WASHINGTON: Influenza kini mengatasi Covid-19 sebagai virus yang lebih berbahaya di Amerika Syarikat pada musim sejuk ini – kali pertama dalam lima tahun penyakit musiman ini mengatasi patogen pandemik tersebut.
Sejak Covid-19 mula merebak secara meluas pada awal 2020, virus ini telah meragut nyawa hampir 42 kali ganda lebih ramai individu di Amerika Syarikat berbanding dengan selesema.
Namun, data awal kematian dari Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) menunjukkan bahawa tahun 2025 bakal menjadi tahun yang kritikal bagi influenza.
Walaupun kebimbangan mengenai wabak selesema burung semakin mendominasi tajuk berita utama di Amerika, influenza musiman kini mencapai tahap tertinggi dalam lebih 15 tahun dan telah melebihi kematian akibat Covid-19 selama dua bulan berturut-turut.
Dr. Peter Chin-Hong, seorang pakar penyakit berjangkit dan profesor perubatan di Universiti California, San Francisco, berkata: “Kematian akibat influenza sudah melebihi Covid-19 sejak dua bulan yang lalu, ini menunjukkan selesema musiman tahun ini (2025) sangat teruk.”
Menurut CDC, influenza telah menjangkiti sekurang-kurangnya 29 juta orang, menyebabkan 370,000 kemasukan ke hospital, dan meragut 16,000 nyawa sejak Oktober 2024.
Sementara itu, kematian akibat Covid-19 semakin menurun berikutan imuniti dari vaksinasi dan jangkitan sebelumnya, serta perubahan dalam virus SARS-CoV-2 yang kini menyebabkan komplikasi yang lebih ringan.
Dr. Chin-Hong menambah: “Musim selesema berbeza-beza – ada tahun yang lebih teruk daripada yang lain, dan tahun ini memang satu musim yang sangat teruk.”
Beliau juga menekankan beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes influenza, termasuk kadar vaksinasi yang rendah dan kelewatan dalam rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan yang biasanya tidak dianggap berisiko tinggi.
Menurutnya, musim ini didominasi oleh strain H1N1 dan H3N2, dengan H3N2 terkenal kerana menyebabkan penyakit yang lebih serius.
“Kanak-kanak terkesan dengan teruk, kerana kadar vaksinasi yang rendah,” jelas Dr. Chin-Hong, sambil merujuk kepada musim selesema di Amerika Selatan yang menunjukkan kemungkinan keberkesanan vaksin yang berkurangan.
Kadar vaksinasi untuk kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 17 tahun menurun daripada 58 peratus pada Januari 2020 kepada hanya 45 peratus pada akhir Januari 2025.
Ini menyebabkan peningkatan kes influenza dalam kalangan golongan muda yang tidak divaksinasi sepenuhnya.
Namun, kebimbangan yang lebih mendalam adalah mengenai kelewatan dalam diagnosis dan rawatan kes influenza, terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi untuk menghidap pneumonia dan komplikasi serius yang lain.
“Kadar kemasukan ke hospital yang tinggi dan kematian yang berlaku menunjukkan bahawa orang yang berisiko tidak didiagnosis dengan cukup awal, sehingga antiviral seperti oseltamivir tidak dapat berfungsi dengan efektif untuk mencegah penyakit yang lebih serius,” kata Dr. Chin-Hong.
Beliau turut menambah bahawa halangan untuk memberikan oseltamivir, serta keperluan untuk pengesanan awal yang lebih baik, tetap menjadi cabaran utama.
“Kita perlu mengubah naratif bahawa virus pernafasan hanya menyebabkan penyakit serius di kalangan orang dewasa yang lebih tua, seperti yang kita lihat dengan Covid-19,” katanya. “Selesema juga menyasarkan golongan muda.”
Dr. Chin-Hong mengingatkan bahawa langkah pencegahan yang lebih baik, seperti vaksinasi dan pengesanan awal, adalah penting untuk menangani krisis influenza yang semakin memburuk ini. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg