Projek Kampung Haji Indonesia di Makkah: Wawasan strategik dan ujian tadbir urus
Projek Kampung Haji Indonesia di Makkah: Wawasan strategik dan ujian tadbir urus
Saranan buka khidmat kepada jemaah Asia Tenggara, kampung haji berpotensi berkembang daripada kemudahan nasional kepada aset serantau
JAKARTA: Cadangan Presiden Prabowo Subianto untuk membangunkan sebuah kampung haji di Makkah, Arab Saudi, menandakan antara daya usaha prasarana keagamaan luar negara paling bercita-cita tinggi dalam sejarah Indonesia.
Projek itu yang dibiayai dan diurus melalui dana aset negara Danantara, mencerminkan komitmen serius pemerintah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan jemaah haji Indonesia serta memperkukuh kehadiran institusi negara itu dalam ekonomi haji sejagat yang semakin berkembang.
Namun, persoalan utama bukan sekadar soal pembinaan fizikal.
Kejayaan jangka panjang kampung haji akan bergantung pada sama ada ia direka sebagai kemudahan penginapan nasional semata-mata atau diubah menjadi hab perkhidmatan ibadah yang mampan dan berdaya saing dalam pasaran ziarah yang kian kompleks.
Indonesia menghantar kira-kira 221,000 anggota jemaah haji setiap tahun di bawah sistem kuota rasmi, menjadikannya kontinjen nasional terbesar di dunia.
Selain itu, negara ini juga menyumbang antara 1.2 dengan 1.5 juta anggota jemaah umrah setahun, sekitar 10 peratus daripada aliran umrah sejagat.
Apabila digabungkan dengan pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia, Brunei, Singapura, selatan Thailand dan selatan Filipina, jumlah jemaah dari rantau Nusantara melebihi tiga juta orang setahun, dan angka itu terus meningkat seiring pertumbuhan pendapatan dan kesalinghubungan penerbangan.
Dalam masa yang sama, Arab Saudi sendiri menyasarkan peningkatan ketibaan jemaah umrah kepada 30 juta orang setahun menjelang 2030 di bawah program Wawasan 2030, menjadikan sektor ibadah sebagai teras ekonomi bukan minyak.
Dalam konteks ini, usaha Indonesia untuk memiliki kemudahan tetap di Makkah adalah langkah wajar dari sudut strategi negara.
Namun, jumlah jemaah yang besar sahaja tidak menjamin kelestarian projek.
Industri ziarah hari ini beroperasi dalam pasaran perkhidmatan yang melibatkan ramai pengendali dan penuh persaingan.
Keputusan penginapan jarang dibuat oleh pemerintah, sebaliknya dirundingkan oleh ratusan agensi berlesen yang menggabungkan hotel, pengangkutan dan katering berdasarkan harga, lokasi dan kebolehpercayaan.
Pensyarah Kanan, Universiti Abdulaziz, Arab Saudi, Dr Muhammad Subhan Ishak, dalam wacananya yang disiarkan di The Jakarta Post mengingatkan bahawa pembangunan hospitaliti berskala besar di zon pusat Makkah lazimnya memerlukan pelaburan antara AS$300 juta ($381 juta) dengan lebih AS$700 juta, bergantung pada kos tanah dan kemudahan sokongan.
“Kos operasi di Makkah adalah antara yang tertinggi dalam industri hospitaliti sejagat.
“Margin operasi bersih biasanya hanya sekitar 5 hingga 8 peratus, dan boleh menjunam apabila berlaku gangguan peraturan,” katanya.
Dengan kadar bilik sekitar AS$150 hingga AS$250 semalam, sebuah kompleks dengan 5,000 katil memerlukan kadar huni melebihi 70 peratus sepanjang tahun hanya untuk mencapai pulangan modal.
Kekurangan penghunian sebanyak 10 hingga 15 peratusan mata sahaja berpotensi mengakibatkan kerugian puluhan juta dolar setahun.
Dr Muhammad Subhan berpendapat cabaran tersebut menjadi lebih rumit akibat perubahan jangkaan terhadap pengalaman ibadah itu sendiri.
Bagi jemaah, keperluan hari ini bukan lagi sekadar menunaikan rukun, malah, turut melibatkan aspek keselesaan, serta jarak yang munasabah dari Masjidil Haram.
