JAKARTA: Tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara sepatutnya membuka peluang kepada rakyat Indonesia memperbaiki kehidupan keluarga.

Namun, bagi sebahagian mereka, impian itu bertukar menjadi tragedi apabila ia berakhir di medan perang Russia-Ukraine.

Kes rakyat Indonesia yang direkrut menyertai tentera Russia, termasuk mereka yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran, kini mencetuskan persoalan mengenai kegiatan pemerdagangan manusia, eksploitasi pekerja migran dan tanggungjawab pemerintah melindungi rakyatnya.

Lebih membimbangkan, kaedah perekrutan yang digunakan didakwa menyerupai taktik sindiket penipuan pekerjaan di Asia Tenggara, yang memancing mangsa melalui media sosial dengan janji pendapatan tinggi sebelum memperdaya mereka.

Perkembangan itu turut menguji hubungan diplomatik Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, ketika Jakarta berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Moscow.

Terpedaya janji gaji lumayan

Menurut laporan siasatan, perekrut menggunakan Facebook, Instagram dan aplikasi pemesejan untuk menawarkan pekerjaan di Russia sebagai pemandu, pekerja binaan, tukang masak, pengawal keselamatan serta kakitangan pentadbiran.

Tawaran itu disertai janji gaji bulanan sehingga AS$3,000 ($3,883) dan bonus kontrak mencecah AS$35,000 – jumlah yang jauh lebih tinggi daripada pendapatan kebanyakan pekerja biasa di Indonesia.

Namun, sebahagian individu yang menerima tawaran tersebut mendakwa mereka akhirnya dipaksa atau diperdaya menandatangani kontrak ketenteraan dalam bahasa Russia yang tidak difahami.

Ada yang dihantar ke medan perang selepas menjalani latihan singkat, tanpa pengalaman ketenteraan mencukupi untuk menghadapi pertempuran sebenar.

Polis Indonesia dilaporkan menyiasat lima kes membabitkan 58 individu yang disyaki menjadi mangsa perekrutan sedemikian, selain menahan 13 suspek, termasuk warga asing.

Walaupun terdapat individu yang mungkin secara sukarela menyertai tentera Russia, dakwaan penipuan pekerjaan menimbulkan persoalan sama ada sebahagian mereka sebenarnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Perbezaan itu penting kerana tidak semua rakyat Indonesia yang menyertai tentera asing semestinya diperdaya, manakala mereka yang direkrut melalui maklumat palsu mungkin tidak mengetahui risiko sebenar pekerjaan tersebut.

Kematian cetus kebimbangan

Antara kes yang mendapat perhatian ialah Encik Taufiq Muhammad, bekas pemandu teksi Indonesia berusia 48 tahun, yang menurut maklumat perisikan pertahanan Ukraine, terbunuh dalam pertempuran pertamanya selepas menjalani latihan ketenteraan kira-kira seminggu setengah.

Seorang lagi rakyat Indonesia, Encik Rendi Apriyanto, 30 tahun, dari Natuna, Kepulauan Riau, turut dilaporkan terbunuh selepas menyertai tentera Russia.

Bagaimanapun, maklumat mengenai kematian dan jumlah sebenar rakyat Indonesia yang berkhidmat dalam tentera Russia masih memerlukan pengesahan bebas.

Kes tersebut menunjukkan betapa besarnya risiko yang dihadapi individu tanpa pengalaman ketenteraan apabila dihantar ke medan perang yang menggunakan dron, artileri dan pelbagai senjata moden.

Bagi keluarga mangsa, tragedi itu bukan sahaja menyebabkan kehilangan insan tersayang, malah menimbulkan kesukaran mendapatkan maklumat mengenai nasib mereka serta membawa pulang jenazah.

Taktik serupa sindiket penipuan

Pakar keselamatan serantau, Cik Munira Mustaffa, Pengarah Eksekutif Chasseur Group, membandingkan kaedah perekrutan itu dengan taktik sindiket pusat penipuan dalam talian di Asia Tenggara.

Kedua-duanya menggunakan tawaran pekerjaan menarik untuk memancing mangsa sebelum meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar untuk melepaskan diri.

Persamaan tersebut menunjukkan bahawa kegiatan perekrutan tentera asing bukan sekadar isu keselamatan, malah sebahagian daripada ancaman lebih luas terhadap pekerja migran.

Menurut laporan, The Diplomat, rakyat Indonesia bukan satu-satunya kumpulan yang menjadi sasaran.

Warga Nepal, India dan Sri Lanka juga pernah direkrut menyertai tentera Russia sehingga pemerintah masing-masing mendesak Moscow menghentikan kegiatan tersebut.

Hubungan Prabowo-Putin diuji

Berikutan laporan kematian rakyatnya, Indonesia secara rasmi meminta Russia menghentikan semua kegiatan perekrutan warga Indonesia ke dalam angkatan tenteranya.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Cik Yvonne Mewengkang, berkata Jakarta turut meminta Moscow memasukkan Indonesia dalam senarai negara yang rakyatnya dikecualikan daripada perekrutan ketenteraan.

Namun, keberkesanan langkah diplomatik itu masih menjadi persoalan.

Penganalisis Indonesia, Encik Radityo Dharmaputra, menyifatkan tindakan Jakarta sebagai langkah perlu, tetapi mungkin tidak berkesan tanpa tekanan lebih tegas terhadap Moscow.

Beliau mengusulkan agar Encik Prabowo menggunakan hubungan peribadinya dengan Encik Putin untuk menghentikan perekrutan dan membantu rakyat Indonesia yang masih berada dalam tentera Russia.

Menurutnya, Jakarta juga boleh mempertimbangkan sekatan perjalanan, menggantung kerjasama tertentu dan meningkatkan tekanan diplomatik jika Moscow gagal memberikan kerjasama.

Ancaman baharu Asean

Isu perekrutan tentera Russia turut melibatkan rakyat negara Asia Tenggara lain termasuk Vietnam, Filipina, Kemboja, Myanmar dan Malaysia.

Keadaan ini menimbulkan keperluan bagi Asean menyelaraskan usaha membanteras rangkaian perekrutan yang memperdaya pekerja migran melalui media sosial.

Bagi Indonesia, cabaran terbesar bukan sekadar menghentikan perekrutan, bahkan memastikan rakyatnya tidak lagi terperangkap antara janji pendapatan lumayan dengan risiko kehilangan nyawa di medan perang.

Krisis ini turut menguji sejauh manakah Jakarta sanggup mengutamakan keselamatan rakyatnya apabila kepentingan tersebut bertembung dengan hubungan strategik bersama Moscow.

Tanpa penguatkuasaan lebih tegas, kerjasama antarabangsa dan perlindungan pekerja migran yang berkesan, lebih ramai rakyat Indonesia mungkin terus menjadi mangsa perang yang berlaku beribu-ribu kilometer dari tanah air mereka. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti