TEHRAN: Iran mengadakan upacara pengebumian negara pada 28 Jun untuk kira-kira 60 orang, termasuk komander tentera dan saintisnya, yang terbunuh dalam perang dengan Israel.
Upacara di Tehran untuk saintis nuklear dan komander tentera yang terbunuh dalam serangan Israel itu bermula pada 8 pagi (12.30 tengah hari, waktu Singapura).
Stesen televisyen pemerintah menyiarkan rakaman beribu-ribu warga berpakaian serba hitam, mengibarkan bendera Iran dan memegang gambar komander tentera yang terbunuh dalam upacara tersebut.
Presiden Iran Encik Masoud Pezeshkian, bersama pegawai kanan pemerintah dan pemimpin tentera termasuk Encik Esmail Qaani, ketua Pasukan Quds, cabang operasi asing Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) - menghadiri acara itu.
Penasihat kanan pemimpin tertinggi Iran, Encik Ali Shamkhani, yang menjadi sasaran dan cedera semasa perang, turut hadir dengan menggunakan tongkat untuk berjalan.
Imej juga memaparkan model peluru berpandu balistik, keranda yang disarungkan dengan bendera Iran dan potret komander yang meninggal dunia di lokasi upacara di Dataran Enghelab di tengah Tehran.
Sanjungan patriotik kedengaran daripada pembesar suara ketika perarakan merentasi pusat bandar menuju ke Dataran Azadi atau Kebebasan, sekitar 11 kilometer jauhnya.
“Boom boom Tel Aviv,” bunyi satu sepanduk, merujuk kepada peluru berpandu Iran yang ditembak ke Israel semasa konflik sebagai tindakan balas terhadap serangannya ke atas Iran.
Antara yang maut ialah Encik Mohammad Bagheri, seorang jeneral utama dalam IRGC.
Beliau dikebumikan bersama isteri dan anak perempuannya, seorang wartawan media tempatan, semuanya terbunuh dalam serangan Israel.
Saintis nuklear Encik Mohammad Mehdi Tehranchi, yang turut terbunuh dalam serangan itu, akan dikebumikan bersama isterinya.
Komander IRGC Encik Hossein Salami, yang terbunuh pada hari pertama perang, pula akan dikebumikan selepas upacara perarakan pada 28 Jun bersama 30 komander tertinggi yang lain.
Amerika telah melakukan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran pada hujung minggu lalu, menyertai sekutunya Israel mengebom program nuklear Iran dalam konflik 12 hari bermula pada 13 Jun.
Kedua-dua Israel dan Iran mendakwa menang dalam perang yang berakhir dengan gencatan senjata.
Encik Khamenei memperkecilkan serangan Amerika sebagai “tidak meninggalkan kesan yang besar”.
Serangan Israel ke atas Iran membunuh sekurang-kurangnya 627 orang awam, kata Kementerian Kesihatan Tehran.
Serangan Iran ke atas Israel pula membunuh 28 orang, menurut angka Israel. - AFP, Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg