BEIJING: Presiden China Xi Jinping menggesa kerjasama perindustrian dan rantaian bekalan yang lebih kukuh dengan Vietnam, dan kerjasama yang lebih luas dalam bidang baru muncul, kata Kementerian Luar China pada 14 April, di tengah-tengah ketegangan dagangan yang meningkat dek tarif Amerika Syarikat yang tinggi.
Presiden Xi pada 14 April memberi amaran dasar perlindungan perdagangan ‘tidak bermanfaat’ selain berpendapat ‘tiada pemenang’ dalam perang perdagangan, lapor media rasmi. Beliau dijadualkan memulakan lawatan ke Asia Tenggara dengan berkunjung ke Vietnam dari 14 hingga 15 April sebelum ke Malaysia dan Kemboja.
Lawatan itu dibuat dengan tujuan untuk menyatukan hubungan ekonomi dengan beberapa jiran terdekat China pada masa dua gergasi ekonomi dunia itu terkunci dalam perebutan tarif.
Ini lawatan pertama Encik Xi ke luar negara tahun 2025 ini, ketika Beijing berusaha memperkukuhkan hubungan dagangan serantau dan mengurangkan kesan besar tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Donald Trump.
Beliau dijangka bertemu tiga rakan sejawatnya di Asia Tenggara dalam lawatan yang disifatkan Beijing mempunyai ‘kepentingan besar’ untuk kestabilan dan kerjasama serantau.
China menaikkan levi ke atas import barangan Amerika kepada 125 peratus pada 11 April, mengecam keputusan Encik Trump mengenakan tarif yang lebih tinggi terhadap kuasa kedua ekonomi dunia itu.
Menurut agensi berita Xinhua, memetik artikel diterbitkan akhbar utama Vietnam, Nhan Dan pada 14 April, Encik Xi menggesa China dan Vietnam ‘teguh mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala, kestabilan rantaian industri dan bekalan global serta persekitaran antarabangsa yang terbuka dan bersifat kerjasama’.
Menurut agensi itu lagi, beliau turut mengulangi pendirian Beijing bahawa ‘perang perdagangan dan perang tarif tidak akan menobatkan pemenang, manakala dasar perlindungan ‘tidak membawa ke mana-mana’.
Beijing kini cuba menampilkan peranannya sebagai pilihan yang stabil berbanding Presiden Trump, yang pada April mengumumkan kadar tarif baru, namun kemudian menarik balik sebahagian tarif besar-besaran, menyebabkan pasaran global tidak stabil dan huru-hara.
Encik Xi juga menggesa diperkukuh penyelarasan dan kerjasama melalui inisiatif serantau seperti Kerjasama Asia Timur dan Kerjasama Lancang-Mekong, kata kementerian itu, memetik artikel mengenai pemimpin China yang disiarkan di media Vietnam.
Beliau menarik perhatian bahawa usaha sedemikian perlu untuk “menyuntik lebih banyak kestabilan dan tenaga positif ke dalam dunia yang terjalin dan huru-hara”.
“Tiada pemenang dalam perang dagangan dan perang tarif, dan perlindungan tidak mempunyai jalan keluar,” kata Encik Xi, tetapi tidak menyebut Amerika secara langsung.
Beliau berkata: “Kita mesti tegas melindungi sistem perdagangan pelbagai hala, mengekalkan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global serta mengekalkan persekitaran antarabangsa untuk kerjasama terbuka.”
China berusaha mendahului perunding Amerika, mengadakan panggilan video dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia, yang mempengerusikan Asean pada 2025, di samping Arab Saudi dan Afrika Selatan, dengan cara menghubungi negara Teluk dan negara Kumpulan 20 (G20) dan Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Dengan harapan untuk mengelak daripada bahang tarif Amerika, Vietnam bersedia membanteras barangan China yang dihantar ke Amerika melalui wilayahnya dan akan mengetatkan kawalan ke atas eksport sensitif ke China, menurut seseorang yang biasa dengan perkara itu dan dokumen pemerintah yang dilihat oleh Reuters.
Dalam artikel itu, Encik Xi berkata China mengalu-alukan lebih banyak import berkualiti tinggi daripada Vietnam dan menggalakkan lebih banyak perusahaan China melabur dan memulakan perniagaan di negara Asia Tenggara itu.
Kedua-dua negara harus mengembangkan kerjasama dalam bidang baru muncul seperti 5G, kecerdasan buatan dan pembangunan hijau, kata artikel itu.
Kedua-dua negara itu bersedia menandatangani kira-kira 40 perjanjian dalam pelbagai sektor, kata Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Encik Bui Thanh Son pada 12 April, sambil menyatakan bahawa Hanoi mahu meningkatkan kerjasama dalam bidang kereta api, pertanian, ekonomi digital dan hijau.
Tidak jelas sama ada kerjasama itu akan mengikat dan melibatkan komitmen kewangan.
Vietnam telah bersetuju menggunakan pinjaman China bagi membina hubungan rel baru antara kedua-dua negara, dalam langkah meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala.
Bagaimanapun, belum ada perjanjian pinjaman yang diumumkan.
Encik Xi akan melawat Malaysia dan Kemboja dari 15 hingga 18 April. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg