Usaha selamatkan spesies terancam badak ‘Musofa’ bagi program pembiakan tidak kesampaian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha selamatkan spesies terancam badak ‘Musofa’ bagi program pembiakan tidak kesampaian

Dec 8, 2025 | 5:31 AM

Usaha selamatkan spesies terancam badak ‘Musofa’ bagi program pembiakan tidak kesampaian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Musofa, salah  satu badak Jawa jantan terakhir di dunia, mati tidak lama selepas pemindahan ari habitat liar ke Kawasan Kajian dan Pemuliharaan Badak Jawa di Taman Negara Ujung Kulon, Banten, sebahagian daripada usaha menyelamatkan spesies yang kritikal terancam. Taman Negara Ujung Kulon memaklumkan badak tersebut mati pada 7 November, dua hari selepas tiba di pusat pemuliharaan itu.
Musofa, salah satu badak Jawa jantan terakhir di dunia, mati tidak lama selepas pemindahan ari habitat liar ke Kawasan Kajian dan Pemuliharaan Badak Jawa di Taman Negara Ujung Kulon, Banten, sebahagian daripada usaha menyelamatkan spesies yang kritikal terancam. Taman Negara Ujung Kulon memaklumkan badak tersebut mati pada 7 November, dua hari selepas tiba di pusat pemuliharaan itu. - Foto TAMAN NEGARA UJUNG KULON

Badak sumbu Jawa yang sangat terancam, Musofa, mungkin telah pergi, tetapi jasadnya kini diabadikan demi kelangsungan spesiesnya. Bahan biologi seperti sampel genetik, rangka, tanduk dan kulitnya telah diawet di sebuah sekolah veterinar di Bogor, Jawa Barat, dan akan menjadi elemen penting dalam usaha pemuliharaan spesies tersebut.

Musofa, seekor badak jantan Rhinoceros sondaicus, mati pada 7 November, dua hari selepas pemindahan bersejarahnya dari habitat asalnya di Taman Negara Ujung Kulon di hujung barat Pulau Jawa ke Kawasan Kajian dan Pemuliharaan Badak Jawa (JRSCA) yang juga terletak dalam taman negara itu.

Pemindahan pertamanya ini merupakan perjalanan hampir enam jam menggunakan kenderaan amfibia tentera laut dalam usaha pemindahan haiwan liar pertama seumpamanya sebagai sebahagian daripada program pemuliharaan nasional untuk memastikan kelangsungan populasi salah satu spesies paling sedikit di dunia.

Timbalan Menteri Kehutanan, Encik Rohmat Marzuki, menyampaikan ucapan takziah pemerintah atas kematian Musofa dan menjelaskan bahawa badak itu meninggal dunia akibat penyakit kronik yang telah lama dialaminya sebelum proses pemindahan berlaku.

Hasil bedah siasat dilakukan oleh pasukan bebas terdiri daripada pihak Taman Negara Ujung Kulon, pasukan perubatan, serta pakar patologi dari sekolah veterinar dan bioperubatan Universiti Institut Pertanian Bogor (IPB).

“Hasil bedah siasat menunjukkan kerosakan kronik pada hati, paru-paru dan otak, selain jangkitan parasit yang serius dalam saluran pencernaan,” kata Encik Rohmat dalam kenyataan pada 28 November.

Perjalanan terakhir Musofa bermula apabila ia masuk ke dalam perangkap pada 3 November dan seterusnya ditempatkan ke dalam kontena khas. Namun cuaca buruk hujan lebat, ombak tinggi, ribut dan kilat telah menangguhkan proses pemindahan selama dua hari.

Apabila cuaca kembali reda pada 5 November, Musofa dipindahkan menggunakan kenderaan amfibia tentera laut Indonesia dan tiba hampir enam jam kemudian dalam keadaan stabil, masih boleh makan serta membuang najis dan air kencing seperti biasa.

Ketua Taman Negara Ujung Kulon, Encik Ardi Andono, berkata sejurus tiba, Musofa dipantau rapi oleh pasukan veterinar yang memberikan rawatan sejak hari pertama. Namun dua hari kemudian, ia ditemui dalam keadaan lemah dan kesihatannya merosot dengan cepat. Pasukan veterinar memberikan rawatan kecemasan mengikut piawaian penyelamatan hidupan liar. “Malangnya, pada petang itu, Musofa disahkan tidak dapat diselamatkan,” kata Encik Ardi.

Encik Rohmat turut mengakui kebimbangan awam terhadap kematian Musofa tetapi menegaskan bahawa pemindahan tersebut telah dirancang dengan teliti mengikut standard pemuliharaan hidupan liar antarabangsa. Semua tindakan sepanjang proses itu juga telah diaudit dan disahkan oleh pakar bebas.

“Ia dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard, penilaian etika, simulasi taktikal serta persiapan logistik dan keselamatan yang rapi, yang memastikan Musofa dipindahkan tanpa sebarang kecederaan,” jelas Encik Rohmat.

Bedah siasat Musofa dijalankan pada 8 November dan selain penyakit kronik yang tidak dikesan lebih awal pada organ pentingnya, pasukan patologi turut menemukan kesan kecederaan lama akibat pergelutan habitat liar, yang turut menyumbang kepada kematiannya.

Encik Ardi berkata keputusan bedah siasat itu memberikan maklumat penting untuk memperbaiki pengurusan habitat badak Jawa bagi memastikan kesihatan dan kelangsungan hidup mereka.

“Walaupun sudah tiada, Musofa menjadi kunci penting bagi penyelidikan dan pemuliharaan badak Jawa pada masa depan. Ini sangat berharga untuk memastikan spesies ini terus hidup untuk generasi akan datang,” kata Yayasan Badak Indonesia dalam satu kenyataan.

Badak Jawa disenaraikan sebagai Sangat Terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN). Hingga kini, semua populasi badak Jawa yang tersisa hanya berada di Taman Negara Ujung Kulon dalam jumlah yang sangat terhad. Kajian saintifik terkini menunjukkan populasi ini berisiko pupus dalam tempoh kurang 50 tahun akibat kepelbagaian genetik yang rendah, pembiak bakaan dalam kumpulan kecil dan habitat yang terhad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg