Riau tingkat kawalan kebakaran hutan dan tanah, lebih 120 hektar terjejas sejak awal 2026
Riau tingkat kawalan kebakaran hutan dan tanah, lebih 120 hektar terjejas sejak awal 2026
PEKANBARU: Penguasa wilayah Riau kini meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap risiko kebakaran hutan dan tanah ketika musim hujan menghampiri penghujungnya, selepas lebih 120 hektar kawasan dilaporkan terbakar di hampir seluruh wilayah itu sejak awal 2026, menurut pihak berkuasa tempatan.
Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah dan Pemadam Kebakaran (BPBD Damkar) Riau, Encik M Edy Afrizal, berkata pihaknya merekodkan sekurang-kurangnya 13 kebakaran berskala agak besar hanya dalam tempoh seminggu lalu, melibatkan enam daerah termasuk ibu negeri, Pekanbaru.
“Semua kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kini hanya tinggal proses pendinginan,” katanya ketika ditemui pada Selasa, 3 Februari.
Menurut Encik Edy, sejak Januari lalu kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan seluas 122.72 hektar di 10 daripada 12 daerah dan bandar di Riau. Antara kawasan paling teruk terjejas ialah Bengkalis dan Pekanbaru.
Setakat awal Februari, kebakaran yang masih dalam proses pemadaman hanya tertumpu di tiga daerah, iaitu Indragiri Hilir, Bengkalis dan Pelalawan, manakala kawasan lain telah dilaporkan pulih sepenuhnya.
“Ketika ini, kebakaran yang masih memerlukan pemantauan hanya di Inhil, Bengkalis dan Pelalawan. Di kawasan lain, api sudah dipadamkan,” katanya.
Sepanjang Januari 2026, pihak berkuasa turut mengesan lebih 200 titik panas di seluruh wilayah Riau, dengan sekurang-kurangnya 40 insiden kebakaran direkodkan dalam tempoh tersebut. Data terkini Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Stesen Pekanbaru pula menunjukkan sebanyak 113 titik panas dikesan setakat jam 7 pagi 4 Februari.
Peramal cuaca BMKG, Encik Sanya G, berkata jumlah tertinggi direkodkan di Pelalawan dengan 60 titik panas, diikuti Bengkalis (26), Indragiri Hilir (9), Dumai (9), Rokan Hilir (9) dan Kepulauan Meranti (1).
“Keadaan ini perlu diberi perhatian memandangkan cuaca di Riau kini didominasi cerah hingga berawan, dengan potensi hujan ringan hingga sederhana yang bersifat setempat,” katanya di Pekanbaru pada 4 Februari seperti dipetik agensi Antara.
Walaupun berdepan peningkatan risiko kebakaran, Encik Edy berkata Riau masih belum mengisytiharkan status siaga darurat kebakaran hutan dan tanah di peringkat wilayah. “Setakat ini, pengurusan kebakaran masih dapat ditangani oleh pentadbiran daerah masing-masing. Namun, penyelarasan tetap dijalankan bagi memastikan pemadaman berkesan dan mengelakkan kebakaran baharu, khususnya di kawasan yang masih melalui proses pendinginan,” katanya.
Pemangku Gabenor Riau, Encik S.F. Hariyanto, berkata pemerintah wilayah sedang memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mencegah kebakaran daripada merebak, termasuk dengan menggerakkan anggota tentera, polis, pasukan bomba serta sukarelawan masyarakat.
“Kami terus memberi pendidikan kepada penduduk agar tidak membuka tanah dengan cara pembakaran. Riau didominasi tanah gambut dan sangat mudah terbakar ketika cuaca kering,” katanya.
Amaran itu dibuat susulan penahanan empat individu oleh polis Riau minggu lalu kerana disyaki membersihkan tanah dengan membakar, yang mencetuskan kebakaran hutan dan tanah sehingga berlarutan selama beberapa hari.
Keempat-empat suspek, yang dikenal pasti dengan inisial M, RZ, JA dan YO, didakwa di bawah Perkara 108 Undang-Undang Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar 2009. Kesalahan tersebut membawa hukuman maksimum penjara sehingga 10 tahun serta denda sehingga 10 bilion rupiah (S$760,000)
Sementara itu, data kebakaran tidak hanya membimbangkan di Riau. Di seluruh Pulau Sumatera, sebanyak 170 titik panas dikesan, dengan Riau mencatat jumlah tertinggi, diikuti Kepulauan Riau dan Aceh masing-masing 20 titik, Kepulauan Bangka Belitung (9), Jambi (3), serta Sumatra Selatan dan Sumatra Barat masing-masing satu.
Selepas melalui tempoh banjir di beberapa kawasan sebelum ini, Riau kini beralih fokus kepada ancaman kebakaran hutan dan tanah. BPBD Riau mengesahkan sekurang-kurangnya enam daerah dan bandar telah terkesan, walaupun kebanyakan kebakaran berjaya dikawal dengan pantas.
Ketua Bidang Kecemasan BPBD Riau, Encik Jim Ghafur, berkata penetapan status siap siaga darurat di peringkat daerah dan bandar adalah langkah strategik untuk mempercepatkan tindak balas.
“Untuk mengisytiharkan status siaga darurat kebakaran di peringkat wilayah, sekurang-kurangnya tiga daerah perlu terlebih dahulu menetapkan status yang sama. Oleh itu, kami menggalakkan daerah berisiko tinggi mempertimbangkan langkah ini sekiranya potensi kebakaran terus meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun sebahagian besar Indonesia masih berada dalam puncak musim hujan, Riau mengalami keadaan cuaca yang lebih kering dalam beberapa minggu kebelakangan ini. BMKG memaklumkan kebanyakan kawasan di wilayah itu mencatat cuaca separa berawan disertai jerebu nipis.
Setakat 3 Februari, pihak berkuasa merekodkan 57 titik panas di Riau, tertinggi di Sumatera, diikuti Aceh dengan 33 titik panas.
Pakar cuaca turut memberi amaran bahawa Indonesia berdepan musim kemarau yang lebih teruk pada 2026 berikutan fenomena El Nino yang dijangka berkembang pada Jun dan berlarutan sekurang-kurangnya hingga pertengahan 2027. Fenomena semula jadi itu lazimnya membawa kepada pengurangan hujan, musim kering lebih panjang dan suhu lebih tinggi.
Pada kejadian El Nino pada 2015, sekitar 2.6 juta hektar hutan terbakar di seluruh Indonesia, termasuk di Riau, menjadikannya antara bencana kebakaran terburuk dalam sejarah negara itu. Jerebu tebal ketika itu turut menjejaskan negara jiran seperti Singapura dan Malaysia, memaksa penutupan sekolah serta pengeluaran amaran kesihatan awam.
Mengambil kira pengalaman pahit tersebut, pihak berkuasa Riau menegaskan bahawa kesiapsiagaan awal, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama masyarakat adalah kunci utama bagi mengelakkan berulangnya krisis kebakaran berskala besar pada tahun-tahun mendatang. - Agensi berita

