Riau isytihar darurat kecemasan kebakaran hutan hingga Nov

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Riau isytihar darurat kecemasan kebakaran hutan hingga Nov

Feb 16, 2026 | 9:34 AM

Riau isytihar darurat kecemasan kebakaran hutan hingga Nov

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kebakaran, Riau, Jerebu, November
Asap menyelubungi kawasan tanah gambut di Riau, Indonesia, ketika pasukan keselamatan menjalankan kerja memadamkan kebakaran hutan. - Foto MEDIACENTRE.RIAU.GO.ID

PEKANBARU: Pentadbiran wilayah Riau mengisytiharkan status darurat kecemasan kebakaran hutan dan tanah sehingga hujung November selepas jerebu mula muncul di beberapa kawasan.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau, Encik M. Edy Afrizal, berkata keputusan itu ditandatangani Pemangku Gabenor SF Hariyanto pada 13 Februari susulan peningkatan risiko kebakaran akibat cuaca semakin kering.

“Peningkatan status pengurusan kebakaran diputuskan melalui mesyuarat agensi berkaitan dan Forum Pimpinan Daerah.

“Curahan hujan semakin berkurang dan kebakaran sudah meningkat di beberapa kawasan, jadi langkah ini diambil sebagai pencegahan awal,” katanya.

Selepas pengisytiharan itu, BPBD segera memohon bantuan pemerintah pusat termasuk helikopter pengeboman air, rondaan udara dan operasi pengubahsuaian cuaca.

“Kami akan segera menghantar surat melalui agensi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) untuk mendapatkan sokongan kerana usaha pemadaman memerlukan tindakan lebih intensif,” kata Encik Edy.

“Kami juga menyelaras dengan Kementerian Perhutanan bagi operasi modifikasi cuaca dan permohonan helikopter.”

Kebakaran kini banyak berlaku di kawasan pesisir dan tanah gambut seperti Pelalawan, Indragiri Hilir, Rokan Hilir, Bengkalis serta bandar Dumai.

Di Siak Sri Indrapura, jerebu dari Bengkalis dan Pelalawan mula menyelubungi bandar manakala bau tanah gambut terbakar semakin ketara terutama pada waktu pagi.

“Dengan status ini, semua sumber boleh digerakkan bagi memastikan api tidak merebak,” kata Encik Edy.

Stesen Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II, mencatat peningkatan titik panas sepanjang minggu.

Jumlah tertinggi direkodkan pada 13 Februari dengan 280 titik panas, meningkat daripada 275 pada 12 Februari; dan 251 pada 11 Februari.

Bengkalis mencatat jumlah tertinggi diikuti Pelalawan, Siak, Indragiri Hilir, Kepulauan Meranti, Dumai, Rokan Hilir, Kampar, Rokan Hulu, Indragiri Hulu dan Kuantan Singingi.

Pegawai BMKG, Encik Bibin S, berkata peningkatan itu selari dengan permulaan musim kering yang dijangka berlanjutan hingga pertengahan Mac.

“Walaupun mungkin ada hujan ringan, corak cuaca kini lebih kering berbanding sebelumnya,” katanya.

“Keadaan ini meningkatkan risiko kebakaran terutama di kawasan gambut dalam beberapa minggu akan datang.”

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap potensi kebakaran.

Jurucakap Polis Riau, Pesuruhjaya Polis (Kanan) Zahwani Pandra Arsyad, berkata semua balai diarah memperhebat rondaan dan pengawasan di kawasan berisiko.

“Kita tidak boleh leka. Langkah pencegahan mesti diperkukuh sebelum musim kering memuncak. Tiada kebakaran harus berlaku walaupun kecil,” katanya.

Polis juga akan meningkatkan penggunaan teknologi melalui papan pemuka Lancang Kuning yang mampu mengesan titik panas secara masa nyata.

“Setiap titik panas akan diperiksa segera. Jika perlu dipadamkan, anggota mesti bertindak serta mengenal pasti puncanya,” kata Encik Zahwani.

“Jika kebakaran disengajakan, pelaku akan dihadapkan ke muka pengadilan.”

Selain itu, anggota keselamatan masyarakat diarah memberi penerangan kepada penduduk dan petani agar tidak membuka tanah dengan membakar.

“Kami menyeru masyarakat tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas,” kata Encik Zahwani.

Beliau menegaskan pendekatan nasihat diutamakan tetapi tindakan undang-undang tetap diambil terhadap pihak yang sengaja membakar.

“Kebakaran hutan bukan hanya soal api bahkan kesihatan awam, pendidikan kanak-kanak dan ekonomi. Kesan sangat luas, jadi ia mesti dicegah,” tambah Encik Zahwani.

Speaker Dewan Undangan Rakyat Riau, Encik Kaderismanto, menyokong langkah pemerintah wilayah kerana keadaan di beberapa daerah semakin membimbangkan.

“Status ini penting sebagai langkah awal bagi mengelakkan kebakaran menjadi lebih besar.

“Ia juga memudahkan penyaluran dana dan bantuan pusat termasuk helikopter rondaan dan pengeboman air,” ujarnya.

Pihak berkuasa berharap pengisytiharan awal itu dapat mengelakkan krisis jerebu besar seperti yang pernah melanda wilayah tersebut pada musim kering sebelum ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg