JAKARTA: Seorang warga Indonesia yang dipercayai sudah menyertai tentera Russia menghubungi jurucakap Kementerian Luar Indonesia melalui WhatsApp dan meminta satu mesej disampaikan kepada Menteri Luar, Encik Sugiono, ketika Jakarta menyiasat dakwaan rakyatnya direkrut untuk dihantar ke zon konflik.

Jurucakap kementerian, Cik Yvonne Mewengkang, berkata mesej itu diterimanya menerusi nombor telefon peribadi yang digunakannya dalam kapasiti sebagai jurucakap.

“Ada satu mesej WhatsApp yang nampaknya datang daripada warga Indonesia berkenaan dan dihantar ke nombor peribadi saya sebagai jurucakap kementerian untuk disampaikan kepada Menteri Luar,” katanya di Jakarta pada 17 September.

Beliau tidak mendedahkan identiti pengirim atau kandungan mesej itu, termasuk sama ada individu berkenaan meminta bantuan pemerintah Indonesia untuk meninggalkan tentera Russia.

Jakarta juga belum mengesahkan sama ada pengirim mesej tersebut merupakan salah seorang daripada sekurang-kurangnya lapan warga Indonesia yang menurut Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine (FISU) telah direkrut menyertai angkatan tentera Russia.

Perkembangan itu muncul ketika Kementerian Luar Indonesia sedang mengesahkan identiti dan status kewarganegaraan lapan individu yang dinamakan Ukraine, selain menyiasat bagaimana mereka direkrut, kontrak yang ditandatangani dan bentuk penglibatan mereka dengan tentera Russia.

Ukraine menamakan mereka sebagai Yuda Putra Pratama; Haryanto Dwi Kencana; Erwanda, Ngangun Hudri Fadli; Muhammad Syaripudin; Hadi Maulana; Wahyu Oktavian Iskandar dan Helmi Nuraha Hakim.

Pemerintah Indonesia belum mengesahkan secara bebas dakwaan Ukraine itu atau menentukan sama ada kesemua individu berkenaan benar-benar menyertai tentera Russia.

Persoalan utama yang turut disiasat ialah sama ada mereka menyertai tentera asing secara sukarela atau diperdaya melalui tawaran pekerjaan.

Menurut FISU, sebahagian warga asing didakwa direkrut menerusi tawaran yang menjanjikan gaji tinggi, tugas bukan tempur, proses lebih cepat mendapatkan kewarganegaraan Russia dan pelbagai faedah sosial.

Agensi perisikan Ukraine itu mendakwa sesetengah rekrut asing tidak mengetahui lokasi sebenar mereka akan ditempatkan selepas menyertai angkatan Russia.

Dakwaan tersebut belum disahkan secara bebas oleh pemerintah Indonesia.

Cik Yvonne berkata Jakarta bersedia memberi perlindungan sekiranya siasatan mendapati terdapat warga Indonesia yang menjadi mangsa penipuan.

“Jika terdapat warga Indonesia yang menjadi mangsa, sudah tentu kami akan mengambil langkah perlindungan yang diperlukan,” katanya.

Status bagaimana mereka menyertai tentera Russia penting kerana ia turut menentukan kemungkinan implikasi terhadap kewarganegaraan mereka.

Di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan Indonesia 2006, seseorang warga Indonesia boleh kehilangan kewarganegaraannya jika secara sukarela menyertai angkatan tentera negara asing tanpa mendapat kebenaran Presiden.

Cik Yvonne berkata pemerintah perlu terlebih dahulu mengesahkan fakta setiap kes sebelum menentukan tindakan yang perlu diambil.

Ini bermakna mereka yang terbukti diperdaya melalui tawaran pekerjaan mungkin menerima perlindungan pemerintah, manakala individu yang secara sukarela menyertai tentera Russia tanpa kebenaran boleh berdepan implikasi undang-undang, termasuk kehilangan kewarganegaraan.

Kedutaan Russia di Jakarta pula menafikan terlibat dalam pengambilan rakyat Indonesia untuk menyertai angkatan tenteranya.

Duta Russia ke Indonesia, Encik Sergei Tolchenov, berkata misi diplomatik Russia di negara itu tidak menjalankan kegiatan merekrut rakyat Indonesia atau warga asing lain untuk perkhidmatan tentera.

Jakarta setakat ini belum membuat kesimpulan mengenai bagaimana lapan individu yang dinamakan Ukraine itu didakwa menyertai angkatan Russia.

Pemerintah Indonesia sedang menyelaras usaha pengesahan menerusi perwakilannya di Moscow dan Kyiv serta kementerian dan agensi berkaitan.

Kementerian Luar turut mengingatkan rakyat Indonesia supaya berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan di kawasan konflik atau pekerjaan yang mungkin membabitkan kegiatan ketenteraan negara asing. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti