Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi Gunung Rinjani: Nilai semula sektor keselamatan pelancongan Indonesia

Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Gunung Rinjani, Pulau Lombok, pelancong brazil
Gambar edaran Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) menunjukkan pasukan penyelamat sedang bersiap sedia dengan sebuah dron untuk digunakan dalam operasi menyelamat pelancong Brazil yang terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia, pada 23 Jun 2025. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Kematian seorang pendaki wanita dari Brazil, Juliana Marins, di Gunung Rinjani, Lombok, pada lewat Jun mencetuskan gelombang kebimbangan terhadap tahap keselamatan dalam sektor pelancongan ekstrem Indonesia.

Kejadian tragik itu bukan kes terpencil, tetapi mencerminkan kelemahan sistemik dalam pengurusan risiko di lokasi pelancongan alam semula jadi yang popular, terutama bagi pengunjung antarabangsa.

Lombok ialah destinasi pelancongan yang terkenal dengan pantai indah dan kehijauan semula jadi.

Ia kerap menjadi tumpuan pendaki Gunung Rinjani untuk menikmati pemandangan panorama.

Cik Juliana Marins, 26 tahun, dilaporkan terjatuh sejauh 600 meter semasa mendaki Gunung Rinjani pada 21 Jun 2025.

Usaha mencari dan menyelamat mengambil masa empat hari sebelum jasadnya ditemukan.

Menurut pihak berkuasa, operasi menyelamat dihalang oleh cuaca buruk, kabus tebal dan kawasan berbatu curam.

“Kejadian ini mengingatkan kita bahawa setiap destinasi pelancongan ekstrem membawa risiko serius,” kata Menteri Pelancongan, Cik Widiyanti Putri Wardhana, dalam kenyataan rasmi pada 28 Jun.

Menteri turut mengucapkan takziah dan menegaskan kepentingan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP), seperti yang termaktub dalam Surat Keputusan Ketua Taman Nasional Rinjani Nombor 19 Tahun 2022.

Gunung Rinjani dengan ketinggian 3,726 meter sering menjadi tumpuan pendaki dalam dan luar negara.

Namun, ia juga menyaksikan beberapa kemalangan maut sejak setahun lalu.

Seorang pelancong dari Malaysia selepas terjatuh ke dalam jurang pada Mei.

Beberapa hari sebelum kejadian melibatkan Cik Marins, seorang lelaki Russia cedera parah akibat terjatuh 200 meter semasa mendaki secara haram.

Pada 27 Jun 2025, seorang lagi pendaki warga Malaysia dikenali sebagai NAH berjaya diselamatkan selepas tergelincir di kawasan licin berhampiran Tasik Segara Anak.

Pemerintah Indonesia kini mendesak agar industri pelancongan ekstrem mengambil tiga langkah konkrit.

Pertama, melakukan audit menyeluruh terhadap semua operator dan pemandu pelancong bagi memastikan mereka memiliki pensijilan rasmi.

Kedua, mewajibkan latihan semula dalam teknik keselamatan, komunikasi krisis dan kaedah pemindahan.

Ketiga, memperluas pendidikan kepada pelancong asing mengenai risiko serta kepentingan menggunakan perkhidmatan operator rasmi dan peralatan keselamatan.

“Keselamatan pelancong adalah tanggungjawab bersama. SOP ini bukan hanya formaliti, malah pertahanan utama bagi mengelakkan kejadian maut,” tegas Cik Widiyanti.

Pengerusi Persatuan Pemandu Gunung Indonesia, Encik Rahman Mukhlis, turut menyifatkan Gunung Rinjani tidak sesuai untuk pendaki baru.

Menurutnya, pendaki perlu memiliki pengalaman mendaki gunung melebihi 2,500 meter serta kesiapsiagaan fizikal dan mental.

“Gunung Rinjani memerlukan tahap kecergasan tinggi dan pemahaman mendalam tentang pendakian. Ia bukan trek untuk sekadar mencuba nasib,” katanya pada 27 Jun.

Encik Rahman turut menyarankan agar pelancong memiliki insurans perjalanan, memeriksa kesihatan, memahami karakter gunung serta mematuhi arahan pemandu dan pihak pengurusan taman nasional.

Cik Marins, yang terkenal sebagai pengembara dan pempengaruh di media sosial, dikatakan tidak mempunyai pengalaman mendaki gunung yang mencabar.

Beliau mendaki bersama lima pelancong asing lain dan seorang pemandu tempatan.

Walaupun terkenal dengan lawatan ke banyak negara Asia, tragedi itu membuktikan bahawa populariti dan semangat tidak mencukupi dalam kegiatan berisiko tinggi.

Keluarga pendaki Brazil yang ditemui maut beberapa hari selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani mengkritik operasi menyelamat yang disifatkan terlalu lambat, sebelum pihak berkuasa menjalankan bedah siasat ini bagi menentukan masa kematiannya.

Tragedi itu mendapat liputan meluas di Brazil dan mencetuskan simpati di peringkat sejagat serta gesaan untuk penambahbaikan prosedur keselamatan.

Gunung Rinjani bukan satu-satunya lokasi yang mencatat kemalangan.

Di Taman Negara Komodo, seorang pelancong wanita dari China berusia 30 tahun lemas pada 18 Jun setelah membuka jaket keselamatan semata-mata untuk bergambar di Pantai Merah Jambu.

Menurut pemandu pelancong, beliau telah diberi amaran namun tidak mengendahkannya.

Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan di pantai, tetapi beliau disahkan meninggal dunia di klinik tempatan.

Kejadian itu mendorong pihak taman agar memperketat peraturan, termasuk pemakaian jaket keselamatan secara wajib dan pemantauan lebih ketat di lokasi berisiko tinggi.

Kes-kes itu menunjukkan bahawa sistem pelancongan Indonesia perlu lebih tegas dan sistematik.

Destinasi berisiko tinggi seperti Gunung Rinjani dan Taman Negara Komodo harus diletakkan di bawah pemantauan nasional dengan penyelarasan langsung bersama agensi penyelamat.

Operator pelancongan wajib mengadakan taklimat keselamatan sebelum kegiatan, menguatkuasakan penggunaan peralatan perlindungan, dan memastikan kerjasama dengan perkhidmatan kecemasan.

Ini bukan sahaja untuk melindungi pelancong, malah menjaga nama baik pelancongan negara.

Pemindahan Cik Marins dipuji dan dikritik, menunjukkan keperluan komunikasi krisis yang lebih cekap.

Meskipun cuaca dan medan mencabar menjadi penghalang, pengendalian profesional tetap dituntut oleh masyarakat antarabangsa.

“Kita perlu melihat insiden ini sebagai momentum untuk memperkukuh dasar keselamatan pelancongan ekstrem secara menyeluruh dan bukannya sekadar reaksi sementara,” ujar Cik Widiyanti.

Kes kematian Cik Marins harus menjadi pemangkin kepada pembaharuan dalam pengurusan pelancongan ekstrem di Indonesia.

Risiko sememangnya sebahagian daripada pengembaraan, namun tanggungjawab untuk meminimumkannya harus dipikul oleh semua pihak – daripada pemerintah, operator pelancongan, pemandu, hingga pelancong itu sendiri.

Sebagaimana ditegaskan oleh Encik Rahman: “Tiada gunung yang terlalu indah hingga layak meragut nyawa. Kesediaan dan disiplin adalah benteng sebenar.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg