Internet terhad pulih seketika di Iran ketika lebih 5,000 dilapor terkorban
Internet terhad pulih seketika di Iran ketika lebih 5,000 dilapor terkorban
TEHERAN/LOS ANGELES: Akses Internet di Iran dilaporkan pulih secara terhad buat seketika sebelum terputus semula pada 18 Januari.
Ia memasuki hari ke-10 sekatan komunikasi yang menurut kumpulan hak asasi bertujuan menutup tindakan keras terhadap bantahan awam yang mengorbankan ribuan nyawa.
Pemantau Internet, Netblocks, memaklumkan bahawa “tahap trafik kembali menurun selepas pemulihan ringkas dan sangat ditapis terhadap beberapa perkhidmatan Google serta aplikasi pemesejan di Iran”.
Sekatan komunikasi menyeluruh itu bermula pada 8 Januari, ketika pihak berkuasa memperketat kawalan susulan gelombang bantahan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bantahan tercetus pada akhir Disember 2025 berikutan kemarahan terhadap kesempitan ekonomi, sebelum merebak menjadi protes besar-besaran yang mencabar kepimpinan Teheran.
Namun, perhimpunan tersebut mereda selepas pasukan keselamatan melancarkan tindakan keras yang digelar kumpulan hak asasi sebagai satu “pembunuhan beramai-ramai”, dilakukan ketika sekatan Internet menghalang liputan bebas.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencetuskan ketegangan baru apabila menyasarkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dengan menyatakan sudah “tiba masanya mencari kepimpinan baru di Iran”.
“Beliau seorang lelaki sakit yang sepatutnya mentadbir negaranya dengan betul dan berhenti membunuh rakyat,” kata Encik Trump dalam wawancara dengan Politico pada 17 Januari.
Kenyataan itu disambut amaran keras dari Teheran.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menegaskan di platform X bahawa sebarang serangan terhadap pemimpin tertinggi negara itu akan dianggap sebagai pengisytiharan perang.
“Serangan terhadap pemimpin agung negara kami bersamaan dengan perang berskala penuh dengan bangsa Iran,” katanya.
Ketegangan lisan ini berlaku ketika pegawai Iran menegaskan keadaan di jalanan telah kembali terkawal.
Di pusat Teheran, pasukan keselamatan dilihat berkawal dengan kenderaan berperisai dan motosikal, manakala sekolah dibuka semula pada 18 Januari selepas ditutup selama seminggu.
Encik Pezeshkian turut memberitahu mesyuarat Kabinet bahawa beliau telah “mengesyorkan kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi agar sekatan Internet ditarik balik secepat mungkin”.
Beberapa pengguna melaporkan akses terhad kepada WhatsApp, panggilan antarabangsa keluar disambung semula sejak 13 Januari dan perkhidmatan pesanan ringkas pulih pada 17 Januari.
Namun, kawalan ketat pemerintah kekal jelas.
Agensi berita Fars melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Irancell, pengendali mudah alih kedua terbesar Iran, dipecat kerana gagal mematuhi arahan pemerintah untuk menutup Internet.
Walaupun sekatan berterusan, maklumat tetap menembusi keluar.
Kumpulan hak asasi melaporkan bukti kekejaman terus muncul.
Amnesty International berkata pihaknya telah mengesahkan puluhan video dan testimoni yang menunjukkan “pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan” oleh pasukan keselamatan.
Kumpulan Hak Asasi Iran yang berpangkalan di Norway memaklumkan mereka telah mengesahkan kematian 3,428 penunjuk perasaan, berdasarkan maklumat daripada sistem kesihatan Iran, saksi dan sumber bebas.
Namun, kumpulan itu memberi amaran angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Anggaran lain meletakkan angka korban melebihi 5,000, malah ada yang menyebut sehingga 20,000 orang, tetapi sekatan Internet menyukarkan pengesahan bebas.
Media antarabangsa tidak dapat mengesahkan angka-angka tersebut, manakala pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan jumlah rasmi.
Saluran pembangkang Antarabangsa Iran yang berpangkalan di luar negara mendakwa sekurang-kurangnya 12,000 orang terbunuh, memetik sumber kanan pemerintah dan keselamatan.
Dakwaan itu bagaimanapun ditolak oleh badan kehakiman Iran.
Pada 17 Januari, Ayatollah Khamenei berkata “beberapa ribu” orang terbunuh oleh apa yang disifatkannya sebagai “ejen” Amerika dan Israel.
Media tempatan Iran turut melaporkan kematian dalam kalangan pasukan keselamatan.
Ayatollah Khamenei menegaskan pihak berkuasa “mesti mematahkan tulang belakang para penghasut”, ketika laporan menyebut ribuan tangkapan telah dibuat.
Jurucakap kehakiman Iran, Encik Asghar Jahangir, pada 18 Januari mengulangi bahawa perbicaraan pantas akan dijalankan, sambil memberi amaran sesetengah perbuatan boleh membawa hukuman mati atas kesalahan moharebeh atau “memerangi Tuhan”.
“Semua pihak yang memainkan peranan menentukan dalam seruan keganasan yang membawa pertumpahan darah dan kerosakan besar terhadap kewangan awam tidak akan dilepaskan,” katanya.
Kebimbangan turut meningkat berhubung ancaman hukuman mati terhadap penunjuk perasaan yang ditahan, meskipun Encik Trump mendakwa Iran telah membatalkan ratusan hukuman mati.
Penganalisis Encik Arif Keskin mempertikaikan dakwaan itu.
“Kepimpinan Iran melihat hukuman mati sebagai alat berkesan untuk menamatkan bantahan, mencegah kebangkitan semula dan menindas penentangan,” katanya.
Di luar Iran, solidariti antarabangsa semakin terserlah.
Ribuan orang berhimpun di bandar-bandar seperti Berlin, London dan Paris, manakala di Amerika, demonstrasi besar diadakan pada 18 Januari.
Di Los Angeles, bandar yang menempatkan diaspora Iran terbesar dunia, beberapa ribu orang berarak, sementara ratusan lagi berkumpul di New York.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam apa yang mereka sifatkan sebagai “genosid sedang berlaku” dan “keganasan rejim Iran”.
“Hati saya terasa amat berat dan jiwa saya seolah-olah hancur. saya buntu untuk menggambarkan betapa marah dan pilunya perasaan ini,” kata Encik Perry Faraz, 62 tahun, seorang pengurus gaji yang melarikan diri dari Iran pada 2006.
Beliau berkata, minggu lalu beliau menerima khabar bahawa sepupu mudanya terbunuh dalam bantahan tersebut.
“Dia belum pun berusia 10 tahun. Itu sesuatu yang amat mengerikan,” katanya. – Agensi berita.

