Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah lebih seabad kekal bertahan di tengah kawasan industri Jawa Timur
Rumah lebih seabad kekal bertahan di tengah kawasan industri Jawa Timur
Sebahagian rumah warisan di Gresik itu juga dibina sebagai rumah burung, bagi niaga sarang sejenis burung layang-layang atau walet
Rumah lebih seabad kekal bertahan di tengah kawasan industri Jawa Timur
Bandar pesisir Gresik di Jawa Timur pesat membangun.
Kawasan pantainya diperluas melalui penambakan laut dan kini dipenuhi loji petrokimia, kilang tepung, pusat peleburan tembaga dan taman perindustrian bersepadu.
Meskipun dengan kepesatan pembangunan itu, sebuah rumah agam lama dari akhir 1800-an masih kekal berdiri sebagai bukti sejarah penting bandar itu yang pernah menjadi pelabuhan perdagangan sibuk.
“Rumah ini dibina oleh moyang saya, Encik Djaelan Oemar. Beliau seorang usahawan yang terlibat dalam pengeluaran batik, penyamakan kulit, bengkel tembaga dan pelbagai perniagaan lain,” kata pemilik rumah itu, Encik Akhmad Choiri, kepada Berita Harian ketika lawatan ke galeri batik di ruang hadapan rumah itu pada akhir Mei.
Pembinaan rumah tersebut bermula pada 1896 dan mula didiami pada 1901.
Kediaman itu terdiri daripada dua bangunan dengan gabungan seni bina Cina, kolonial Belanda dan Jawa hasil inspirasi perjalanan luas Encik Djaelan sebagai pedagang.
Menurut Encik Akhmad, sebahagian besar struktur rumah itu masih asli termasuk hiasan dalaman, kabinet dan perabot lamanya yang terus dipelihara.
Bangunan utama mempunyai dua tingkat, dengan tingkat atas direka khas sebagai rumah sarang sejenis burung layang-layang yang dikenali sebagai walet, manakala bangunan kedua dibina sebagai rumah tetamu untuk kenalan dan rakan niaga Encik Djaelan.
“Walaupun dibina untuk menempatkan sarang burung walet, reka bentuknya tetap artistik. Alhamdulillah, ia masih bertahan hingga hari ini,” katanya.
Kawasan rumah itu terletak kira-kira 500 meter dari dataran bandar Gresik dan menjadi sebahagian dari kawasan bandar lama yang dipulihkan serta dijenamakan semula sebagai kawasan warisan Bandar Grissee.
Penjenamaan semula menggunakan nama era kolonial ‘Grissee’ bagi menghidupkan kembali identiti sejarahnya sebagai pelabuhan perdagangan antarabangsa telah dilancarkan pada Disember 2022 oleh mantan Menteri Pelancongan Indonesia, Encik Sandiaga Uno.
Walaupun mempunyai nilai tinggi daripada aspek sejarah, rumah tersebut belum diiktiraf secara rasmi sebagai bangunan warisan budaya oleh pemerintah.
Status itu sebenarnya membolehkan pemiliknya menerima insentif kewangan atau bukan kewangan bagi tujuan penyelenggaraan.
“Masyarakat umumnya menganggap rumah ini sebagai bangunan warisan budaya, tetapi secara pentadbiran kami berdikari.
“Keutamaan kami bukan mendapatkan status warisan, tetapi memastikan rumah ini terus kekal dalam keluarga untuk generasi akan datang,” kata Encik Akhmad.
Menurut beliau, banyak rumah keluarga lama gagal dipertahankan kerana perlu dijual dan dibahagikan sebagai harta pusaka antara waris.
Namun, keluarganya bersetuju supaya rumah itu terus dipelihara sebagai satu aset bersama.
“Ketika pembahagian harta pusaka dibuat, ahli keluarga menerima aset berbeza.
“Rumah ini kekal dalam keluarga dan akhirnya diuruskan oleh saya dengan sokongan adik-beradik,” katanya.
Ahli keluarga turut menerima bahagian hasil daripada perniagaan sarang burung walet yang masih beroperasi hingga kini.
Menurut Akhmad, kaedah itu membantu mengekalkan keharmonian keluarga sambil memastikan rumah tersebut terus dipelihara.
Bangunan itu pernah menerima bantuan baik pulih daripada agensi kerja raya dari 2019 hingga 2020, namun, kebanyakan kos penyelenggaraan ditanggung keluarga melalui hasil perniagaan batik miliknya.
Beliau memulakan perniagaan batik pada 2016 dengan jenama, Gajah Mungkur, diambil daripada patung gajah di rumah itu yang dalam bahasa Jawa bermaksud, badan menghadap jalan manakala kepala menghadap rumah.
Minatnya terhadap batik bermula ketika membesar di Pekalongan di Jawa Tengah bersama ibu saudaranya.
“Saya hidup dengan batik sejak kecil. Setiap hari saya melihat dan bernafas dalam dunia batik,” katanya.
Menurut beliau, pada awalnya beliau tidak mengetahui datuknya juga pernah menjalankan perniagaan batik dengan jenama sama.
“Saya hanya mengetahuinya selepas pak cik menunjukkan arkib keluarga yang membuktikan datuk saya juga mempunyai perniagaan batik Gajah Mungkur,” katanya.
Walaupun terkenal dengan semangat keusahawanan, Encik Akhmad berkata keluarganya berasal daripada keturunan Jawa tempatan dan bukannya keturunan pedagang Arab atau Cina yang pernah menetap di pesisir utara Jawa pada era kolonial.
Semangat keusahawanan itu membolehkan beliau dan lima adik-beradiknya terus mengendalikan perniagaan sarang burung walet keluarga.
“Hasil perniagaan diagihkan kepada ahli keluarga supaya semua keturunan dapat menikmati manfaatnya,” katanya.
Motif burung walet juga menjadi antara corak utama batik hasil rekaannya selain motif rusa Bawean yang semakin terancam dan ikan bandeng yang melambangkan masyarakat nelayan tradisional Gresik.
“Motif burung walet melambangkan doa dan harapan agar burung walet di rumah ini terus berkembang dan dipelihara untuk generasi keluarga kami pada masa depan,” katanya.
