Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Riau, Sumatera dilanda kebakaran hutan, tanah gambut

Jul 21, 2025 | 10:54 AM
Penduduk menunggang skuter melepasi kebakaran hutan di Karya Indah, wilayah Riau pada 19 Julai 2025 sedang kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Riau, Pulau Sumatera memusnahkan beratus-ratus hektar kawasan ketika pasukan penyelamat sukar memadamkan api disebabkan cuaca panas terik serta tiupan angin kencang, 
Penduduk menunggang skuter melepasi kebakaran hutan di Karya Indah, wilayah Riau pada 19 Julai 2025 sedang kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Riau, Pulau Sumatera memusnahkan beratus-ratus hektar kawasan ketika pasukan penyelamat sukar memadamkan api disebabkan cuaca panas terik serta tiupan angin kencang,  - Foto AFP

RIAU: Kebakaran hutan dan tanah gambut yang semakin memburuk di wilayah Riau dan Sumatera, telah memusnahkan ratusan hektar kawasan, ketika usaha pemadaman berdepan cabaran akibat cuaca panas terik dan angin kencang, lapor portal berita Riau Online.

Antara kawasan terjejas termasuk Pekanbaru, Bengkalis, Rokan Hulu, Rokan Hilir dan Pelalawan. Menurut data Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), sebanyak 1,208 titik panas direkodkan di seluruh Sumatera setakat 20 Julai, termasuk 586 titik panas di Riau sahaja.

Laporan penyiar tempatan Metro TV turut menyatakan bahawa jerebu tebal yang terhasil telah melintasi sempadan dan sampai ke beberapa bahagian di Malaysia.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) telah mengerahkan helikopter Bell 206 untuk rondaan udara, selain memindahkan helikopter pengebom air Mi-8MSB-T dari Palembang ke Riau.

Pasukan petugas darat turut digerakkan, melibatkan agensi pengurusan bencana, tentera, polis, bomba serta sukarelawan. Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, menyatakan bahawa Indonesia akan memulakan operasi pembenihan awan pada 21 Julai bagi mengawal kebakaran.

“Sebuah pesawat Cessna berlepas dari Lapangan Terbang Pondok Cabe pada Ahad (20 Julai). Operasi pembenihan awan menggunakan natrium klorida (NaCl) akan dijalankan sekurang-kurangnya tujuh hari, bergantung kepada keadaan,” katanya dalam kenyataan.

Kebakaran besar dianggarkan memusnahkan sekitar 500 hektar kawasan di Rokan Hulu (Rohul), manakala 2.5 hektar tanah turut terbakar di Pekanbaru. Situasi paling membimbangkan kini berlaku di daerah Tapung, Kampar, apabila api menghampiri kawasan perumahan.

“Kami sangat cemas apabila api mula mendekati rumah. Kami tidak ada peralatan khas, hanya gunakan ranting dan daun basah untuk cuba padamkan api,” kata Encik Hariyadi, ketua masyarakat setempat.

“Kami terpaksa bertindak segera supaya api tidak membakar rumah kami.” Penduduk berjaya mengawal kebakaran selama lebih 30 minit sebelum pasukan khas Manggala Agni tiba untuk memberikan bantuan pemadaman.

Timbalan Komander Manggala Agni Pekanbaru, Encik Doni Wahyudi, berkata pasukannya ditempatkan di beberapa kawasan berisiko tinggi.

“Fokus kami ialah kawasan yang hampir dengan penempatan penduduk. Cuaca panas dan angin kuat menyebabkan api merebak dengan sangat cepat,” katanya.

BMKG mengesahkan bahawa jerebu dari kebakaran di Sumatera telah melintasi sempadan dan sampai ke ruang udara Malaysia.

Jurucakap Stesen BMKG Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru, Bibin S, berkata, “Berdasarkan peta penyebaran asap, jerebu bergerak ke arah timur laut dan melanda kawasan seperti Teluk Kemang di Malaysia. Namun kita tidak dapat nyatakan secara terperinci kawasan yang terjejas.”

Selain Riau, kebakaran berasingan turut berlaku di Sumatera Utara dan Sumatera Barat, memusnahkan sekitar 46 hektar tanah secara keseluruhan.

Encik Abdul Muhari menyatakan bahawa pada Khamis lalu, titik panas dikesan di Simalungun, khususnya di Girsang Sipangan Balon dan Pematang Sidamanik. Pihak berkuasa tempatan segera bertindak mengawal api.

Setakat Jumaat, 18 Julai lalu, 25 hektar tanah telah terbakar sebelum berjaya dikawal oleh Manggala Agni, bomba dan sukarelawan. Di Sumatera Barat, kebakaran turut berlaku di Nagari Padang Ganting dan Nagang Pagaruyung dalam daerah Tanah Datar pada petang 18 Julai, namun berjaya dipadamkan hari sama.

BNPB kini menggesa semua pihak berkuasa wilayah untuk memperkukuh pengawasan, meningkatkan rondaan bersama dan melaksanakan pemadaman awal di kawasan berisiko tinggi, memandangkan sebahagian besar Indonesia kini memasuki musim kemarau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg