Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Negara pasang tangga di laluan berbahaya Gunung Rinjani selepas pendaki jatuh

Aug 1, 2025 | 2:48 PM
Pihak taman negara telah menutup laluan Pelawangan Sembalun menuju ke Tasik Segara Anak bermula 16 Julai sehingga satu tarikh yang belum ditentukan bagi kerja-kerja pembaikan laluan, termasuk pemasangan tangga.
Pihak taman negara telah menutup laluan Pelawangan Sembalun menuju ke Tasik Segara Anak bermula 16 Julai sehingga satu tarikh yang belum ditentukan bagi kerja-kerja pembaikan laluan, termasuk pemasangan tangga. - Foto Instagram RINJANI_AWESOME

LOMBOK: Taman Negara Gunung Rinjani kini sedang memasang tangga di tiga lokasi sepanjang laluan berbahaya Pelawangan Sembalun menuju ke Tasik Segara Anak.

Laluan ini dianggap berbahaya bukan sahaja kerana cerun yang curam, tetapi juga kerana para pendaki biasanya sudah keletihan selepas sampai ke puncak Rinjani sebelum menuruni ke tasik.

Tiga pendaki asing telah jatuh di laluan ini antara bulan Jun dan Julai. Taman negara yang terletak di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat ini telah menutup laluan tersebut bermula 16 Julai sehingga satu tempoh yang belum ditentukan untuk kerja-kerja pembaikan, termasuk pemasangan tangga.

“Ada 12 lokasi pembaikan sepanjang laluan dari Pelawangan Sembalun ke Segara Anak,” kata Ketua Kumpulan Kerja Pendakian Bertaraf Dunia Taman Negara Rinjani, Budi Soesmardi, kepada kompas.com pada 27 Julai.

Beliau menambah bahawa terdapat tiga lokasi penting yang perlu dipasang tangga demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Jurucakap Taman Negara Gunung Rinjani, Muhammad Wahyudi Gunawan berkata: “Setiap langkah pembaikan yang dijalankan adalah sebahagian daripada tanggungjawab bersama untuk memastikan pendakian dan kepulangan yang selamat.”

Dalam perkembangan lain, gunung berapi itu akan ditutup dari 1 hingga 10 Ogos bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pembaikan dan menambah kemudahan infrastruktur seperti tempat perlindungan, serta menyediakan peralatan menyelamat dan pemindahan untuk diletakkan di setiap lokasi perlindungan.

“Penutupan ini adalah sebahagian daripada respons kami susulan banyaknya kes pendaki jatuh (sama ada maut atau cedera) di Gunung Rinjani,” kata Ketua Taman Negara Gunung Rinjani, Yarman, pada 24 Julai.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak taman negara sedang mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP), terutamanya berkaitan langkah pemindahan dan respons kecemasan.
“Jadi, jika berlaku kemalangan semasa pendakian, kita boleh memaksimumkan penggunaan peralatan yang akan diletakkan di setiap tempat perlindungan,” katanya.

Pemandu arah di Sembalun, Lombok Timur, berkata penutupan ini boleh menyebabkan penduduk tempatan kehilangan sumber pendapatan. Salah seorang pemandu arah, Encik Luqmanul Haqim, berkata beliau mempunyai tiga orang anak, dan anak sulungnya bakal memasuki sekolah pondok dan memerlukan kelengkapan sekolah serta wang saku harian.

“Saya perlukan kira-kira dua juta rupiah (S$157) sebulan untuk beli buku,” katanya pada 25 Julai.

Encik Luqmanul meluahkan rasa kecewa terhadap penutupan mendadak Gunung Rinjani, sambil berkata bahawa beliau tiada simpanan untuk menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh penutupan.

Beliau juga tidak dapat bekerja sebagai pengangkut sayur kerana “musimnya sudah berakhir sekarang”, katanya. “Kerja itu hanya ada ketika musim hujan dan waktu menuai.”

Encik Luqmanul berkata penutupan ini tidak kena pada masanya kerana berlaku sebelum sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos, yang biasanya menarik lebih ramai pelawat. Seorang pemandu arah biasanya menerima bayaran sebanyak 300,000 rupiah sehari, lebih tinggi jika melibatkan pendakian ke puncak. Satu pendakian boleh mengambil masa beberapa hari.

“Pendaki biasanya juga memberi tip kepada kami jika mereka berpuas hati dengan perkhidmatan kami,” kata Encik Luqmanul. “Saya boleh dapat satu juta rupiah dalam bentuk tip jika ramai pendaki datang ke Rinjani.”

Sementara mencari kerja lain sepanjang penutupan 10 hari itu, beliau berkata beliau akan berjimat dalam perbelanjaan harian, contohnya dengan mengurangkan pembelian rokok dan menggantikannya dengan tembakau gulung. “Beberapa hari kebelakangan ini memang tiada kerja di Rinjani,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg