Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran ancam kemusnahan besar jika Israel serang balas

Oct 2, 2024 | 4:25 PM
Sistem anti peluru berpandu kubah besi Israel memintas peluru-peluru berpandu yang dilancar Iran seperti yang dilihat daripada Ashkelon, Israel, pada 1 Oktober.
Sistem anti peluru berpandu kubah besi Israel memintas peluru-peluru berpandu yang dilancar Iran seperti yang dilihat daripada Ashkelon, Israel, pada 1 Oktober. - Foto REUTERS

TEHERAN/BAITULMAKDIS: Angkatan bersenjata Iran sekali lagi beri amaran terhadap sebarang serangan balas oleh Israel atau sekutunya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media negara Iran, tentera Iran mengancam akan menyebabkan “kemusnahan besar” kepada infrastruktur Israel sekiranya berlaku tindak balas.

Bagi sekutu Israel, Teheran berkata ia akan melancarkan “serangan hebat” terhadap pangkalan dan kepentingan serantau mereka sekiranya mereka campur tangan secara langsung.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu berjanji bahawa Iran akan menerima padah ekoran serangan peluru berpandunya ke atas Israel pada 1 Oktober.

Pendirian dan tindakan kedua-dua negara itu menimbulkan kebimbangan perang yang lebih meluas di Timur Tengah.

“Iran buat kesilapan besar dan akan membayarnya,” kata Encik Netanyahu beberapa jam selepas serangan Iran itu, dan memberi amaran: “Sesiapa yang menyerang kami, kami akan serang mereka.”

Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, yang berada di pusat arahan dan kawalan memantau pemintasan peluru berpandu Iran, turut berikrar menghukum Iran atas serangan itu.

“Iran tidak belajar daripada pengajaran yang mudah: Mereka yang serang Israel perlu bayar harga yang mahal,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin berkata beliau bercakap dengan Encik Gallant berikutan “tindakan pencerobohan keterlaluan” Iran terhadap Israel.

“Menteri dan saya menyatakan penghargaan bersama atas pertahanan yang diselaras Israel terhadap hampir 200 peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Iran dan komited untuk terus berhubung,” kata Encik Austin dalam catatan di X pada 1 Oktober.

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, berkata kapal pemusnah milik tentera laut Amerika sertai unit pertahanan udara Israel untuk menembak jatuh peluru berpandu.

“Secara ringkasnya, berdasarkan apa yang kita tahu ketika ini serangan nampaknya ditumpaskan dan tidak berkesan,’‘ ujar Encik Sullivan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi berkata bahawa serangan peluru berpandu ke atas Israel telah selesai, kecuali berlaku provokasi selanjutnya.

“Tindakan kami sudah selesai, melainkan rejim Israel putuskan untuk mengundang tindakan balas selanjutnya. Dalam senario itu, tindak balas kami akan menjadi lebih kuat dan lebih keras,” tambahnya dalam catatan di X pada awal 2 Oktober.

Beliau berkata tindakan Iran terhadap Israel dibuat selepas melakukan kekangan yang luar biasa untuk memberi ruang bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.

Ketua kakitangan Iran juga berikrar menyerang infrastruktur di seluruh Israel jika wilayahnya diserang.

Serangan “akan berulang dengan intensiti yang lebih hebat dan semua infrastruktur rejim akan menjadi sasaran”, kata Mejar Jeneral Mohammad Bagheri menerusi siaran televisyen pada 2 Oktober.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata serangan peluru berpandu itu dilancarkan sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, pada 27 September dan beberapa pemimpin Hamas serta pencerobohan Israel di Lebanon.

Tentera Iran menggunakan peluru berpandu Hipersonik Fattah buat kali pertama, dan 90 peratus peluru berpandunya berjaya mencapai sasaran mereka di Israel, kata IRGC.

Kebimbangan Iran dan Amerika akan diheret dalam perang serantau telah meningkat dengan serangan yang semakin sengit oleh Israel ke atas Lebanon dalam dua minggu yang lalu, termasuk permulaan operasi darat di sana pada 30 September, serta konfliknya selama setahun di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg