Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan melancarkan siasatan terhadap prosedur pelupusan peluru tamat tempoh susulan insiden letupan mengejut yang meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa, termasuk sembilan orang awam, menurut seorang pegawai kanan tentera pada lewat malam 12 Mei.
Insiden maut itu berlaku pada pagi 12 Mei semasa prosedur pelupusan rutin peluru tamat tempoh di kawasan lapang di Kampung Sagala, daerah Garut, dalam wilayah Jawa Barat.
“Angkatan Darat Indonesia akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden ini, dan kami akan memberikan kemas kini lanjut apabila ada maklumat baru,” kata jurucakap tentera Brigedier-Jeneral (BG) Wahyu Yudhayana dalam sidang media.
Empat anggota tentera, termasuk seorang kolonel yang mengetuai pusat simpanan peluru tamat tempoh dan tidak digunakan, turut terkorban bersama sembilan orang awam.
Menurut BG Wahyu, anggota tentera telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dalam melupuskan peluru tamat tempoh dan tidak digunakan, termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap petugas serta kawasan letupan, dan semua aspek telah “diisytiharkan selamat”.
Pasukan pelupusan telah menyediakan dua lubang khas untuk meletupkan peluru tamat tempoh tersebut.
Semua anggota telah berada di pos masing-masing selepas meletakkan peluru dan alat pencetus letupan di dalam lubang-lubang itu.
“Letupan berjalan lancar dan selamat dalam dua lubang tersebut,” kata Jeneral Wahyu, sambil menambah bahawa satu lubang ketiga juga telah disediakan bagi melupuskan alat pencetus letupan yang digunakan dalam dua letupan terdahulu, termasuk pencetus yang berbaki daripada peluru tamat tempoh itu.
Ketika pasukan tentera sedang menyusun alat pencetus letupan di dalam lubang ketiga yang disediakan, satu letupan tidak dijangka berlaku dalam lubang itu, mengakibatkan 13 kematian, kata BG Wahyu.
Lokasi pelupusan itu terletak di tanah lapang milik agensi pemuliharaan sumber asli tempatan dan berada jauh dari kawasan perumahan.
Menurut BG Wahyu, Angkatan Darat Indonesia sering menggunakan tanah tersebut untuk pelupusan peluru yang telah tamat tempoh.
“Angkatan Darat Indonesia merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya atas kehilangan anggota kami dan mangsa awam dalam insiden tragis ini. Mereka adalah individu yang berdedikasi,” ujar BG Wahyu.
Menurut jurucakap TNI, Mejar Jeneral Kristomei Sianturi, orang awam dipercayai berada di kawasan letupan kerana mahu mengutip sisa logam, tembaga dan besi buruk daripada serpihan bom tangan dan mortar yang dimusnahkan.
Rakaman yang disiarkan melalui saluran televisyen nasional menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul naik dari lokasi letupan di tengah-tengah tanah lapang, diikuti letupan kedua.
Satu lagi rakaman memperlihatkan ambulans bergegas keluar dari kawasan tersebut, membawa keluar mayat dan mangsa cedera ke hospital daerah.
“Kami sedang meneliti insiden ini. Letupan kedua mungkin berpunca daripada alat pencetus letupan yang tidak meletup sepenuhnya. Namun ini masih merupakan kesimpulan awal,” kata Mejar Jeneral Kristomei.
Pihak tentera bersama pihak berkuasa tempatan telah mengawal kawasan letupan bagi mengelakkan orang awam daripada terus mengutip sisa peluru yang tidak boleh digunakan.
Pakar forensik di Hospital Pameungpeuk telah menjalankan bedah siasat terhadap mayat-mayat mangsa dan berjaya mengenal pasti sebahagian daripada mereka.
Namun menurut pihak berkuasa, ada juga mangsa yang sukar dikenal pasti kerana keadaan tubuh mereka yang hancur akibat letupan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg