JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengarahkan Kementerian Haji dan Umrah menurunkan kos menunaikan ibadah haji serta mempercepat tempoh menunggu jemaah Indonesia dari purata 40 tahun kepada 26 tahun.
Arahan itu disampaikan semasa Sidang Kabinet Paripurna (Penuh) bersempena setahun pentadbirannya di Istana Negara, Jakarta, pada 20 Oktober.
Encik Prabowo menegaskan bahawa usaha itu mesti dilaksanakan menerusi penjimatan dan pengurusan yang lebih telus.
“Menteri Haji kini berada di Arab Saudi untuk berbincang dengan pihak berkenaan.
“Saya minta kos haji mesti terus diturunkan, boleh dilakukan melalui kecekapan dan pelaksanaan yang bersih,” katanya dalam ucapan pembukaan mesyuarat Kabinet.
Encik Prabowo menambah bahawa langkah itu akan memberi manfaat besar kepada jutaan umat Islam Indonesia yang masih menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Encik Prabowo turut menjelaskan bahawa penubuhan Kementerian Haji dan Umrah dibuat atas permintaan Kerajaan Arab Saudi, yang mahu urusan rasmi berkaitan haji dikendalikan oleh pegawai bertaraf menteri.
“Kerajaan Arab Saudi beritahu saya, ‘Kami di sini ada Menteri Haji, jadi kami perlu berurusan dengan menteri juga.’ Maka, kita sesuaikan,” kata Encik Prabowo sambil menambah bahawa langkah itu membolehkan komunikasi dua hala menjadi lebih berkesan.
Kementerian baru itu, menurut beliau, akan menumpukan usaha menambah baik sistem pengurusan haji, termasuk memastikan perbelanjaan yang lebih berkesan dan peningkatan kemudahan bagi jemaah di Tanah Suci.
Dalam ucapannya, Encik Prabowo turut mendedahkan satu perkembangan bersejarah apabila kerajaan Arab Saudi buat kali pertama dalam sejarah meluluskan pindaan undang-undang yang membolehkan negara asing membeli tanah di Tanah Suci Makkah.
Langkah itu membuka jalan kepada Indonesia untuk membangunkan projek, Kampung Indonesia, di Kota Makkah – satu daya usaha jangka panjang yang bertujuan menyediakan kemudahan khusus bagi jemaah haji dari Indonesia.
“Alhamdulillah, kerajaan Arab Saudi akhirnya bersetuju untuk membenarkan pembinaan Kampung Indonesia di Makkah.
“Mereka bahkan mengubah undang-undang bagi membolehkan negara asing memiliki tanah di sana. Indonesia menjadi negara pertama diberi keistimewaan ini,” katanya.
Encik Prabowo berkata projek itu akan memberi kemudahan lebih baik kepada jemaah Indonesia dari segi penginapan, makanan, serta pengurusan logistik semasa musim haji.
“Mudah-mudahan tidak lama lagi kita akan mempunyai kampung haji sendiri dengan kemudahan yang diurus sepenuhnya oleh kita supaya jemaah tidak lagi berdepan kekurangan atau kekecewaan,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa pembelian tanah bagi projek Kampung Indonesia akan dilakukan melalui proses tender terbuka yang turut disertai kira-kira 90 entiti antarabangsa.
“Saya dimaklumkan oleh Menteri Luar Arab Saudi bahawa tender ditutup pada 30 Oktober ini.
“Ada 90 entiti lain yang turut membida tapak berkenaan. Mudah-mudahan, dengan doa kita semua, Indonesia akan berjaya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan mendapatkan kelulusan Arab Saudi itu menandakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala dan juga sejarah baru bagi Indonesia.
“Ini satu terobosan besar, buat pertama kali dalam sejarah, undang-undang mereka diubah untuk membolehkan kita memiliki tanah di Tanah Suci. Ini luar biasa,” ujar Encik Prabowo. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg