JAKARTA: Indonesia kini berada di ambang pembinaan salah satu projek prasarana terbesar dalam sejarahnya iaitu Tembok Laut Gergasi (TLG) yang dijangka menelan belanja AS$80 bilion ($102 bilion) dan mengambil masa sekitar 20 tahun untuk disiapkan.
Projek itu diumumkan Presiden Prabowo Subianto pada 12 Jun dalam Persidangan Prasarana Antarabangsa 2025 sebagai langkah strategik bagi melindungi kawasan pesisir utara Pulau Jawa daripada ancaman banjir air pasang besar dan pemendapan tanah yang kian membimbangkan.
Kawasan pesisir utaranya (Pantura) semakin terancam oleh tiga fenomena yang bertindih. Ia termasuk kenaikan paras laut sejagat, penurunan tanah akibat pengambilan air tanah yang berlebihan, serta hakisan pantai yang kian agresif.
Dengan kerugian ekonomi langsung dianggar melebihi 10 trilion rupiah setahun menjelang 2035, pemerintah kini mendesak pelaksanaan TLG – projek tambak mega sepanjang sekitar 500 kilometer dari Banten hingga Gresik.
Cadangan asal TLG, sebahagian daripada inisiatif Pembangunan Bersepadu Pesisir Ibu Negara (NCICD), mula dibincang pada 1995.
Pelbagai isu krisis kewangan Asia, perubahan kepimpinan dan kebimbangan berhubung alam sekitar menunda projek tersebut selama hampir tiga dekad.
“Kita tidak boleh lagi menanti ombak menelan tanah air. Saya mungkin tidak melihat penyudahnya, tetapi saya akan memastikan pembinaannya bermula,” kata Encik Prabowo.
Bagi fasa pertama, Teluk Jakarta diberi keutamaan dengan kos AS$8 bilion hingga AS$10 bilion, dibiayai bersama pemerintah pusat dan Jakarta.
Segmen Jakarta sahaja dijangka siap dalam lapan tahun, manakala keseluruhan struktur 500 kilometer memerlukan dua dekad.
Pulau Jawa ialah nadi ekonomi Indonesia – menampung lebih 158 juta penduduk, separuh Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) nasional dan rangkaian pelabuhan terpenting negara.
Ia menyumbang 60 peratus GDP nasional dan menjadi pusat 70 kawasan perindustrian serta lima zon ekonomi khas.
Jika tiada campur tangan, kajian Kementerian Perancangan dan Pembangunan Negara (PPN) mengunjurkan sehingga 140,000 hektar tanah produktif boleh hilang menjelang 2050.
Menteri Penyelaras bagi Prasarana dan Pembangunan Serantau, Encik Agus Harimurti Yudhoyono, berkata: “Tanpa perlindungan pesisir yang kukuh, ancaman banjir pasang akan menjejas rantaian logistik negara dan memberi tekanan fiskal jangka panjang.”
Selain mempertahankan prasarana utama – pelabuhan Tanjung Priok, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta serta jalur kereta api pantai utara, TLG dijangka membuka ruang perbandaran baru di atas tambak di Teluk Jakarta – konsep serupa dengan IJburg di Amsterdam atau Songdo di Incheon.
Namun projek bersaiz raksasa itu memerlukan ketelusan tadbir urus serta model kewangan bersepadu.
Pemerintah merancang struktur kerjasama awam-swasta atau dikenali sebagai Kerjasama Pemerintah-Badan Usaha (KPBU) dengan pembahagian risiko.
Ia melibatkan dana awam bagi menampung prasarana penting, manakala konsortium swasta memperoleh konsesi pembangunan harta tanah di atas tambak.
Encik Prabowo turut mengumumkan pembentukan Penguasa TLG setara dengan Penguasa Ibu Kota Nusantara (IKN) bagi mempermudah keizinan lintas kementerian.
Bagaimanapun, Pengerusi Institut Air Indonesia (IWI), Profesor Firdaus Ali, mempersoalkan daya tarikan pelabur.
“Kos tambak lepas pantai di Jakarta sahaja boleh mencecah 500 trilion rupiah.
“Jika dilanjutkan ke Surabaya, nilainya melonjak berlipat ganda. Tanpa jaminan pulangan jelas, minat swasta mungkin terbatas,” katanya.
Beliau mengusulkan pendekatan modular dengan memberi tumpuan kepada segmen penting seperti Jakarta, Semarang, Pekalongan sebelum ia diperluas ke wilayah lain.
Profesor Firdaus turut melahirkan kebimbangan berkenaan ketelusan dan pewajaran teknikal projek tersebut.
“Projek ini perlu menjelaskan sama ada ia merupakan tambak pesisir atau tambak lepas pantai. Kedua-duanya membawa implikasi yang sangat berbeza,” katanya.
Tambak pesisir tegas beliau, lebih mendesak dan realistik untuk dilaksanakan dalam masa terdekat, terutama bagi kawasan seperti Jakarta, Semarang dan Tegal.
Kajian hidrodinamik – kuasa pergerakan air – menunjukkan kadar penenggelaman tanah di Pekalongan, sebagai contoh, pemendapan mencecah 22 sentimeter setahun, menyebabkan lebih 40 peratus kawasan kini berada di bawah paras laut.
Begitu juga di Semarang, memandangkan banjir menjejas lebih 60 peratus kawasan bandar setiap tahun.
Pakar Perancangan Bandar dari Universiti Islam Sultan Agung, Dr Mila Karmila, berkata:
“Oleh kerana kebanyakan kawasan pesisir berada di bawah paras laut, kami bergantung kepada benteng dan pam air untuk melindungi bandar...
“Benteng fizikal tanpa kawalan pengambilan air tanah hanya menunda krisis; ia bukan penyelesaian struktur.”
Beliau memberikan contoh Bangkok, apabila larangan penggunaan telaga air bawah tanah telah berjaya mengurangkan kadar penenggelaman tanah secara ketara – daripada 12 sentimeter setahun kepada hanya satu hingga dua sentimeter sahaja.
Tambak mega turut mengubah corak arus dan pemendapan.
Penilaian awal Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia yang kini merupakan sebahagian Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin) menganggarkan potensi kehilangan biodiversiti terumbu dangkal dan padang rumput laut bernilai sekitar 207 bilion rupiah setiap tahun.
Walaupun matlamat utama projek itu ialah melindungi ekonomi negara dan kawasan berpenduduk padat daripada tenggelam, ia turut menimbulkan pelbagai kebimbangan.
Beberapa pakar dan badan pemantau alam sekitar memberi amaran bahawa tembok itu berpotensi menjejas masyarakat nelayan, memusnahkan ekosistem laut dan mengorbankan sumber ekonomi daripada sektor ekonomi biru seperti perikanan.
Nelayan khuatir akses ke perairan tangkapan akan terhalang.
Memberi amaran, penyelidik daripada kumpulan penyokong, Institut Amrta bagi Kecelikan Air, Encik Bosman Batubara, berkata:
“Tembok laut akan bertindak seperti halangan ekologi – menjebak bahan pencemar, mengubah saliniti, menjejaskan kelestarian industri perikanan rakyat.
“Tembok ini mungkin memerangkap sampah dan pencemaran yang akan memberi kesan negatif kepada masyarakat dan alam sekitar.”
Kisah Kampung Semonet di Wonokerto yang kehilangan kira-kira 1.5 kilometer garis pantai dalam tempoh dua dekad menyerlahkan jurang ketidakseimbangan pembangunan wilayah antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Penyelidik yang juga pensyarah dari Institut Teknologi Bandung, Dr Heri Andreas, berkata pemerintah tempatan lazimnya memilih memindahkan penduduk kampung kecil seperti Semonet.
Ini kerana kos membina benteng perlindungan yang kukuh dianggap terlalu tinggi dan tidak berbaloi berbanding pelaburan di kawasan bandar.
Sementara itu, Jakarta, Pekalongan dan Semarang yang memiliki pengaruh fiskal menerima perlindungan kejuruteraan canggih.
“Projek mega tidak boleh mengabaikan masyarakat kecil; jika tidak, ia akan menambah jurang kemiskinan wilayah,” tegas Dr Heri.
Sementara itu, Belanda sering dijadikan rujukan dalam pengurusan bencana alam, khususnya dalam menghadapi ancaman laut dan banjir.
