Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran dakwa situasi berada di bawah kawalan selepas keganasan

Tuduh AS dan Israel dalangi protes berdarah
Jan 12, 2026 | 8:21 PM
Iran, bantahan, ganas
Orang ramai menyertai demonstrasi bagi menyokong perhimpunan besar-besaran yang mengecam Republik Islam di Iran, di Paris pada 11 Januari 2026. Sekurang-kurangnya 540 orang dilaporkan terbunuh dalam gerakan terbesar menentang Republik Islam dalam tempoh lebih tiga tahun, ketika amaran semakin meningkat bahawa pihak berkuasa sedang melakukan “pembantaian” bagi mematahkan bantahan. - Foto AFP

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, mendakwa pasukan keselamatan negara itu kini berada dalam “kawalan penuh” selepas dua minggu pergolakan berterusan, sambil menuduh Amerika Syarikat dan Israel menjadi dalang kepada protes besar-besaran yang mengorbankan ratusan nyawa di seluruh negara.

Dalam temu bual bersama televisyen pemerintah pada 12 Januari, Encik Araqchi menegaskan bahawa apa yang berlaku di Iran tidak boleh dianggap sebagai demonstrasi awam, sebaliknya disifatkan sebagai “perang pengganas”.

“Kami mempunyai banyak bukti yang menunjukkan campur tangan Amerika Syarikat dan Israel dalam perang pengganas ini,” katanya. “Israel bertanggungjawab secara langsung, dan Amerika pula melalui kenyataan mereka yang menggalakkan keganasan.”

Encik Araqchi mengulangi dakwaan pemerintah bahawa “perusuh dan pengganas” telah membunuh anggota polis dan orang awam serta memusnahkan harta awam menggunakan keganasan ala ISIS.

Protes di Iran tercetus pada 28 Disember, susulan kejatuhan mendadak nilai mata wang negara itu yang memburukkan lagi tekanan kos sara hidup.

Namun, bantahan tersebut dengan pantas berkembang menjadi cabaran paling besar dan ganas terhadap pemerintahan Ali Khamenei dan Republik Islam sejak revolusi 1979 yang menggulingkan pemerintahan monarki pro-Amerika.

Menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA), sekurang-kurangnya lebih 540 orang terbunuh dan lebih 10,000 individu ditahan, dengan protes dilaporkan berlaku di 186 bandar merentasi 31 wilayah Iran.

Bagaimanapun, gangguan komunikasi dan sekatan internet yang berterusan menyukarkan usaha menilai skala sebenar pergerakan bantahan dan jumlah korban. Setakat ini, pemerintah Iran masih belum mengeluarkan angka rasmi kematian orang awam.

Di Washington, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pentadbirannya sedang meneliti beberapa pilihan susulan laporan mengenai tindakan keras berdarah di Iran, namun mengesahkan bahawa kepimpinan Tehran turut menghubungi Washington untuk membuka ruang perbincangan.
“Kami menelitinya dengan sangat serius. Pihak tentera sedang menilainya, dan kami sedang melihat beberapa pilihan yang sangat tegas,” kata Encik Trump kepada wartawan di atas pesawat Air Force One ketika pulang dari Mar-a-Lago, Florida. “Kami akan membuat keputusan.”

Encik Araqchi mengesahkan bahawa saluran komunikasi antara Iran dan wakil khas Encik Trump bagi Asia Barat masih terbuka, meskipun kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi.

“Saluran komunikasi antara menteri luar kami dan wakil khas presiden Amerika Syarikat adalah terbuka,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, merujuk kepada Encik Steve Witkoff.

Encik Araqchi menegaskan Iran bersedia untuk berunding, tetapi dengan syarat yang jelas.

“Kami bersedia untuk rundingan berasaskan saling menghormati, kepentingan nasional dan perbincangan yang serius serta sebenar,” katanya, tanpa mengulas lanjut mengenai bentuk atau jadual rundingan.

Televisyen pemerintah Iran melaporkan bahawa pihak berkuasa telah mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional bagi memperingati kematian “sebilangan besar orang awam dan anggota keselamatan di tangan perusuh dan sel pengganas”.

Siaran televisyen turut memaparkan reben hitam sebagai simbol berkabung, selain rakaman dari beberapa pusat bandar yang menurut pihak berkuasa menunjukkan keadaan kembali tenang.
Kerajaan juga merancang perhimpunan besar-besaran anjuran rasmi di Tehran dan bandar lain bagi mempromosikan “perpaduan nasional” serta mengecam apa yang disifatkan sebagai “tindakan pengganas” baru-baru ini. Agensi berita separa rasmi Tasnim melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 121 anggota pasukan keselamatan terbunuh, termasuk 30 orang di Isfahan, manakala angka bagi Tehran masih tidak dinyatakan.

Sekatan internet yang dilaksanakan sejak beberapa hari lalu terus mencetuskan kebimbangan antarabangsa. Encik Araqchi berkata perkhidmatan internet dijangka dipulihkan “dalam masa terdekat” dengan penyelarasan pihak keselamatan.

Namun, Isik Mater, pengarah penyelidikan di NetBlocks, berkata pemerintah Iran telah “memusnahkan suis pemutus digital” mereka.

“Pelaksanaan kali ini jauh lebih pantas dan bersifat lebih autoritarian berbanding protes 2019,” katanya. “Ini secara langsung membawa kepada kehilangan ketelusan dan kehilangan nyawa.”

Menurutnya, sekatan tersebut memberi kesan besar kepada rakyat Iran yang terputus hubungan dengan keluarga dan dunia luar.

Ketua badan kehakiman Iran, Encik Gholam-Hossein Mohseni-Eje’i, menyeru “langkah tegas dan berkesan” terhadap mereka yang menyerang anggota keselamatan dan infrastruktur awam semasa protes.

Beliau menegaskan bahawa keadilan mesti ditegakkan terhadap pelaku, sambil mendakwa rusuhan tersebut digerakkan dari luar negara.

Pada masa sama, polis Iran dilaporkan menghantar mesej teks kepada penduduk Teheran, memberi amaran kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak tidak menyertai perhimpunan yang didakwa disusupi kumpulan bersenjata. – Agensi berita.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg