Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo tegaskan komitmen terhadap ibu kota baru dalam lawatan pertama ke Nusantara

Jan 13, 2026 | 5:28 PM
Presiden Prabowo Subianto berjalan di padang rumput hijau di hadapan Istana Presiden di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur, pada Isnin, 13 Januari 2026, sekitar jam 6.45 petang waktu tempatan.
Presiden Prabowo Subianto berjalan di padang rumput hijau di hadapan Istana Presiden di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur, pada Isnin, 13 Januari 2026, sekitar jam 6.45 petang waktu tempatan. - Foto BIRO PERS SEKRETARIAT PRESIDEN

JAKARTA – Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengulangi komitmennya untuk meneruskan projek pembinaan ibu negara baru, Nusantara, bernilai AS$32 bilion (S$41.2 bilion), ketika beliau melakukan lawatan bermalam pertamanya sebagai presiden ke kawasan tersebut di Kalimantan Timur.

Persoalan mengenai masa depan projek Ibu Kota Nusantara (IKN) terus berlegar sejak Encik Prabowo memegang jawatan pada Oktober 2024, terutama dalam suasana fiskal yang semakin ketat. Lawatan pada Isnin, 13 Januari 2026, bagaimanapun dilihat sebagai isyarat politik jelas bahawa pentadbiran baharu tidak berhasrat mengabaikan projek legasi presiden terdahulu.

Encik Prabowo tiba di IKN dengan helikopter presiden berwarna putih dan mendarat di padang rumput di hadapan Istana Presiden sekitar jam 6.45 petang waktu tempatan. “Ini rumput sebenar atau apa? Cantik sekali,” katanya sebaik menjejakkan kaki, menurut rakaman yang dikongsikan oleh media rasmi pemerintah.

Lawatan itu dibuat sejurus selepas beliau merasmikan pembangunan infrastruktur tenaga bersepadu di Kompleks Penapisan Pertamina di Balikpapan. Dalam kenyataan di laman rasmi presiden, lawatan tersebut digambarkan sebagai penegasan dasar pemerintah untuk merealisasikan pusat pentadbiran yang moden, hijau dan mampan. Nusantara disasarkan menjadi ibu kota politik Indonesia sepenuhnya menjelang 2028.

Seorang pegawai awam tempatan yang dipetik akhbar Kompas berkata Encik Prabowo bermalam di Swissotel Nusantara, hotel lima bintang pertama yang beroperasi di kawasan IKN.

Pada Selasa, 13 Januari, presiden dijadualkan meninjau secara langsung kemajuan pembinaan di beberapa lokasi utama.

Dalam lawatan itu, Prabowo diiringi beberapa menteri kanan, termasuk Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Menteri Luar, Setiausaha Negara, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, serta Ketua Agensi Komunikasi Kerajaan. Kehadiran barisan menteri ini dilihat sebagai usaha menunjukkan kesepaduan politik dalam meneruskan projek berprofil tinggi tersebut.

Pihak Berkuasa IKN memaklumkan bahawa sehingga akhir 2025, pembinaan kompleks Pejabat Kementerian Penyelaras, Istana Presiden, Istana Garuda serta beberapa blok pangsapuri untuk penjawat awam telah siap sepenuhnya. Sekurang-kurangnya 2,000 penjawat awam kini sudah bekerja dan ditempatkan secara tetap di ibu negara baru itu.

Mulai penghujung 2025, pembangunan IKN memasuki fasa kedua, dengan tumpuan beralih daripada infrastruktur asas dan institusi eksekutif kepada kompleks institusi perundangan dan kehakiman. Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) akan dibina di bahagian timur laut Istana Presiden, manakala Mahkamah Agung, Mahkamah Perlembagaan dan Suruhanjaya Kehakiman terletak di barat daya istana.

Ketua Pihak Berkuasa IKN, Encik Basuki Hadimuljono, berkata pembinaan pejabat dan pangsapuri bagi institusi kehakiman serta perundangan akan bermula pada 2026. “Dalam fasa kedua ini, jumlah pekerja pembinaan dianggarkan meningkat kepada 20,000 orang bagi mempercepatkan pembangunan,” katanya.

Timbalan bagi Kemudahan dan Infrastruktur IKN, Encik Aswin Grandiarto Sukahar, pula berkata kerja pembinaan dilaksanakan melalui tujuh pakej utama. “Secara purata, kemajuan pembinaan telah mencapai 99 peratus,” katanya, merujuk kepada projek infrastruktur asas termasuk jalan utama yang menghubungkan kawasan pentadbiran, pendidikan dan perumahan di Teras Pusat Pemerintah.

Projek IKN merupakan legasi bekas presiden Joko Widodo, yang mengumumkan rancangan pemindahan ibu negara dari Jakarta pada 2019 bagi menangani masalah kesesakan, penurunan tanah dan beban infrastruktur di Pulau Jawa. Pembinaan bermula pada 2022 tetapi tertangguh akibat pandemik Covid-19, menyebabkan sasaran pemindahan kerajaan pada 2024 tidak tercapai.

Penganalisis sebelum ini memberi amaran bahawa Prabowo mungkin berdepan kekangan fiskal untuk membiayai projek mega ini sambil melaksanakan program keutamaannya yang lain. Kerajaan mencatat defisit belanjawan sebanyak 2.92 peratus daripada KDNK pada 2025, hampir mencecah had undang-undang 3 peratus.

Tambahan pula, keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 2025 yang memendekkan tempoh maksimum hak guna tanah pelabur di IKN dilihat sebagai tamparan kepada keyakinan pelabur swasta.

Namun, Pejabat Presiden menegaskan lawatan Prabowo “menandakan momentum penting dalam perjalanan membina ibu negara Nusantara”. “Kehadiran Presiden Prabowo menunjukkan komitmen pemerintah untuk memastikan pembangunan berjalan mengikut perancangan dan kekal mampan,” menurut kenyataan itu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg