menceburi politik dan menjadi antara tokoh penting dalam lingkungan kepimpinan Encik Prabowo.

Dalam rombakan Kabinet pada Oktober lalu, beliau dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan.

Penganalisis melihat kemungkinan pemilihan Encik Sugiono sebagai langkah yang boleh mengukuhkan pengaruh politik Encik Prabowo menjelang pilihan raya presiden pada 2029.

Penyelidik Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Dominique Nicky Fachrizal, sebelum ini memberitahu agensi berita, AFP, bahawa pelantikan naib presiden daripada parti pimpinan Encik Prabowo boleh membantu mengekalkan populariti presiden.

Langkah itu juga berpotensi memperkukuh kedudukan politik beliau sekiranya memutuskan untuk bertanding bagi penggal kedua.

Sementara itu, Encik Andi merupakan mantan ahli perniagaan yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, khususnya sektor pertanian.

Beliau pernah menjadi Menteri Pertanian di bawah pentadbiran mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, dari 2014 hingga 2019.

Encik Andi kemudian kembali menerajui kementerian tersebut selepas penggantinya terpalit dengan skandal rasuah.

Beliau terus diberikan kepercayaan memegang jawatan itu apabila Encik Prabowo mengambil alih kepimpinan negara pada 2024.

Proses mencari Naib Presiden baharu bermula selepas Encik Gibran, 39 tahun, yang juga anak sulung Encik Jokowi, meletak jawatan pada 12 November.

Peletakan jawatan itu menyusuli tekanan politik selama beberapa minggu berhubung pertikaian undang-undang mengenai kesahihan kelayakan akademiknya ketika bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Pada 30 Oktober, Mahkamah Agung Indonesia membatalkan sijil penyetaraan kelulusan sekolah menengah luar negara milik Encik Gibran.

Keputusan itu meningkatkan tekanan terhadap kedudukannya sehingga membawa kepada peletakan jawatan tersebut.

Pada mulanya, MPR merancang mengadakan sidang pleno bagi memilih dan melantik penggantinya pada 9 Disember.

Bagaimanapun, tarikh itu ditangguhkan kepada 11 Disember selepas timbul kebimbangan mengenai kemungkinan pertikaian dari sudut Perlembagaan. – Agensi berita.