Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khamenei dakwa AS campur tangan untuk selamatkan Israel daripada kekalahan

Jun 26, 2025 | 8:28 PM
Konflik Iran-Israel, perang, AS
Dalam penampilan pertamanya di televisyen Iran sejak gencatan senjata bermula, Ayatollah Ali Khamenei mendakwa rejim Israel hampir musnah akibat serangan balas Iran dan hanya diselamatkan oleh campur tangan Amerika Syarikat.  - Foto AFP

TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada 26 Jun menuduh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah “membesar-besarkan” kejayaan serangan ketenteraan Amerika terhadap tapak nuklear Iran, sambil mendakwa Iran telah mencapai kemenangan besar dalam konflik berdarah selama 12 hari dengan Israel.

Dalam ucapan televisyen pertamanya sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, Khamenei menyatakan bahawa Republik Islam Iran bukan sahaja berjaya menyerang sasaran strategik Israel, malah turut “menampar wajah” kuasa besar seperti Amerika.

“Republik Islam telah memberikan tamparan hebat ke atas Amerika Syarikat,” katanya.

Merujuk kepada serangan udara Amerika ke atas beberapa kemudahan nuklear utama Iran termasuk di Fordow dan Isfahan, Khamenei mendakwa “Amerika tidak memperoleh apa-apa daripada peperangan itu. Serangan mereka langsung tidak menjejaskan program nuklear kami”.

Khamenei secara khusus menyentuh mengenai Presiden Trump, yang telah mendakwa serangan udara Amerika telah memusnahkan prasarana nuklear Iran dan menangguhkan program itu selama beberapa dekad.

“Presiden Amerika membesar-besarkan peristiwa ini secara luar biasa kerana beliau memerlukan gambaran itu demi kepentingan politiknya,” ujar beliau.

Menurut Khamenei, tujuan sebenar Amerika menyertai konflik tersebut ialah untuk menyelamatkan Israel daripada kekalahan yang hampir pasti.

“Amerika memasuki medan perang kerana mereka bimbang jika tidak bertindak, rejim Israel akan runtuh sepenuhnya.”

Dalam satu hantaran di akaun rasmi beliau di X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), Khamenei turut menulis:

“Saya ucapkan tahniah kepada rakyat Iran atas kemenangan terhadap rejim Zionis palsu. Dengan segala dakwaan mereka, hakikatnya rejim itu hampir tumbang.”

Menurut beliau, serangan balas peluru berpandu dan dron oleh Iran ke atas Israel dan pangkalan tentera Amerika, termasuk Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar, membuktikan Iran mampu menembusi pertahanan musuh dan bertindak balas secara berkesan.

“Kami menyerang pusat utama Amerika di rantau ini dan jika perlu, kami boleh ulangi serangan tersebut. Musuh perlu tahu bahawa sebarang pencerobohan akan dibalas,” katanya, sambil menegaskan bahawa kemampuan ketenteraan Iran bukan hanya simbolik, tetapi merupakan kekuatan sebenar yang telah diuji.

Ucapannya itu dibuat selepas gencatan senjata antara Iran dengan Israel dimeterai 24 Jun, menamatkan 12 hari pertempuran sengit yang menyaksikan Iran melancarkan lebih 1,000 dron dan ratusan peluru berpandu balistik ke atas sasaran di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan awal tentera Israel.

Bagaimanapun, penilaian tentang keberkesanan serangan Amerika menjadi isu perbalahan di Washington.

Menurut laporan CNN yang memetik penilaian awal sulit, serangan udara tersebut hanya menangguhkan program nuklear Iran untuk beberapa bulan sahaja, manakala komponen penting masih utuh.

Sebaliknya, Encik Trump dalam kenyataannya mendakwa tapak seperti Fordow telah “dihapuskan sepenuhnya” dan program nuklear Iran telah ditangguhkan “berdekad lamanya”.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula mengumumkan “projek nuklear Iran telah digagalkan,” sambil memberi amaran jika Teheran cuba membangunkannya semula, Israel akan bertindak semula “dengan intensiti yang sama”.

Ketua  Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe, menyatakan “beberapa kemudahan nuklear utama Iran telah dimusnahkan dan perlu dibina semula dalam tempoh bertahun-tahun.”

Namun bagi Iran, penceritaan mereka jelas: Campur tangan Amerika adalah tindakan panik untuk menyelamatkan sekutu utama di Timur Tengah.

“Kami tidak akan tunduk kepada Amerika Syarikat,” tegas Khamenei, menandakan bahawa walaupun gencatan senjata telah dimeterai, konflik geopolitik ini masih jauh daripada penyelesaian. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg