Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selebriti, pempengaruh Indonesia desak pemerintah tegas hentikan genosid Palestin

Aug 12, 2025 | 3:05 PM
selebriti indonesia, gaza, Chikita Fawzi, Bella Fawzi
Pempengaruh media sosial Indonesia (dari kiri) Ketua Komuniti Rakan Palestin Indonesia, Amal Kartini; penyanyi, Inara Rusli; pendakwah Muslim, Erick Yusuf, wartawan veteran, Encik Pizaro Gozali; penyanyi, Fia Fellow; cef selebriti, Michelle Santoso; model fesyen, Rebecca Reijman, serta pasangan selebriti adik-beradik, Chikita Fawzi dan Bella Fawzi, menandatangani petisyen bagi mendesak Kementerian Luar Indonesia menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin dalam satu perhimpunan di Jakarta pada 11 Ogos. - Foto INSTGRAM MUHAMMAD_PIZARO

Sekumpulan selebriti dan tokoh awam Indonesia, masing-masing dengan jumlah pengikut yang ramai di wadah media sosial, menggesa Kementerian Luar Negeri Indonesia agar memperkukuh dan menegaskan pendirian mereka dalam menuntut menghentikan segera genosid yang sedang berlaku di Palestin, serta pembebasan semua pekerja kemanusiaan yang ditahan.

Dalam petisyen yang akan diserahkan kepada kementerian itu, mereka turut menggesa pemerintah agar memberi tekanan diplomatik secara langsung dan berterusan kepada Amerika Syarikat serta negara pembekal senjata supaya menghentikan sokongan mereka pada Israel.

“Apa yang kami lakukan ini adalah untuk menguatkan usaha para ulama dan pempengaruh lain yang telah berjuang untuk Palestin.

“Tanggungjawab kami adalah mengajak mereka yang belum bergabung untuk turut menyokong dan menyuarakan perpaduan terhadap Palestin,” kata pemuzik yang kini menjadi pendakwah, Erick Yusuf, dalam sidang media pada 11 Ogos.

Ahli perniagaan yang juga Ketua Komuniti, Rakan Palestin di Indonesia, Cik Mala Kartini, berkata mereka berharap dapat menyampaikan tuntutan itu secara langsung kepada Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono dan Timbalan Menteri Luar yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Timur Tengah dan dunia Islam, Encik Anis Matta.

“Kami telah menghantar surat memohon agar para ulama dan pempengaruh diberi peluang bertemu dengan menteri luar negara dan timbalannya. Kami masih menunggu jawapan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Peragawati fesyen, Rebecca Reijman, pula berkata mereka mahu bersuara mengenai penderitaan rakyat Palestin kerana “kami tahu apa yang betul dan apa yang salah”.

“Saya berharap pemerintah dapat mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap isu Palestin,” katanya, yang mempunyai lebih 73,000 pengikut di media sosialnya.

Petisyen enam perkara itu menggariskan tiga tuntutan utama kepada pemerintah Indonesia.

Pertama, ia mendesak supaya campur tangan diplomatik segera dilaksanakan bagi menamatkan genosid dan penjajahan di Palestin.

Kedua, ia menuntut akses kemanusiaan tanpa had dan berterusan bagi memastikan penghantaran bantuan serta kemasukan sukarelawan perubatan ke Gaza dapat berjalan lancar.

Ketiga, petisyen itu menggesa pemerintah mengamalkan pendirian diplomatik yang lebih tegas di forum antarabangsa, bagi mencerminkan sokongan rakyat Indonesia terhadap Palestin.

Langkah itu turut dilihat sebagai iltizam jangka panjang negara tersebut untuk memperjuangkan pembentukan sebuah Palestin yang bebas dan merdeka

“Saya berharap dapat melihat Palestin merdeka dalam hidup kita,” kata cef selebriti terkenal dengan 222,000 pengikut di Instagram, Michelle Santoso.

Penyanyi dan pemilik jenama fesyen sederhana, Inara Rusli, mengakui perjuangan untuk Palestin merdeka mungkin masih panjang, namun isu paling mendesak ketika ini adalah menamatkan sekatan terhadap Palestin bagi membolehkan bekalan makanan masuk ke wilayah itu.

“Sekurang-kurangnya rakyat di Gaza ada sesuatu untuk dimakan agar dapat terus hidup,” kata Inara, Duta untuk Projek Pembinaan Hospital Bersalin dan Kanak-Kanak Indonesia di Gaza itu, yang mempunyai 2.4 juta pengikut di Instagram.

“Ia adalah kelaparan yang dicipta manusia. Sekurang-kurangnya kelaparan ini dapat dihentikan jika sekatan dibuka,” tambah Michelle.

Antara selebriti lain yang menyatakan sokongan mereka termasuk Bella Fawzi dan Chikita Fawzi, anak kepada penyanyi rok era 80-an, Ikang Fawzi dan pelakon terkenal, Marissa Haque.

Chikita, seorang penyanyi dan animator dengan kira-kira 425,000 pengikut di akaun peribadi dan jenama fesyennya, berkata sebagai artis, beliau menghasilkan rekaan dan ciptaan bertema Palestin untuk jenama fesyennya yang dekat dengan golongan muda, agar mereka lebih peka terhadap isu Palestin.

Pelakon dan pengacara televisyen, Bella, yang mempunyai 205,000 pengikut berkata beliau dan rakan pempengaruh menandatangani petisyen itu kerana mereka menyokong hak rakyat Palestin untuk hidup bebas dan normal, dan akan terus menyuarakan sokongan di media sosial masing-masing.

“Setiap kandungan atau tulisan yang kami muat naik sekurang-kurangnya berkuasa untuk menyatakan pendapat dan pendirian kami terhadap isu Palestin,” tambah Bella.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg