Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vietnam-AS mulakan rundingan tarif

Apr 24, 2025 | 3:19 PM
Penunggang motosikal yang sarat dengan barangan di sebuah pasar jalanan di Hanoi, Vietnam, 21 April 2025 sedang Vietnam mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK untuk tahun 2025 pada kadar 8 peratus meskipun berdepan risiko tarif.
Penunggang motosikal yang sarat dengan barangan di sebuah pasar jalanan di Hanoi, Vietnam, 21 April 2025 sedang Vietnam mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK untuk tahun 2025 pada kadar 8 peratus meskipun berdepan risiko tarif. - Foto EPA-EFE

HANOI: Vietnam dan Amerika Syarikat secara rasmi memulakan rundingan berhubung ancaman tarif sebanyak 46 peratus yang dikenakan ke atas barangan dari negara Asia Tenggara itu oleh pentadbiran Trump, dengan Vietnam kini berlumba memanfaatkan tempoh penangguhan selama 90 hari yang diberikan.

Menurut kenyataan di laman web rasmi Kementerian Perdagangan Vietnam, perbualan telefon antara Menteri Perdagangan Nguyen Hong Dien dan Wakil Perdagangan Amerika, Jamieson Greer, telah menetapkan “prinsip, skop dan hala tuju jalan rundingan” antara kedua-dua negara.

Encik Dien, selaku ketua pasukan perunding perdagangan Vietnam dengan Amerika, menyatakan kesediaan Vietnam untuk menangani kebimbangan Washington berdasarkan kepentingan bersama.

Menurut penganalisis ekonomi utama SSI Securities, Pham Luu Hung, panggilan tersebut merupakan “perkembangan paling signifikan setakat ini”. Namun beliau menasihatkan agar semua pihak bertenang dan realistik dalam menjangkakan hasil, kerana penyelesaian segera tidak seharusnya diharapkan.

Vietnam, yang pada tahun 2024 mencatat lebihan dagangan ketiga terbesar dengan Amerika selepas China dan Mexico, telah beberapa kali menyuarakan komitmennya untuk membeli lebih banyak barangan dari Amerika seperti gas asli cecair dan pesawat. Negara itu juga bersedia menghapuskan semua tarif ke atas import Amerika.

Selain itu, Vietnam telah mengambil langkah untuk membanteras penipuan berkaitan asal barangan – antara kebimbangan utama pentadbiran Trump khususnya isu barangan dari China yang dihantar melalui Vietnam untuk mengelak tarif.

Pada 24 April, Vietnam Airlines dan Vietcombank mengumumkan perjanjian awal untuk membiayai pembelian 50 pesawat, satu langkah yang dijangka merealisasikan komitmen Vietnam sejak 2023 untuk membeli 50 pesawat Boeing 737 Max.

Vietnam juga dikatakan sedang mempertimbangkan pembelian jet pejuang Lockheed F-16 sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan, dalam usaha mengurangkan defisit dagangan sebanyak AS$123.5 bilion (S$162.2 bilion).

Penganalisis Bloomberg Intelligence, Eric Zhu dan George Ferguson, menyatakan bahawa Vietnam telah menunjukkan minat terhadap pesawat itu semasa pentadbiran Biden, tetapi tidak meneruskannya kerana sensitiviti geopolitik dengan China dan Russia. Pesawat itu dijangka menggantikan armada lama SU-22 Vietnam yang kini berjumlah sekitar 40 buah.

Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengulangi pada 22 April bahawa pemerintah sedang berusaha menyelesaikan isu-isu yang menjadi kebimbangan AS, terutamanya berkaitan asal usul barangan, dan mengambil langkah untuk membanteras penyeludupan, penipuan perdagangan dan barangan tiruan.

Namun begitu, pemerintah Vietnam turut perlu menangani kesan domestik sekiranya tarif dilaksanakan. Walaupun pentadbiran Trump menggantung tarif yang lebih tinggi untuk kebanyakan rakan dagang selain China, tarif sebanyak 10 peratus tetap dikenakan sebagai pengganti.

Langkah sokongan tambahan daripada pihak berkuasa dijangka diumumkan tidak lama lagi, menurut nota oleh SSI Securities pada 24 April. Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk pinjaman jangka pendek berfaedah rendah untuk membantu perniagaan dan inisiatif merangsang penggunaan dalam negara.

Negara Asia Tenggara lain juga sedang berusaha mengelakkan tarif tinggi, termasuk Menteri Perdagangan Malaysia, Zafrul Aziz, yang dijadual bertemu Encik Greer di Washington pada 24 April. Rundingan antara Thailand dan Amerika pula ditangguhkan selepas Washington meminta Bangkok menyelesaikan beberapa “isu” tertentu terlebih dahulu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg