Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo tetapkan Nusantara sebagai pusat politik negara jelang 2028

Sep 23, 2025 | 1:20 PM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto. telah mengeluarkan peraturan yang secara rasmi menetapkan Nusantara sebagai pusat politik Indonesia menjelang 2028.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto. telah mengeluarkan peraturan yang secara rasmi menetapkan Nusantara sebagai pusat politik Indonesia menjelang 2028. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengambil langkah untuk memberi kepastian kepada ibu negara masa depan Indonesia, Nusantara, dengan mengeluarkan peraturan yang secara rasmi menetapkannya sebagai pusat politik negara menjelang 2028.

Ini memberi isyarat lebih besar mengenai komitmen pentadbirannya terhadap projek itu, walaupun ada keraguan berterusan terhadap pembiayaan dan garis masa projek mega tersebut.

Peraturan Presiden No. 79/2025, yang ditandatangani pada akhir Jun dan hanya diumumkan pada 20 September, menggariskan program keutamaan pemerintah dan rangka kerja sepanjang tahun.

Ia termasuk pembangunan kota Kalimantan Timur “untuk menyokong merealisasikan Nusantara sebagai ibu kota politik menjelang 2028”.

“Perancangan dan pembangunan kawasan itu, serta pemindahan ke Ibu Kota Nusantara, sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong merealisasikan Nusantara sebagai ibu kota politik pada 2028,” bunyi lampiran peraturan presiden itu.

Proses membangunkan ibu kota baru Indonesia, yang dianggar siap pada 2045 dan akan menggantikan ibu kota Jakarta, terletak sekitar 2,000 kilometer dari Nusantara.

Pembangunan projek itu memasuki fasa kedua pada 2025 – tahun pertama pentadbiran Presiden Prabowo.

Berbeza dengan fasa pertama, yang memberi tumpuan pada kawasan pemerintah pusat, fasa kedua lebih mengutamakan kemudahan seperti pengangkutan awam, kawasan kediaman untuk penjawat awam dan pembinaan bangunan perundangan dan kehakiman, dengan tujuan menjadikan Nusantara sebagai ibu negara menjelang 2028.

Bagaimanapun, kebimbangan timbul selepas Presiden Prabowo mengeluarkan arahan untuk mengurangkan perbelanjaan awam sebanyak 306.6 trilion rupiah ($23.6 bilion).

Namun begitu, pegawai Indonesia menekankan bahawa pembinaan akan diteruskan, dengan 48.8 trilion rupiah telah diperuntukkan untuk fasa kedua dari 2025 hingga 2029.

Jurucakap Penguasa Nusantara, Encik Troy Pantouw, menafikan khabar angin kononnya projek telah disekat atau pekerja diberhentikan, dengan menyatakan bahawa pembangunan sedang berjalan mengikut rancangan.

Timbalan Menteri Pekerjaan Umum, Cik Diana Kusumastuti, menjelaskan pembekuan bajet adalah mekanisme rutin dan boleh diteruskan semula selepas perbincangan dengan Parlimen.

Pembiayaan untuk fasa kedua akan datang daripada beberapa sumber – 48.8 trilion rupiah daripada belanjawan negara; 60.93 trilion rupiah daripada perkongsian awam-swasta; dan 6.49 trilion rupiah daripada pelaburan swasta.

Pemerintah turut bercadang mengurangkan pergantungan kepada bajet negara dengan secara beransur-ansur melibatkan pembiayaan swasta dan cukai khas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg