Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Tertinggi Iran dibawa ke tempat lebih selamat

Sep 29, 2024 | 5:04 PM
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, difahami telah dibawa ke lokasi yang lebih selamat di dalam Iran, selepas Israel membunuh pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah pada 27 September.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, difahami telah dibawa ke lokasi yang lebih selamat di dalam Iran, selepas Israel membunuh pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah pada 27 September. - Foto EPA-EFE

DUBAI: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, telah dibawa ke lokasi lebih selamat di Iran, sebahagian langkah keselamatan yang dipertingkat berikutan pembunuhan ketua kumpulan Hezbollah, Encik Hassan Nasrullah oleh Israel.  

Langkah untuk melindungi Ayatollah Khamenei – pemutus keputusan utama Iran –menunjukkan kegelisahan pemerintah Iran terhadap Israel, yang telah melancarkan siri serangan dahsyat ke atas Hezbollah, sekutu Iran yang serba lengkap dengan senjata terbaik di rantau ini.

Reuters melaporkan Pasukan Pengawal Revolusi Iran, tentera elit Republik Islam itu, telah mengarahkan semua anggota mereka untuk berhenti menggunakan sebarang alat komunikasi, selepas beribu-ribu alat kelui dan ‘walkie-talkie’ yang digunakan oleh Hezbollah meletup pada pertengahan September. 

Menurut Lebanon dan Hezbollah, Israel merupakan dalang di sebalik serangan itu. Sejauh ini, Israel tidak menafikan, mahupun mengesahkan penglibatan mereka.

Menurut sumber Reuters, yang merupakan pegawai daerah yang telah mendengar taklimat daripada Teheran, Ayatollah Khamenei telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat, menambah bahawa Iran sedang berhubung dengan Hezbollah serta kumpulan proksi lain serantau, untuk menentukan langkah susulan selepas pembunuhan Encik Nasrallah.

Selain membunuh Encik Nasrallah, serangan Israel ke atas Beirut pada 27 September turut membunuh Timbalan Komander Pengawal Revolusi Iran, Abbas Nilforoushan, menurut laporan media Iran pada 28 September.

Sebilangan komander yang lain juga dilaporkan terbunuh sejak konflik di Gaza meletus pada 2023, dan akibat pertempuran yang berlaku di tempat lain.

Berikutan pengumuman Israel pada 28 September bahawa Encik Nasrallah telah terbunuh, Ayatollah Khamenei mengeluarkan satu kenyataan dan berkata: “Nasib wilayah ini akan ditentukan oleh pasukan penentang, diketuai Hezbollah di barisan hadapan.”

Beliau juga mengumumkan lima hari berkabung untuk memperingati pemergian Encik Nasrallah.

Kematian Encik Nasrallah memberi tamparan hebat kepada Iran, kerana sekutu berpengaruh yang telah membangun Hezbollah sebagai tonggak utama sekutu Teheran di dunia Arab, telah “dihapuskan”.

Rangkaian sekutu serantau Iran, yang dikenali sebagai ‘Axis of Resistance’, meliputi Hamas di Gaza, Houthi di Yaman, Hezbollah di Lebanon, dan militan yang disokong Iran di Iraq. 

Hamas telah berperang dengan Israel selama hampir setahun, sejak para pejuangnya menyerbu masuk ke Israel pada 7 Oktober 2023.

Untuk menunjukkan solidariti dengan Gaza, kumpulan Houthi bertindak melancarkan peluru berpandu ke arah Israel dan ke arah kapal-kapal yang berlayar di Teluk Aden dan Laut Merah, di sepanjang pantai Yaman.

Hezbollah pula terlibat dalam pertukaran tembakan merentasi sempadan Lebanon sepanjang Perang Gaza, dan telah berulang kali mengatakan ia tidak akan berhenti sehingga ada gencatan senjata di Gaza.

Selepas serangan alat kelui dan ‘walkie-talkie’, seorang pegawai keselamatan Iran memberitahu Reuters, bahawa operasi besar-besaran sedang dijalankan oleh Pengawal Revolusi Iran untuk memeriksa semua peranti komunikasi mereka, yang kebanyakan dibuat sendiri atau diimport dari China dan Russia.

Pegawai itu berkata, Iran bimbang akan berlakunya penyusupan oleh perisik Israel, termasuk warga Iran yang diupah oleh Israel.

Siasatan menyeluruh yang menyasarkan anggota Pengawal Revolusi Iran yang berpangkat tinggi dan pertengahan telah dimulakan.

Dalam kenyataan lain pada 28 September, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian berkata Amerika Syarikat berperanan dalam pembunuhan Encik Nasrallah sebagai pembekal senjata kepada Israel.

“Amerika tidak boleh menafikan mereka bersubahat dengan Zionis,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh media Iran. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg