Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyakit saluran pernafasan naik 97.3% di Johor

Feb 11, 2025 | 1:46 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon. - Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Johor mencatat peningkatan berganda penyakit saluran pernafasan (ILI), iaitu 97.3 peratus pada minggu epidemiologi (ME) 06 pada 2025, berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata merujuk kepada pemantauan ILI, peningkatan bilangan kes yang dilaporkan pada ME 06/2025 adalah sebanyak 807 kes, berbanding 409 kes pada ME 05/2025.

“Bagi tahun 2025, sehingga ME06/2025 tiada kluster baru dilaporkan.

“Secara amnya, kes ILI dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

“Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI mendapati keadaan masih terkawal,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Encik Ling memaklumkan jumlah kes terkumpul bagi denggi mencatatkan penurunan 62.5 peratus kes (813 pada ME06) berbanding tempoh yang sama pada 2024 iaitu sebanyak 2,169 kes.

Katanya pada minggu sama, daerah Johor Bahru melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 88 kes.

“Diikuti Kulai (15 kes), Batu Pahat (12 kes), Muar (4 kes), Kluang (3 kes), Kota Tinggi (3 kes), Segamat, Tangkak dan Mersing (masing-masing 2 kes) dan Pontian (1 kes).

“Sebanyak 11 lokaliti wabak baru dilaporkan di Johor yang mana jumlah terkumpul lokaliti wabak di Johor pada 2025 sehingga ME06 adalah 82 berbanding 315 dalam tempoh yang sama pada 2024,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kekurangan bekalan vaksin influenza dalam pasaran Malaysia hanyalah bersifat sementara berikutan permintaan mendadak orang ramai terhadap vaksin berkenaan.

KKM memaklumkan ini susulan kematian mengejut pelakon Taiwan, mendiang Barbie Hsu akibat pneumonia (radang paru-paru) yang dikaitkan dengan influenza.

Kata KKM, ia sekali gus telah mengejutkan masyarakat Asia Timur dan melonjakkan permintaan orang ramai terhadap vaksin influenza.

“Bekalan vaksin bagi jangka sederhana di Malaysia juga mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk buat jemaah haji dan umrah.

“Selain itu, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta di Malaysia pulih secepat mungkin,” kata KKM dalam kenyataannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg