Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Arab, Israel desak Trump tangguh serangan ke atas Iran

Serangan dikhuatiri boleh cetus konflik serantau yang lebih luas dan tidak terkawal
Jan 16, 2026 | 10:28 AM
Dataran Sadeghieh, Teheran
Seorang lelaki berdiri di sisi bangkai bas yang hangus terbakar semasa bantaran di Dataran Sadeghieh, Teheran, pada 15 Januari. - Foto AFP

WASHINGTON/RIYADH: Beberapa negara Arab utama bersama Israel dilaporkan sedang berusaha keras memujuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, supaya menangguhkan sebarang serangan ketenteraan ke atas Iran, di tengah-tengah kebimbangan bahawa tindakan tersebut boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih luas dan tidak terkawal.

Arab Saudi, Qatar, dan Oman memimpin usaha diplomatik saat-saat akhir bagi menghalang Washington daripada melancarkan serangan dengan alasan bahawa kesannya boleh menjadi “amat serius dan membawa padah besar kepada kestabilan rantau ini”, menurut seorang pegawai kanan Arab Saudi yang dipetik AFP.

Pegawai itu bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan kerana sensitiviti isu tersebut.

Menurut sumber berkenaan, ketiga-tiga negara Teluk itu mengetuai “usaha diplomatik yang panjang dan mendesak” untuk meyakinkan Encik Trump agar memberi peluang kepada Iran menunjukkan hasrat baik, khususnya berkaitan tindakan pihak berkuasa Iran terhadap protes besar-besaran yang sedang berlaku di negara itu.

“Dialog masih diteruskan,” kata pegawai tersebut.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut meminta Encik Trump supaya menangguhkan sebarang rancangan serangan ketenteraan Amerika ke atas Iran.

Permintaan itu dibuat walaupun pemerintah Iran masih berdepan gelombang protes nasional yang disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam beberapa dekad.

Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat memaklumkan bahawa Encik Netanyahu telah berbincang secara langsung dengan Encik Trump pada 14 Januari.

Pada hari yang sama Presiden Trump menyatakan beliau menerima maklumat daripada “sumber sangat penting di pihak satu lagi” bahawa Iran telah menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan dan tidak meneruskan hukuman mati seperti yang dibimbangi sebelum ini.

Kenyataan Encik Trump itu dilihat sebagai isyarat bahawa beliau mungkin sedang menangguhkan keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Iran, yang telah dipertimbangkannya selama beberapa hari.

Namun, pegawai Amerika memberi amaran bahawa kenyataan sedemikian tidak semestinya bermakna pilihan ketenteraan telah diketepikan sepenuhnya.

Seorang pegawai kanan Amerika berkata lewat 14 Januari bahawa Encik Trump masih belum menolak sepenuhnya pilihan ketenteraan yang telah dibentangkan oleh pihak tentera, dan keputusan muktamad bergantung kepada tindakan seterusnya agensi keselamatan Iran terhadap protes rakyat.

Pengalaman lalu juga menunjukkan Encik Trump pernah menghantar isyarat yang mengelirukan sebelum membuat keputusan muktamad berkaitan tindakan ketenteraan.

Selain Arab Saudi, Qatar dan Oman, Mesir turut terlibat dalam usaha memujuk Washington supaya tidak menyerang Iran.

Menurut seorang pegawai dari negara Teluk, pegawai kanan dari keempat-empat negara itu telah menghubungi rakan mereka di Amerika dalam tempoh dua hari kebelakangan ini bagi menyampaikan kebimbangan bahawa serangan Amerika boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih luas.

Pada masa yang sama, negara-negara Arab itu juga dilaporkan menyampaikan mesej kepada Teheran agar tidak bertindak balas dengan menyerang negara jiran sekiranya Amerika melancarkan serangan.

“Mesej kepada Washington dan Tehran diselaraskan dengan teliti,” kata pegawai berkenaan, sambil menambah bahawa usaha ini bertujuan mengelakkan tindak balas berantai yang boleh membawa kepada peperangan lebih besar.

Menegaskan pendirian Riyadh, Menteri Negara Arab Saudi, Encik Adel al-Jubeir, berkata penyelesaian melalui rundingan adalah jalan terbaik.

“Kami percaya kepada dialog dan kami percaya sebarang perbezaan harus diselesaikan di meja rundingan,” katanya ketika berucap di sebuah forum mineral di Riyadh.

Sementara usaha diplomatik giat dijalankan, Pentagon dilaporkan menggunakan tempoh penangguhan ini untuk mempercepatkan penghantaran senjata dan peralatan pertahanan tambahan ke Asia Barat.

Kapal pengangkut pesawat Abraham Lincoln bersama beberapa kapal pengiring sedang menuju ke rantau itu dari Laut China Selatan, dengan perjalanan dianggarkan mengambil masa kira-kira seminggu.

Selain itu, pelbagai pesawat perang termasuk jet pejuang, pesawat serangan dan pesawat pengisian minyak di udara dijangka dihantar ke rantau berkenaan, sebahagiannya dari Eropah.

Menurut pegawai Amerika, langkah ini bertujuan memperkukuh keupayaan pertahanan sekiranya berlaku serangan balas Iran.

Pentagon juga sedang menghantar lebih banyak sistem pertahanan udara, termasuk peluru berpandu pemintas, bagi melindungi pangkalan tentera Amerika di rantau itu, khususnya pangkalan udara Al Udeid di Qatar, yang menempatkan kira-kira 10,000 anggota tentera Amerika.

Pegawai Amerika menjelaskan bahawa peningkatan ketenteraan ini bertujuan menghalang Iran daripada meningkatkan keganasan terhadap penunjuk perasaan, di samping memberi Encik Trump lebih banyak pilihan sekiranya beliau memutuskan untuk bertindak secara ketenteraan.

Di Iran, pemerintah telah menyekat perkhidmatan Internet di seluruh negara, menjadikan maklumat mengenai situasi sebenar sukar diperoleh.

Pertubuhan hak asasi manusia di luar Iran melaporkan bahawa ribuan penunjuk perasaan telah terbunuh sejak protes bermula pada akhir Disember.

Menurut aktivis Hak Asasi Manusia di Iran (HRANA), lebih 2,500 orang terbunuh, manakala Hak Asasi Iran di Norway menganggarkan angka korban melebihi 3,400 orang.

Pemerintah Iran pula mengakui ratusan terbunuh, namun menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai.

Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa beliau boleh mengarahkan serangan ke atas Iran jika pemerintah negara itu terus mencederakan atau membunuh penunjuk perasaan.

Dalam satu catatan media sosial, beliau turut menyatakan bahawa “bantuan sedang dalam perjalanan”, satu kenyataan yang dilihat meningkatkan lagi ketegangan.

Penganalisis berpendapat usaha Iran membezakan antara “penunjuk perasaan biasa” dan mereka yang dilabel sebagai perusuh atau pengganas merupakan cubaan untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap protes.

Amerika pula mengumumkan pusingan baru sekatan terhadap pegawai kanan Iran yang didakwa terlibat dalam tindakan keras terhadap rakyat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg