JAKARTA: Lebih 1,000 bakal haji menggunakan Visa Furada dari Indonesia mengalami kekecewaan besar apabila mereka gagal berangkat ke tanah suci untuk musim haji 2025.
Setelah membelanjakan ratusan juta rupiah, visa yang biasanya daripada kerajaan Arab Saudi tidak diperolehi.
Keputusan mengejut itu mencetuskan kekeliruan dan kemarahan ramai pihak, termasuk desakan agar pemerintah Indonesia tampil memberi penjelasan serta melindungi hak jemaah.
Visa Furada atau Visa Mujamalah merujuk kepada visa haji bukan kuota yang diberikan secara langsung oleh kerajaan Arab Saudi.
Program itu sah di sisi undang-undang Indonesia melalui Akta No. 8 Tahun 2019 dan berada di bawah pemantauan Penyelenggara Ibadah Haji Khusus (PIHK).
Namun, musim haji 2025 menyaksikan Arab Saudi tidak mengeluarkan Visa Furada langsung, menyebabkan pembatalan perjalanan lebih 1,000 anggota jemaah.
“Menurut pihak Saudi, visa haji bukan kuota seperti Furada tidak akan dikeluarkan,” kata Timbalan Ketua Badan Penyelenggara Haji, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak.
Sebahagian jemaah bahkan telah tiba di Arab Saudi, namun tetap tidak dapat menunaikan ibadah kerana visa yang dijanjikan tidak muncul.
Bagi mereka yang telah membayar antara 373 juta rupiah ($29,441) dengan 975 juta rupiah ($77,079) setiap orang, keadaan itu bukan sahaja mengecewakan, malah mencetuskan pertanyaan tentang keabsahan dan ketelusan urus niaga antara agensi pelancongan dengan jemaah.
Mantan Menteri Agama, Encik Lukman Hakim Saifuddin, mengkritik sistem Furada yang kini menurutnya sudah menyimpang daripada maksud asal.
“Visa Mujamalah asalnya adalah undangan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi, namun kini ia lebih mirip perjanjian komersial antara ejen dengan pihak tertentu,” ujar Encik Lukman.
Beliau menegaskan ketidakpastian prosedur menjadikan Visa Furada sebagai produk yang mengandungi unsur ‘gharar’ (spekulatif dan samar-samar) dalam hukum Islam.
Ketiadaan ketelusan itu, tambah Encik Lukman, turut memburukkan hubungan diplomatik antara Indonesia dengan Arab Saudi.
“Apabila visa tidak dikeluarkan menjelang wuquf, berlaku saling tuding antara jemaah, PIHK, pemerintah Indonesia dan kerajaan Saudi,” katanya.
Dalam hal ini, Kementerian Agama masih belum mengeluarkan pendirian rasmi.
“Saya belum boleh memberi komentar,” ujar Ketua Pengarah Penyelenggaraan Haji dan Umrah, Encik Hilman Latief.
Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, menyatakan masalah itu turut dihadapi negara lain dan berada di luar bidang kuasa pemerintah Indonesia.
“Visa bukan dalam bidang kuasa kita, tetapi kerajaan Saudi. Kami tetap berkomunikasi dengan mereka,” ujarnya.
Menurut Encik Puji Raharjo dari Badan Pengelola Haji (BPH) keadaan itu wajar menjadi amaran kepada masyarakat.
“Jangan mudah tergoda dengan tawaran haji murah atau visa tidak rasmi seperti Furada,” katanya.
Dalam laporan majalah, Tempo, bertarikh 2 Jun 2025, keputusan kerajaan Saudi untuk tidak mengeluarkan Visa Furada didakwa berpunca daripada hasil penilaian Haji 2024.
Sebanyak 80 peratus daripada 1,301 anggota jemaah yang meninggal dunia ketika itu menggunakan visa bukan haji.
Setiausaha Agung Persatuan Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia (AMPHURI), Encik Farid Aljawi, menyatakan bahawa jemaah bukan visa haji turut menimbulkan aduan, seperti berkongsi khemah dengan jemaah sah.
Ini mendorong kerajaan Saudi mengehadkan jumlah jemaah kepada hanya sekitar 1.6 juta orang pada 2025, berbanding 2.5 juta sebelum ini.
Kerajaan Saudi juga hanya membenarkan visa rasmi haji digunakan.
“Visa kerja atau pelancongan tidak lagi boleh digunakan untuk menunaikan haji,” kata Encik Farid.
Pelbagai pihak mendesak agar pemerintah Indonesia tampil aktif.
Anggota Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Encik Abdul Fikri Faqih, menuntut perlindungan undang-undang untuk jemaah.
“Ini bukan semata-mata soal perniagaan, tetapi hak rakyat untuk menunaikan rukun Islam kelima,” tegasnya.
Yayasan Lembaga Pengguna Indonesia (YLKI) pula menyeru agar pemerintah memastikan pemulangan wang secara adil dan telus kepada jemaah yang gagal berangkat.
“Pemerintah mesti pantau ketat agar dana jemaah tidak hangus,” kata Pengerusi YLKI, Cik Niti Emiliana.
Ketua Suruhanjaya Nasional (Komnas) Haji dan Umrah, Encik Mustolih Siradj, melihat isu itu berkait rapat dengan pelaksanaan Visi 2030 Arab Saudi.
“Kerajaan Saudi sedang menstruktur semula ibadah haji sebagai sebahagian strategi kepelbagaian ekonomi. Visa Furada dianggap berisiko dan tidak memberi impak langsung kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Realitinya, isu Visa Furada bukan kali pertama berlaku. Sejak haji dibuka semula pasca pandemik, masalah kegagalan berangkat dialami oleh jemaah menggunakan Visa Furada pada 2022, 2023 dan 2024.
Kini, 2025 menambah lagi senarai panjang kegagalan sistem itu.
Ramai penganalisis dan tokoh masyarakat menyeru agar Visa Furada dihapuskan atau dikawal ketat.
Haji seharusnya hanya dijalankan menggunakan visa rasmi yang diuruskan secara telus, adil dan sah menurut undang-undang kedua-dua negara.
Kekecohan Visa Furada 2025 memperlihatkan kelemahan sistem kawal selia ibadah haji lintas sempadan.
Ia menuntut perubahan menyeluruh dalam mekanisme visa, pengawasan PIHK, serta penglibatan aktif negara demi melindungi maruah dan hak jemaah Indonesia di pentas antarabangsa.
“Kita perlu sistem yang memberikan kepastian, bukan janji palsu yang akhirnya memangsakan umat Islam yang tulus ingin berhaji,” tegas Encik Lukman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg