Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden ‘Kiss Cam’ di konsert Coldplay cetus skandal CEO Astronomer

Jul 18, 2025 | 2:55 PM
Sebuah video tular yang sedang beredar dalam talian memaparkan rakaman sepasang individu sedang berdiri dan wajah mereka ditayangkan pada skrin besar semasa konsert di Stadium Gillette, Foxborough, pada 16 Julai.
Sebuah video tular yang sedang beredar dalam talian memaparkan rakaman sepasang individu sedang berdiri dan wajah mereka ditayangkan pada skrin besar semasa konsert di Stadium Gillette, Foxborough, pada 16 Julai. - Foto INSTAAGRAACE/TIKTOK

FOXBOROUGH, MASSACHUSETTS: Konsert Coldplay di Gillette Stadium, Massachusetts, pada 16 Julai lalu bertukar menjadi mimpi buruk bagi dua eksekutif kanan syarikat teknologi apabila mereka dirakam dalam situasi memalukan menerusi segmen ‘kiss cam’.

Ketika penyanyi utama Coldplay, Chris Martin, sedang menggunakan segmen interaktif popular ‘kiss cam’ untuk berinteraksi dengan penonton, kamera secara tidak sengaja menumpukan lensa kepada Encik Andy Byron, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pembangunan perisian Astronomer, dan Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat itu, Cik Kristin Cabot.

“Oh, lihat pasangan ini,” ujar Martin secara bersahaja dari pentas. Penonton tertawa riuh, tetapi detik tersebut bertukar janggal apabila Encik Byron dan Cik Cabot dilihat berpelukan erat dan berbisik, sebelum secara tergesa-gesa cuba menyorok.

Encik Byron dilihat menyembunyikan dirinya di belakang penghadang, manakala Cik Cabot menutup wajahnya dengan kedua-dua tangan. Martin sempat berseloroh: “Mereka sama ada sedang menjalin hubungan sulit… atau sangat pemalu.”

Rakaman detik itu menjadi tular dalam sekelip mata di TikTok dan platform media sosial lain, mencecah lebih tiga juta tontonan. Apa yang bermula sebagai jenaka ringan kini mengundang pelbagai spekulasi, terutamanya selepas identiti kedua-dua individu dikenal pasti sebagai eksekutif kanan syarikat teknologi yang baru menerima pembiayaan lebih AS$93 juta ($119 juta).

Netizen pantas menyiasat latar belakang mereka. Encik Byron dilaporkan masih berstatus suami kepada Cik Megan Kerrigan Byron, manakala Cik Cabot difahamkan telah bercerai. Portal hiburan Page Six dan TMZ melaporkan bahawa Cik Megan telah memadamkan akaun Facebook miliknya dan membuang nama keluarga ‘Byron’ daripada profil media sosial tanda yang dilihat ramai sebagai krisis rumah tangga.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Encik Byron, Cik Cabot mahupun syarikat Astronomer. Namun tekanan semakin memuncak. LinkedIn, yang kebiasaannya digunakan untuk perbincangan profesional, kini turut dibanjiri komen kritikal terhadap kepimpinan syarikat.

Bekas pekerja tampil di ruang komen mendakwa bahawa Encik Byron merupakan pemimpin yang “toksik” dan “hipokrit,” malah ada yang menyifatkan skandal ini sebagai “hukuman korporat yang setimpal.”

Seorang pengguna LinkedIn menulis: “Ini bukan sekadar kisah skandal peribadi. Ini soal kepercayaan, budaya kerja dan etika dalam syarikat yang menerima dana pelaburan jutaan dolar.”

Insiden ini turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu. Sebuah hantaran palsu di X (dahulunya Twitter) yang meraih 4.6 juta tontonan mendakwa ia adalah kenyataan permohonan maaf daripada Byron, termasuk ayat satira: “Saya peminat Coldplay. Bukan hanya dua album pertama, saya juga suka lagu-lagu baru mereka.”

Satu lagi hantaran palsu menyatakan Coldplay akan memperkenalkan “zon bebas kamera untuk penonton bersama pasangan sulit.” Coldplay belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

Sementara itu, laman LinkedIn Encik Byron telah diturunkan dan Astronomer masih membisu.
Penganalisis menyuarakan kebimbangan terhadap kerosakan reputasi Astronomer dalam jangka panjang. “Hubungan intim antara dua pemimpin tertinggi syarikat yang dipertontonkan kepada umum tidak hanya soal peribadi, ia menimbulkan persoalan besar mengenai budaya korporat,” kata seorang pakar etika korporat.

Hubungan akrab Encik Byron dan Cik Cabot sebelum ini sering disebut dalam forum-forum industri, dengan Encik Byron memuji Cik Cabot sebagai “pemimpin sumber manusia yang berprinsip tinggi.” Kini, peristiwa di konsert Coldplay itu membayangi semua pencapaian mereka. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg