Prabowo umum bina menara 40 tingkat untuk institusi Islam di Jakarta
Prabowo umum bina menara 40 tingkat untuk institusi Islam di Jakarta
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengumumkan rancangan membina sebuah menara setinggi 40 tingkat bagi menempatkan beberapa institusi Islam utama negara di kawasan strategik Bundaran Hotel Indonesia (HI), Jakarta Pusat.
Rancangan itu pertama kali diumumkan Encik Prabowo ketika merasmikan kepimpinan baru Majlis Ulama Indonesia (MUI) di Masjid Istiqlal.
Dalam ucapannya, beliau berkata tanah seluas 4,000 meter persegi berhampiran Bundaran HI telah disediakan untuk membina ibu pejabat bersama bagi MUI dan beberapa institusi Islam lain seperti Badan Amil Zakat Nasional (Baznas), Badan Wakaf Indonesia serta Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH).
“Di Bundaran HI bukan hanya ada hotel mewah dan pusat beli-belah, tetapi akan ada bangunan untuk institusi umat Islam,” kata Encik Prabowo.
Menteri Pertanian dan Tata Ruang, Encik Nusron Wahid, yang juga merupakan pimpinan kanan MUI, berkata bangunan 40 tingkat itu akan memanfaatkan kompleks bekas kedutaan Britain.
Menurutnya, penyatuan beberapa institusi dalam satu bangunan bertujuan mengurangkan kos operasi dan membolehkan tumpuan diberikan kepada pemerkasaan masyarakat.
“Matlamatnya supaya institusi ini bebas daripada beban bulanan dan boleh fokus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Projek itu akan didirikan di atas tanah bekas Kedutaan Britain yang kini berstatus bangunan warisan budaya.
Menurut Menteri Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, bangunan baru itu akan didirikan sepenuhnya sebagai projek pembinaan baru dan tidak akan memanfaatkan struktur sedia ada di tapak tersebut.
“Ya, ia akan dibangunkan sebagai bangunan baru sepenuhnya,” katanya kepada wartawan di Stesen Gambir pada 10 Februari.
Beliau menjelaskan hanya tanah tapak berkenaan akan digunakan, namun tidak memperincikan sama ada bangunan kedutaan lama yang direka oleh arkitek British Eric Bedford itu akan dirobohkan.
Bangunan empat tingkat yang dirasmikan pada 1962 itu telah dikosongkan sejak 2013 apabila kedutaan berpindah ke Patra Kuningan.
Pada 2016, pentadbiran Jakarta mengklasifikasikannya sebagai bangunan warisan Kelas B, yang tidak boleh dirobohkan kerana memenuhi kriteria keaslian, keunikan dan nilai seni bina.
Encik Prasetyo berkata projek tersebut masih berada pada peringkat reka bentuk dan peruntukan bajet belum dimuktamadkan.
Dana berkemungkinan diperoleh melalui Kementerian Agama atau sumber kewangan lain.
“Ia soal peruntukan sahaja, mungkin melibatkan Kementerian Agama atau sumber lain,” katanya.
Namun, rancangan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar warisan dan perancang bandar.
Ketua Ikatan Arkitek Indonesia (IAI) Jakarta, Encik Teguh Aryanto, menegaskan status bangunan warisan itu perlu dihormati.
“Ia mempunyai nilai sejarah penting dan mencerminkan hubungan Indonesia dengan United Kingdom. Selain itu, seni binanya ikonik dan mewakili reka bentuk moden 1960-an,” katanya. “Atas sebab itu, ia mesti dipelihara selaras dengan peraturan warisan.”
Beliau menambah bahawa sebarang pembinaan baharu perlu melalui penilaian menyeluruh oleh pasukan pakar pemuliharaan warisan di bawah Dinas Kebudayaan Jakarta.
Teguh mencadangkan agar struktur tambahan dibina di bahagian belakang bangunan asal tanpa menenggelamkan identiti seni bina sedia ada.
“Prestij pemerintah akan diukur melalui sejauh mana ia mematuhi peraturan sendiri,” katanya.
Di sisi lain, pensyarah undang-undang perlembagaan Universiti Mulawarman, Herdiansyah Hamzah, melihat cadangan itu dari sudut politik.
Menurutnya, penyatuan pelbagai organisasi Islam dalam satu menara boleh dianggap sebagai usaha mengikat institusi tersebut kepada kepentingan pemerintah.
“Tidak ada keperluan mendesak untuk bangunan setinggi itu, selain untuk legitimasi politik kelompok berkuasa.
“Organisasi ini berisiko dijadikan alat untuk memberi legitimasi kepada keputusan politik pihak berkuasa,” katanya.
Pakar perancangan bandar Universiti Trisakti, Yayat Supriatna, bagaimanapun berpendapat perubahan fungsi bangunan warisan tidak menjadi masalah selagi mendapat kelulusan pihak berkuasa dan mematuhi zon pembangunan kawasan Bundaran HI.
“Undang-undang Warisan Budaya membenarkan perubahan fungsi, dengan syarat mendapat kelulusan dan ciri asal bangunan dikekalkan,” katanya.
Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, menyatakan sokongan terhadap rancangan Presiden sambil menegaskan kepentingan mematuhi peraturan.
“Sebarang pembinaan mesti mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan pada masa sama tidak bercanggah dengan arahan Presiden,” katanya.
Rancangan menara 40 tingkat itu diumumkan selepas pertemuan Encik Prabowo dengan pimpinan organisasi Islam, termasuk MUI, bagi membincangkan penglibatan Indonesia dalam Lembaga Keamanan yang diterajui Amerika Syarikat untuk membina semula Gaza.
MUI sebelum ini mengkritik penyertaan Indonesia dalam badan tersebut, namun mengubah pendirian selepas pertemuan berkenaan.
Pengerusi MUI, Encik Anwar Iskandar, berkata Presiden menunjukkan komitmen menyokong Palestin sambil menjaga kepentingan keselamatan nasional Indonesia. – Agensi berita.