Selepas banjir besar 1953, negara itu membangunkan sistem ‘Delta Works’, yang merangkumi rangkaian pintu air dan pantai buatan dengan kos sekitar 5 bilion euro ($7.4 bilion) (berdasarkan nilai 1997).
Kejayaan itu sering dipuji, namun pendekatannya tidak hanya bersandar pada binaan fizikal semata-mata.
Belanda turut melaksanakan inisiatif, ‘Room for the River’, iaitu strategi yang memberi ruang semula jadi kepada sungai untuk melimpah ketika musim hujan, berbanding membina tembok air yang lebih tinggi.
Di Jepun pula, penyelesaian lebih berasaskan dasar terbukti berkesan.
Sejak 1970-an, kawalan terhadap pengambilan air tanah di sekitar Teluk Tokyo berjaya memperlahankan kadar penenggelaman tanah secara ketara.
Kosnya juga jauh lebih rendah berbanding pembinaan prasarana berskala besar.
Kedua-dua contoh itu menunjukkan pendekatan lebih seimbang, antara pembangunan fizikal dengan dasar pemuliharaan alam sekitar, adalah penting dalam memastikan kelestarian penyelesaian jangka panjang terhadap ancaman perubahan iklim dan pemendapan tanah.
Sebarang usaha seperti TLG di Indonesia perlu digabungkan dengan dasar pengurusan air tanah yang berkesan, pewartaan zon larangan pembangunan di kawasan rendah yang terdedah, serta pemulihan ekosistem semula jadi seperti hutan paya bakau.
Ekosistem hijau bukan sahaja berperanan sebagai penampan terhadap gelombang laut dan ribut, malah mampu memperlahankan hakisan pantai secara semula jadi.
Tanpa gabungan pendekatan struktur dan bukan struktur itu, Indonesia berisiko mengulangi kesilapan lalu, iaitu bergantung sepenuhnya pada kejuruteraan mega yang mahal tanpa menangani akar permasalahan.
Bagi mengimbangi antara keperluan perlindungan pantai dengan keupayaan fiskal negara, beberapa cadangan strategik boleh dipertimbangkan.
Antaranya, memulakan projek rintis yang lebih memberi tumpuan seperti segmen Jakarta – Bekasi yang sangat penting dari segi risiko banjir dan penurunan tanah, selain membangunkan satu rangka kerja pemantauan dan penyeliaan berasaskan data.
Ini boleh menyediakan model operasi yang boleh disesuaikan untuk wilayah lain.
Langkah kedua ialah mewajibkan industri berat di kawasan Pantura agar beralih daripada penggunaan telaga bor atau gerudi kepada sistem air permukaan dan kitar semula.
Seperti yang ditunjukkan dalam pengalaman Tokyo, pengurangan pengambilan air tanah terbukti berkesan dalam melambatkan kadar penenggelaman bandar besar.
Ketiga, pelaksanaan projek TLG harus disepadukan dengan penyelesaian berasaskan alam seperti pembinaan taman bakau, terumbu karang buatan dan zon perikanan terkawal.
Ini bukan sahaja menyokong ekosistem pesisir, malah turut melindungi kepentingan ekonomi nelayan tempatan yang bergantung kepada sumber laut sebagai punca rezeki harian.
Pembiayaan alternatif seperti bon hijau boleh diterokai.
Melalui mekanisme itu, pemerintah boleh menampung kos projek dengan memanfaatkan peningkatan nilai hartanah dan prasarana yang dibina di atas tambak.
TLG menonjol sebagai simbol kesungguhan Indonesia menghadapi krisis iklim dan pembandaran pesat.
Walaupun demikian, kejayaan projek bukan sekadar diukur pada panjang tembok, malah kemampuan pemerintah menyelaras pendekatan berbilang disiplin: kejuruteraan pesisir, pembaharuan penggunaan tanah, perlindungan sosial dan ketelusan pembiayaan.
Dengan jangkaan 70 peratus penduduk Indonesia akan tinggal di kawasan bandar menjelang 2045, Encik Prabowo menambah:
“Ini bukan hanya hal membina dinding, malah melindungi kehidupan berjuta rakyat.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg