Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes tolak undang-undang tentera cetus keganasan di beberapa bandar Indonesia

Mar 25, 2025 | 12:46 PM
bom botol, Surabaya
Seorang pelajar melempar bom botol ke arah pasukan rusuhan semasa tunjuk perasaan membantah pindaan undang-undang tentera di Surabaya pada 24 Mac. - Foto AFP

JAKARTA: Gelombang protes terhadap pindaan kontroversi Undang-Undang Tentera Indonesia (UU TNI) mencetuskan pertembungan ganas antara mahasiswa dengan pasukan keselamatan di beberapa bandar utama pada 24 Mac, termasuk Surabaya, Malang, Sukabumi, Palangka Raya dan Lumajang.

Puluhan cedera dan berpuluh-puluh lagi ditahan, sekali gus mencerminkan kebimbangan awam terhadap pengaruh tentera yang semakin meningkat dalam urusan awam negara.

Di Sukabumi, ratusan mahasiswa berhimpun di hadapan pejabat Majlis Perundangan Bandar (DPRD) untuk menyuarakan penolakan mereka terhadap undang-undang yang membenarkan pegawai tentera aktif memegang jawatan awam.

Tindakan peserta yang cuba memasuki bangunan mendorong polis menggunakan meriam air, mencetuskan kekecohan yang mengakibatkan beberapa mahasiswa cedera.

“Demonstrasi ini telah disusupi pihak luar yang bukan mahasiswa,” kata Encik Wawan Juanda, Pengerusi DPRD Sukabumi, yang turut mengecam keganasan tersebut.

Situasi serupa berlaku di Surabaya, di mana sekitar 1,000 penunjuk perasaan berpakaian hitam berhimpun di hadapan Gedung Negara Grahadi.

Mereka membawa poster bertulis ‘Tolak Undang-Undang Tentera’ dan ‘Tentera Harus Kembali ke Barak’.

Beberapa individu melempar batu dan botol ke arah polis, memaksa pihak berkuasa menyuraikan mereka dengan meriam air dan pasukan rusuhan sekitar jam 7 malam.

“Kami terima maklumat bahawa 25 orang sedang ditahan, tetapi setakat ini kami belum dapat memberikan bantuan guaman kepada mereka,” kata Encik Fatkhul Khoir, aktivis dari Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS).

Di Palangka Raya, protes bermula secara aman tetapi bertukar ganas apabila penunjuk perasaan memecahkan pintu kaca bangunan DPRD.

Beberapa individu cedera, dan pihak polis menahan beberapa suspek yang disyaki terlibat dalam perbuatan merosakkan harta benda.

Sementara itu di Lumajang, konfrontasi berlaku apabila mahasiswa cuba menyerbu pejabat DPRD dan berlaku balingan objek ke arah anggota keselamatan.

Dua penunjuk perasaan cedera dan polis bertindak balas untuk mengawal keadaan.

Insiden paling membimbangkan berlaku di Malang, apabila penunjuk perasaan membakar dua pondok keselamatan di kompleks DPRD pada malam 23 Mac.

Polis menahan tiga mahasiswa yang didakwa mencetuskan rusuhan.

Bagaimanapun, kumpulan bantuan guaman mengecam penahanan itu sebagai tindakan sewenang-wenangnya dan mendakwa pihak berkuasa menggunakan kekerasan yang tidak seimbang.

Sebagai respons terhadap gelombang bantahan ini, Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Supratman Andi Agtas, mencadangkan agar pihak yang tidak bersetuju membawa isu ini ke Mahkamah Perlembagaan.

“Biarkan pemerintah melaksanakan dahulu UU TNI yang baru ini. Jika ada keraguan, salurannya adalah uji perlembagaan. Di situ kita tentukan sama ada kebimbangan itu berasas,” ujarnya.

Pindaan UU No. 34/2004 ini memperluaskan jumlah institusi pemerintah yang boleh diisi oleh anggota tentera aktif daripada 10 kepada 14 agensi awam, tanpa perlu meletakkan jawatan.

Langkah itu, yang diluluskan pada 20 Mac oleh Parlimen dan disokong kuat oleh gabungan Presiden Prabowo Subianto — mencetuskan kebimbangan akan mengembalikan dominasi tentera seperti zaman Orde Baru di bawah pemerintahan Suharto.

“Undang-undang ini membuka jalan kepada tentera untuk kembali menguasai kehidupan awam, sesuatu yang kita lawan selama era reformasi,” kata seorang aktivis mahasiswa di Surabaya yang enggan dinamakan.

Kumpulan hak asasi manusia memberi amaran bahawa perubahan ini akan menjejaskan kawalan undang-undang terhadap penyalahgunaan kuasa dan merosakkan asas pemerintahan sivil.

“Kebangkitan tentera dalam pentadbiran awam adalah satu tamparan hebat kepada demokrasi. Kami akan terus turun ke jalan,” kata Encik Fatkhul. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg