JAKARTA: Program makanan berkhasiat percuma yang menjadi projek utama pentadbiran Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, kini berdepan kritikan hebat selepas berlakunya kes keracunan makanan besar-besaran di sekolah-sekolah seluruh Indonesia.
Lebih 6,400 murid dilaporkan jatuh sakit sejak Januari, mencetuskan desakan agar pemerintah menghentikan sementara program tersebut bagi tujuan penilaian semula secara menyeluruh.
Kes terkini melibatkan 569 murid di Garut, Jawa Barat, yang mengalami loya dan muntah selepas memakan nasi dan ayam daripada dapur penyedia makanan di bawah skim berbilion dolar itu.
Setiausaha Daerah Garut, Encik Nurdin Yana, menambah bahawa program itu tidak akan dihentikan.
Bagaimanapun, menu akan dipermudah kepada roti, susu, telur rebus dan buah-buahan buat sementara waktu.
Beberapa badan bukan pemerintah (NGO) kesihatan dan pendidikan tampil menggesa agar pemerintah melakukan moratorium – penggantungan atau penangguhan sesuatu kegiatan secara persetujuan bersama – ke atas program tersebut sehingga mekanisme kawalan mutu diperketat.
“Keracunan makanan yang melibatkan ribuan pelajar ini adalah kegagalan sistemik,” tegas, Ketua Rangkaian Pemantau Pendidikan (JPPI), Encik Ubaid Matraji, semasa sesi pendengaran di Parlimen.
Beliau menegaskan: “Pemerintah harus melakukan penilaian semula (secara) total dengan melibatkan masyarakat, supaya pengurusan lebih baik, pemantauan bebas, dan penggunaan dana lebih telus serta bertanggungjawab.”
Pandangan itu turut disokong oleh Pusat Inisiatif Pembangunan Strategik Indonesia (CISDI) yang mempersoalkan ketiadaan mekanisme penilaian dapur penyedia makanan.
Penganalisis Kanan CISDI, Encik Iqbal Hafizon, menekankan, “Jika tiada mekanisme jelas, keracunan akan terus berulang. Program ini mesti dihentikan sementara agar standard keselamatan diperketatkan.”
Selain isu kebersihan, kumpulan masyarakat sivil turut menegur pemilihan menu.
Menurut mereka, makanan yang diagihkan banyak menggunakan produk ultra-proses yang tidak sihat.
Dr Tan Shot Yen daripada Gerakan Ibu dan Anak menegaskan: “Pengagihan makanan ultra-proses mengubah tujuan utama program ini, iaitu menyediakan nutrisi, malah boleh mencetuskan penyakit kronik.”
Badan Pemantau Rasuah Indonesia (ICW) pula memberi amaran mengenai risiko penyelewengan dalam pengurusan vendor.
“Pemerintah mesti berani melakukan audit awam terhadap penyedia makanan dan memastikan pampasan kepada mangsa, termasuk kos perubatan dan psikososial,” kata jurucakap ICW, Cik Eva Nurcahyani.
Agensi Gizi Nasional (BGN) yang bertanggungjawab mengendalikan program itu turut menerima tekanan supaya lebih telus.
Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, ketika ditanya mengenai gesaan penangguhan, berkata:
“Kami menyesali kes keracunan ini. Namun daripada 1 bilion hidangan yang diedarkan, hanya 4,711 kes disyaki keracunan. Kami akan terus siasat.”
Beliau malah menegaskan rancangan menambah jumlah dapur daripada 8,902 kepada 13,269 menjelang akhir 2025 akan diteruskan selaras arahan Presiden.
Namun kenyataan itu menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung kesediaan pemerintah dalam memastikan aspek keselamatan dan kawalan mutu diutamakan berbanding sasaran jumlahnya.
Penganalisis berpendapat program itu perlu dikaji semula bukan sahaja dari segi pelaksanaan, malah dari segi falsafah.
Encik Ubaid menekankan: “Pemerintah mesti memusatkan sasaran kepada murid di kawasan 3T (tertinggal, terdepan, terpencil) yang paling memerlukan, bukannya di bandar besar.”
Cadangan itu turut mendapat sokongan Parlimen.
Timbalan Pengerusi Pesuruhjaya IX, Encik Yahya Zaini, berkata: “Jika sekolah sendiri menguruskan penyediaan makanan, hidangan akan lebih bersih, selamat, dan sesuai dengan cita rasa murid.
“Sekolah tahu apa yang anak-anak mereka suka makan.”
Bagi pentadbiran Encik Prabowo, program bernilai 171 trilion rupiah ($13.1 bilion) itu adalah simbol komitmen membasmi kekurangan gizi.
Malah, bajet program itu dijangka digandakan pada 2026 untuk mencapai 83 juta penerima, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Namun kes keracunan berulang memberi tamparan besar kepada kredibiliti projek unggul presiden baru itu.
“Ini seharusnya menjadi detik untuk projek dihentikan sementara,” kata Encik Marthin Hadiwinata daripada kumpulan kedaulatan makanan FIAN Indonesia.
Encik Prabowo melalui jurucakapnya, Encik Prasetyo Hadi, sudah memohon maaf.
“Pemerintah menyesali berulangnya kes di beberapa daerah, sesuatu yang tentunya tidak kami harapkan,” katanya.
Namun bagi masyarakat sivil, permohonan maaf tidak mencukupi.
Ketua Forum Pengguna Berdaya Indonesia (FKBI), Encik Tulus Abadi, berkata:
“Permintaan maaf tidak boleh menjadi penamat tanggungjawab negara. Harus ada reformasi dalam tatakelola program makanan percuma ini.”
Perkembangan itu menunjukkan jurang besar antara cita-cita politik dengan realiti pelaksanaan.
Program makanan percuma sememangnya mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kesihatan kanak-kanak dan mengurangkan ketidaksamaan.
Tetapi kelemahan kawalan mutu, ketergantungan kepada vendor besar, serta penggunaan bahan makanan ultra-proses menjadikannya rapuh dan terdedah kepada krisis.
Seperti kata Encik Marthin: “Kadangkala pemimpin terhimpit antara idealisme dengan tuntutan praktikal.”
Begitulah juga keadaan Encik Prabowo yang mahu mencatat sejarah melalui program berskala besar, namun diikat oleh kelemahan sistemik yang jika tidak ditangani, boleh meruntuhkan kepercayaan rakyat.
Dengan lebih 6,400 murid sudah menjadi mangsa, masa depan program itu kini bergantung kepada sejauh mana keberanian pemerintah melakukan reformasi menyeluruh.
Seperti ditegaskan Cik Eva: “Penilaian semula adalah keperluan mendesak, bukan pilihan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg