Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran enggan semuka utusan AS di Doha, prospek damai temui jalan buntu
Iran enggan semuka utusan AS di Doha, prospek damai temui jalan buntu
Wakil Amerika hanya akan jumpa pihak pengantara, bukan delegasi Iran secara langsung
Iran enggan semuka utusan AS di Doha, prospek damai temui jalan buntu
DOHA: Iran menegaskan tidak akan mengadakan pertemuan dengan utusan tertinggi Amerika Syarikat yang berada di Asia Barat, susulan ketegangan terbaharu di Selat Hormuz, sekali gus menjejas prospek mencapai perjanjian damai berkekalan antara kedua-dua negara.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berkata tiada sebarang pertemuan dijadualkan dengan pihak Amerika dalam tempoh terdekat, walaupun rundingan tidak langsung dijangka diteruskan di Qatar menerusi pengantara.
“Tiada sebarang pertemuan di mana-mana peringkat dengan pihak Amerika dijadualkan dalam beberapa hari akan datang,” katanya dalam sidang media mingguan di Teheran.
Kenyataan itu dibuat selepas dua Utusan Kanan, Presiden Amerika, Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner, tiba di Doha bagi apa yang disifatkan Rumah Putih sebagai rundingan “peringkat tinggi”.
Qatar bagaimanapun memaklumkan kedua-dua wakil Amerika itu hanya akan bertemu pihak pengantara dan bukannya delegasi Iran secara langsung.
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Encik Mohammed Abdulrahman Al Thani, dilaporkan antara individu yang mengadakan pertemuan dengan Encik Witkoff dan Encik Kushner.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al Ansari, berkata rundingan teknikal peringkat rendah antara delegasi Amerika dengan Iran dijangka berlangsung menerusi saluran pengantara.
Menurut sumber saluran berita televisyen Arab, Al Arabiya, rundingan tidak langsung itu akan memberi tumpuan kepada isu Selat Hormuz dan kestabilan keseluruhan rantau Asia Barat.
Sumber sama berkata Iran dijangka menerima AS$3 bilion ($3.8 bilion) daripada aset negara itu yang dibekukan menjelang hujung minggu ini, sebagai sebahagian pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Teheran dengan Washington.
Encik Baghaei berkata perbincangan di Doha akan melibatkan isu pelaksanaan MOU tersebut termasuk pembebasan aset Iran yang disekat di luar negara.
“Apa yang dijangka berlaku di Doha adalah perbincangan mengenai pelaksanaan beberapa peruntukan MOU termasuk berkaitan pembebasan aset Iran yang dibekukan,” katanya.
Beliau berkata rundingan itu akan dilakukan bersama pihak Qatar, dan bukannya dengan Amerika secara langsung.
Pelepasan aset Iran menjadi antara syarat utama Teheran untuk meneruskan proses damai jangka panjang dengan Washington.
Menurut MOU yang ditandatangani pada 17 Jun, Amerika bersetuju menamatkan sekatan terhadap Iran secara berperingkat, dan membenarkan akses penuh terhadap dana Iran yang dibekukan.
Iran berdepan sekatan ekonomi dan pembekuan aset oleh Amerika serta negara Barat sejak Revolusi Islam 1979, yang menggulingkan Shah Mohammad Reza Pahlavi.
Walaupun tiada angka rasmi diumumkan, media antarabangsa menganggarkan jumlah aset Iran yang dibekukan di luar negara antara AS$100 bilion dengan AS$123 bilion.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak masih berbeza pendirian mengenai beberapa perkara utama dalam rangka kerja awal damai yang dicapai Jun lalu.
Perjanjian itu menetapkan Iran perlu menarik balik sekatan terhadap Selat Hormuz sebagai balasan kepada insentif kewangan dan rundingan damai selama 60 hari bagi mencapai penyelesaian kekal.
Namun, pegawai Iran berkata Teheran mempunyai hak untuk menguruskan trafik maritim di Selat Hormuz bersama Oman, dan bercadang mengenakan bayaran terhadap kapal yang menggunakan laluan strategik itu mulai pertengahan Ogos.
Sebelum perang Iran-Israel tercetus pada 28 Februari lalu, Selat Hormuz mengendalikan hampir satu perlima perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia.
Walaupun sebahagian penghantaran kapal kini mula pulih, ketegangan di laluan itu masih belum reda sepenuhnya.
Dalam perkembangan lain, laporan Wall Street Journal, menyebut Presiden Amerika, Encik Donald Trump, turut mempertimbangkan pilihan untuk kembali melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran.
Menurut laporan itu, Encik Trump mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, mengenai kemungkinan serangan baharu.
Agensi berita, Reuters, bagaimanapun berkata ia belum dapat mengesahkan laporan tersebut secara bebas.
Akhbar itu melaporkan Encik Trump buat masa ini memilih untuk memberi lebih banyak ruang kepada diplomasi, walaupun sebelum ini mengancam Iran dengan tindakan ketenteraan tambahan.
Sementara itu, Encik Baghaei memberi amaran, Teheran akan bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran MOU oleh Amerika.
“Kami tidak akan membiarkan sebarang tindakan tanpa jawapan.
“Angkatan bersenjata Iran sudah menunjukkan bahawa sebarang pencerobohan terhadap Republik Islam Iran akan dibalas secara segera dan tegas,” katanya.
Beliau berkata sebarang serangan atau tindakan agresif akan dianggap melanggar Artikel 1 MOU tersebut.
“Jika pelanggaran seperti itu berulang dan berterusan, proses ini secara semula jadi akan berdepan kesukaran,” ujarnya. – Agensi berita.