Agensi pula menekankan kecekapan kos dan operasi, manakala kerajaan Arab Saudi melihat haji dan umrah sebagai sektor strategik yang menuntut mutu perkhidmatan serta keselamatan tanpa tolak ansur.
Bagi Indonesia, projek itu turut menguji kewibawaan Kementerian Haji dan Umrah yang baru ditubuhkan serta keupayaan Danantara mengurus aset sensitif di luar negara.
Penubuhan kementerian khusus itu mencerminkan pengiktirafan bahawa ibadah kini juga merupakan kegiatan ekonomi antarabangsa yang kompleks.
Salah satu peluang strategik yang sering diketengahkan ialah menjenamakan kampung haji sebagai hab ziarah serantau Nusantara, bukan hanya kemudahan nasional.
Dengan membuka perkhidmatan kepada jemaah Asia Tenggara, permintaan sepanjang tahun boleh dipertingkat, sekali gus menstabilkan kadar penghunian dan mengurangkan turun naik bermusim, ujar Dr Muhammad Subhan.
Langkah itu juga boleh memberi kelebihan perintis kepada Indonesia dalam membina kehadiran institusi kekal di Makkah, sambil memperdalam diplomasi keagamaan dengan negara jiran.
Namun, kejayaan pendekatan itu menuntut kerangka tadbir urus yang jelas dan profesional.
Di peringkat domestik, organisasi Islam utama menyatakan sokongan dengan syarat.
Muhammadiyah menyokong penuh projek itu kerana ia berpotensi mengurangkan kos penginapan jemaah.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyatakan sokongan secara bersyarat, sambil memberi amaran bahawa pengurusan yang lemah boleh menyebabkan manfaat hanya dinikmati oleh kelompok tertentu serta membawa kepada pembaziran wang awam.
Zamil Kanan Pelawat di di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak, Dr A’an Suryana, dalam wacana yang diterbitkan di Fulcrum, portal analisis bebas Iseas-Institut Yusof Ishak mengenai isu di Asia Tenggara dan sekitarnya mengingatkan matlamat duniawi tidak wajar mengaburi kesucian misi ibadah.
“Pemerintah melancarkan rancangan besar untuk memperbaiki pengalaman jemaah. Persoalannya, adakah ganjaran ekonomi akan menjejaskan kesucian dan keabsahan misi tersebut,” katanya.
Walaupun Danantara mengurus aset bernilai besar dan berupaya menanggung kos anggaran sekitar AS$1.3 bilion, risiko tadbir urus tetap wujud.
Pengalaman lalu dalam pengurusan hal ehwal haji di Indonesia menggariskan betapa pentingnya penambahbaikan tadbir urus secara berterusan.
Dalam konteks ini, pemilihan pasukan pengurusan kampung haji yang telus, profesional dan berwibawa, menjadi faktor penentu kejayaan, di samping penyelarasan kukuh dengan kementerian baharu serta semua pihak berkepentingan.
Dengan garis panduan yang jelas dan mekanisme pengawasan yang berkesan, projek itu berpeluang bukan sahaja mengelakkan campur tangan tidak wajar, bahkan juga muncul sebagai model pengurusan awam yang mampan dan bertanggungjawab dari segi sosial serta kewangan.
Kampung haji berpotensi muncul sebagai sumbangan paling berkekalan Indonesia kepada ekosistem perkhidmatan ibadah sejagat sekiranya diurus berlandaskan visi serantau, disiplin pelaburan yang kukuh dan kebertanggungjawapan awam yang jelas.
Dengan pendekatan strategik dan pengurusan profesional, projek itu bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan realiti pasaran yang berdaya saing, malah boleh menjadi penanda aras baharu dalam pengurusan perkhidmatan haji yang mampan dan berwibawa.
Seperti yang ditekankan Dr A’an Suryana, kejayaan sebenar kampung haji tidak hanya diukur melalui struktur fizikal yang dibangunkan, malah pada keupayaannya mengekalkan keseimbangan antara keberkesanan ekonomi dengan amanah kerohanian.
Dengan hala tuju yang tepat, keseimbangan itulah yang berpotensi membentuk masa depan kampung haji Indonesia sebagai inisiatif yang berdaya tahan dan bermakna.

