Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insentif Indonesia tingkatkan jumlah golongan pertengahan yang mulai susut

Sep 9, 2024 | 5:30 AM
Jumlah penduduk kelas pertengahan di Indonesia yang semakin mengecil menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis dan penggubal dasar. Ini kerana golongan berkenaan memberi sumbangan penting dalam usaha memacu negara, menambah hasil cukai, serta memupuk kestabilan sosial ke arah pertumbuhan ekonomi.
Jumlah penduduk kelas pertengahan di Indonesia yang semakin mengecil menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis dan penggubal dasar. Ini kerana golongan berkenaan memberi sumbangan penting dalam usaha memacu negara, menambah hasil cukai, serta memupuk kestabilan sosial ke arah pertumbuhan ekonomi. - Foto ST

JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah mengumumkan pelbagai insentif untuk merangsang sumbangan kelas menengah atau pertengahan kepada ekonomi negara.

Ini merupakan satu langkah penting memandangkan hampir 50 peratus penduduk Indonesia tergolong dalam kelas pertengahan atau hampir kepada kelas tersebut.

Sekitar 17.13 peratus pula terdiri daripada kelas menengah atas.

Menurut pakar ekonomi dan kewangan, golongan kelas pertengahan merupakan penyumbang terbesar dalam perbelanjaan isi rumah, termasuk makanan, perumahan, pendidikan, dan hiburan.

Namun, kebelakangan ini, terdapat penyusutan dalam jumlah penduduk kelas pertengahan di Indonesia, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis dan penggubal dasar.

Penurunan penduduk golongan pertengahan isyarat bahaya

Data daripada Biro Pusat Statistik (BPS) menunjukkan bahawa jumlah penduduk golongan pertengahan telah menurun hampir 9.5 juta dalam tempoh lima tahun.

Pada 2019, jumlah penduduk kelas menengah di Indonesia adalah sekitar 57.33 juta, tetapi angka tersebut menurun kepada 47.85 juta pada 2024.

Penurunan itu menunjukkan semakin ramai rakyat Indonesia kini jatuh daripada golongan pertengahan ke kelas yang lebih rendah.

Takrif golongan pertengahan oleh Bank Dunia adalah mereka yang mempunyai perbelanjaan bulanan antara 3.5 hingga 17 kali ganda daripada garis kemiskinan.

Ini bermakna mereka yang tergolong dalam kelas menengah mempunyai perbelanjaan bulanan antara kira-kira 2 juta rupiah ($169) dengan 9.9 juta rupiah.

Penurunan itu menimbulkan kebimbangan kerana ia menunjukkan lebih ramai rakyat Indonesia berhadapan dengan kesulitan dari sudut ekonomi, yang bermakna mereka kurang memiliki kuasa membeli.

Menurut Ketua Pemangku BPS, Cik Amalia Adininggar Widyasanti, penurunan itu sebahagiannya disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang telah mengakibatkan peningkatan dalam bilangan golongan yang hampir mencapai kelas menengah, namun belum mencapainya.

Pentingnya golongan pertengahan dalam ekonomi

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, menekankan pentingnya golongan pertengahan dalam ekonomi negara.

Dalam ucapannya semasa dialog ekonomi pada 27 Ogos, beliau menyatakan golongan pertengahan dan mereka yang hampir mencapai kelas itu membentuk sekitar 66.6 peratus daripada keseluruhan penduduk Indonesia.

Beliau menggariskan bahawa golongan pertengahan merupakan pendorong utama pertumbuhan ekonomi Indonesia, dan adalah penting memastikan golongan itu terus berkembang.

Untuk menyokong golongan pertengahan, pemerintah Indonesia telah melaksanakan pelbagai daya usaha, termasuk program perlindungan sosial, insentif cukai, program Pra-Kerja, dan skim Kredit Usaha Rakyat.

Salah satu insentif cukai yang menonjol adalah rancangan pemerintah untuk mengembalikan potongan cukai penuh ke atas pembelian hartanah sehingga 5 bilion rupiah dalam separuh kedua 2024.

Dasar itu bertujuan merangsang kuasa membeli golongan pertengahan dan telah mendapat kelulusan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Namun begitu, penganalisis menyatakan bahawa terdapat pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada penurunan dalam jumlah penduduk golongan pertengahan.

Ia termasuk kelemahan dalam asas ekonomi negara, dasar pemerintah yang membebankan, serta ketiadaan jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

Faktor Penurunan Golongan Pertengahan

Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada berkurangnya golongan pertengahan ialah prestasi lemah sektor pengilangan.

Menurut Pengarah Eksekutif, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Bhima Yudhistira, penurunan dalam sektor pengilangan telah menyebabkan banyak pemberhentian kerja dan penurunan dalam sumbangan sektor itu kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.

Sejak awal 2024, Kesatuan Pekerja Indonesia meramalkan bahawa pemberhentian kerja dalam sektor pengilangan yang padat tenaga kerja boleh menjejas sehingga 100,000 individu.

Selain itu, kenaikan kadar cukai nilai tambahan (VAT) yang berkuat kuasa pada 1 April 2022 turut memberi kesan negatif terhadap kuasa membeli rakyat.

Menurut Encik Bhima, kenaikan VAT telah menyumbang kepada kenaikan harga runcit, yang selanjutnya memburukkan keadaan hidup bagi golongan pertengahan.

Tambahan pula, ketiadaan jaringan keselamatan sosial yang memadai bagi golongan pertengahan menyulitkan keadaan.

Ini kerana kebanyakan tumpuan pemerintah adalah kepada bantuan sosial untuk golongan miskin.

Langkah pemerintah pulihkan golongan pertengahan

Pemerintah Indonesia, melalui Kementerian Kewangan, telah berusaha menyokong golongan pertengahan melalui pelbagai insentif.

Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, menekankan pemerintah komited mengukuhkan golongan pertengahan melalui insentif cukai, program pembangunan sumber manusia, dan akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik.

Di samping itu, pemerintah juga telah meningkatkan kuota bagi subsidi perumahan daripada 166,000 unit kepada 200,000 unit bermula 1 September, sebagai sebahagian daripada usaha mengembangkan golongan pertengahan.

Menurut penganalisis ekonomi, usaha itu mungkin tidak mencukupi jika tidak disokong langkah tambahan.

Seorang pakar ekonomi dari Pusat Pembaharuan Ekonomi (Core), Encik Yusuf Rendy Manilet, mengusulkan agar pemerintah memberikan bantuan kewangan kepada golongan pertengahan dan kelas menengah bawah, sama ada dalam bentuk pindahan tunai atau subsidi, bagi mengelakkan trend penurunan itu daripada berterusan.

Selain itu, penganalisis turut menyatakan, untuk mencapai visi Indonesia Emas 2045 – bertujuan menjadikan Indonesia negara maju dan makmur menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-100, pemerintah perlu memperkukuh asas ekonomi, termasuk sektor pengilangan bermutu dan pembangunan sumber manusia yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Said Abdullah, menegaskan bahawa golongan pertengahan yang kukuh adalah penting demi meningkatkan penggunaan dalam negara, pendapatan cukai, serta mengekalkan kestabilan sosial dan ekonomi, yang semuanya penting dalam pertumbuhan ekonomi.

Beliau juga menekankan bahawa cabaran untuk meningkatkan golongan pertengahan melibatkan kos ekonomi yang tinggi, isu undang-undang, dan mutu sumber manusia.

Dalam jangka masa panjang, pemerintah Indonesia perlu menangani cabaran struktur tersebut demi memastikan golongan pertengahan dapat terus berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ini termasuk memastikan sektor seperti pengilangan mampu menawarkan pekerjaan bermutu dengan gaji berpatutan, yang seterusnya dapat meningkatkan kuasa membeli rakyat dan mencegah golongan pertengahan daripada jatuh ke dalam kategori lebih rendah.

Dengan usaha yang berterusan dan komitmen kukuh, terdapat harapan golongan pertengahan di Indonesia akan kembali berkembang, seterusnya menyumbang kepada pencapaian visi Indonesia Emas 2045 dan memastikan kemakmuran ekonomi yang berkekalan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg