JAKARTA: Semua penerbangan ke dan dari pulau peranginan Bali, Indonesia, disambung semula pada 19 Jun selepas dibatalkan atau ditunda akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-laki, kata para pegawai.
Gunung Lewotobi Laki-laki, yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, meletup pada 17 Jun, mengeluarkan abu setinggi 11 kilometer.
Sebanyak 87 penerbangan menuju ke dan bergerak dari Bali, terdiri daripada 66 penerbangan antarabangsa dan 21 penerbangan domestik, terjejas pada 18 Jun akibat letupan tersebut, kata pengendali lapangan terbang Bali dalam satu kenyataan.
Ini termasuk sambungan ke Australia, Singapura, Vietnam dan Malaysia.
Pada 19 Jun, penerbangan dari Bali berlepas mengikut jadual ke Australia, Vietnam, Singapura, Malaysia dan China, kata Encik Gede Eka Sandi Asmadi, seorang pegawai lapangan terbang Bali dalam satu kenyataan.
Penerbangan ini dikendalikan oleh syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, Virgin Australia, JetStar dan Singapore Airlines, tambah Encik Asmadi.
“Setakat ini, semua operasi berjalan lancar, baik keberangkatan mahupun ketibaan,” katanya.
Penerbangan yang dikendalikan oleh Qantas dan anak syarikat penerbangan bajetnya, JetStar, dijadualkan beroperasi seperti biasa pada 19 Jun, kata syarikat itu.
Beberapa penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dan AirAsia Indonesia menuju ke dan dari Bali, Lombok dan Labuan Bajo, yang dibatalkan sejak 18 Jun, juga telah disambung semula, kata syarikat penerbangan itu.
Dua lapangan terbang di wilayah Nusa Tenggara Timur dibuka semula pada 19 Jun selepas ditutup sementara pada 18 Jun.
Namun, pihak berkuasa melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Fransiskus Xaverius Seda di Maumere sehingga 20 Jun kerana masih terdapat abu gunung berapi di udara yang berisiko terhadap penerbangan, kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kiriman di media sosial.
Sejumlah penduduk yang tinggal di tiga kampung terdekat dengan gunung berapi telah dipindahkan, kata agensi mitigasi bencana tempatan.
Menurut agensi kajian gunung berapi Indonesia, Lewotobi telah meletup sebanyak 427 kali pada 2025. Letupan pada 17 Jun adalah yang terbesar sejak November 2024 apabila ia meletup beberapa kali dan mengorbankan nyawa sekurang-kurangnya sembilan orang.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan dengan aktiviti seismik yang tinggi di atas beberapa plat tektonik. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg