Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program makanan percuma Prabowo diteruskan semasa Ramadan

Mar 18, 2025 | 12:43 PM
Kakitangan menyediakan makan tengah hari pada hari pertama pelaksanaan program makanan percuma di dapur awam di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, pada 6 Januari 2025.
Indonesia melancarkan program makanan percuma bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan, selaras dengan janji utama kempen pilihan raya Presiden Prabowo Subianto.
Kakitangan menyediakan makan tengah hari pada hari pertama pelaksanaan program makanan percuma di dapur awam di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, pada 6 Januari 2025. Indonesia melancarkan program makanan percuma bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan, selaras dengan janji utama kempen pilihan raya Presiden Prabowo Subianto. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerintah Indonesia meneruskan pelaksanaan program utama Presiden Prabowo Subianto, iaitu Program Makanan Percuma dan Berkhasiat kepada murid sekolah, meskipun negara kini berada dalam bulan Ramadan.

Beberapa pelarasan dibuat terhadap menu harian termasuk penggunaan makanan diproses seperti bijirin segera, roti bungkus dan susu dalam kotak.

Sebelum Ramadan, makanan tengah hari murid terdiri daripada nasi, ayam atau ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran, hasil pengendalian Badan Gizi Nasional (BGN). Namun sejak awal Mac ini, BGN mula mengedarkan makanan yang tahan lebih lama – langkah yang dikritik hebat oleh pakar pemakanan.

Dr Tan Shot Yen, pakar pemakanan yang berpangkalan di Jakarta, mempersoalkan penggunaan susu kotak dalam program ini. “Memberi susu bungkus nampak ironi kerana ia sebenarnya minuman berasaskan glukosa yang hanya mengandungi 30 peratus susu. Tambahan pula, 80 peratus rakyat Indonesia tidak toleran terhadap laktosa,” katanya.

Beliau mencadangkan agar pemerintah memilih makanan tahan lama yang tidak diproses, seperti otah-otah atau lemper. “Kalau dari kecil anak-anak diberi makanan ultra-diproses, ia akan ubah persepsi mereka terhadap makanan berkhasiat. Itu boleh menjadi tabiat jangka panjang yang tidak sihat,” tambah Dr Tan.

Pakar pemakanan dari Universiti Gadjah Mada, Encik Toto Sudargo, menyokong pandangan tersebut dan mencadangkan variasi menu yang ringkas serta yang boleh dimakan dalam tempoh 12 jam. Beliau turut menekankan pentingnya pemantauan yang ketat ke atas pelaksanaan program.

Menjawab kritikan, Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, berkata pihaknya melakukan penilaian harian bersama 726 rakan kerjasama dapur di seluruh negara.

“Kami menilai setiap hari bagi menambah baik menu dan proses agihan,” katanya. Namun begitu, Encik Dadan tidak memberi penjelasan lanjut mengenai penggunaan makanan diproses secara khusus.

Di Sekolah Rendah Barunawati, Jakarta Barat, wartawan Jakarta Post menyaksikan murid menerima susu kotak, biskut, buah kurma dan telur rebus dalam pek makanan mereka. Oleh kerana majoriti murid berpuasa, mereka diarahkan membawa makanan pulang untuk dimakan ketika berbuka.

“Saya puasa hari ini. Nanti buka puasa, saya minum susu dulu, itu yang paling saya suka,” kata Zea, pelajar darjah satu. Rakan sekelasnya, Harun, juga gembira dengan program itu. “Saya suka susu. Dulu sebelum puasa, kami juga selalu dapat buah,” kata pelajar berusia enam tahun itu.

Guru Besar sekolah tersebut, Encik Untung Suripto, berkata pihak sekolah sentiasa berhubung dengan BGN dan dapur rakan kongsi mereka di Palmerah. “Kami ikut saranan pakar pemakanan pemerintah. Sekolah tak boleh ubah menu yang ditetapkan,” ujarnya.

Menurut Encik Dadan, lebih 1,000 dapur kini menyertai program ini dengan matlamat membantu mengatasi masalah terencat tumbesaran yang masih menjejas 21.5 peratus kanak-kanak Indonesia. Pemerintah menyasarkan untuk mengurangkan kadar itu kepada 5 peratus menjelang 2045.

“Setakat ini, kita telah capai sekitar 3 juta kanak-kanak, dan disasarkan untuk meningkat kepada 82.9 juta penerima menjelang hujung tahun ini,” kata Encik Dadan seperti dilaporkan Kompas.

Beliau menambah, meskipun bajet awal program adalah 71 trilion rupiah ($5.7 bilion) , jumlah itu mungkin meningkat kepada 100 trilion rupiah sejajar arahan Presiden Prabowo Subianto bagi peluasan manfaat kepada lebih ramai penerima.

“Kami akui cabarannya besar, tetapi program ini penting untuk masa depan generasi muda. Yang penting, makanan percuma ini tidak hanya sampai, tetapi juga sihat,” tegas Encik Dadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg