Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump dakwa Iran mohon mesyuarat di Doha, Teheran nafi rundingan langsung dengan AS
Trump dakwa Iran mohon mesyuarat di Doha, Teheran nafi rundingan langsung dengan AS
Rundingan Iran di Qatar masih diteruskan dengan negara pengantara
Trump dakwa Iran mohon mesyuarat di Doha, Teheran nafi rundingan langsung dengan AS
DOHA: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Iran meminta satu mesyuarat di Doha pada 30 Jun, meskipun Teheran menafikan sebarang rundingan langsung dengan Washington berhubung pelaksanaan perjanjian bagi menamatkan perang di Timur Tengah.
Pengumuman itu dibuat ketika Iran mengadakan rundingan pertama dengan Oman mengenai pengurusan Selat Hormuz selepas perjanjian Amerika-Iran ditandatangani, di samping persetujuan Washington dan Teheran untuk menghentikan serangan yang sebelum ini menggugat pelaksanaan memorandum tersebut.
“Iran telah meminta mesyuarat. Ia akan berlangsung esok di Doha!” tulis Encik Trump di platform Truth Social pada 29 Jun, tanpa menyatakan siapa yang akan menghadiri pertemuan itu.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, kemudian berkata utusan Amerika, Encik Steve Witkoff, dan penasihat Encik Trump yang juga menantunya, Encik Jared Kushner, “akan terbang ke Doha untuk mesyuarat peringkat tinggi minggu ini”.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, menegaskan delegasi pakar Iran memang akan ke Doha minggu ini, tetapi menafikan sebarang pertemuan langsung dengan pihak Amerika.
“Kami belum memasuki tahap rundingan perjanjian akhir,” katanya.
“Dalam beberapa hari mendatang, kami tidak akan mengadakan sebarang mesyuarat rundingan dengan pihak Amerika pada mana-mana peringkat,” tambah beliau.
Timbalan Menteri Luar Iran Encik Kazem Gharibabadi pada 29 Jun menegaskan bahawa “tiada perbincangan teknikal” dijadualkan berlangsung dengan Amerika di ibu negara Qatar, Doha minggu ini, sekali gus menafikan laporan media Amerika, lapor Anadolu Ajansi, memetik laporan agensi berita Irna.
Encik Gharibabadi sebagai berkata bahawa laporan media berhubung penganjuran perbincangan kumpulan kerja teknikal antara Teheran dengan Washington di Doha “tidak disahkan”.
“Mesyuarat teknikal bagi kumpulan-kumpulan kerja berkenaan tidak dijadualkan pada minggu ini,” katanya.
Menurut Encik Gharibabadi, rundingan dengan Qatar masih berterusan, termasuk usaha untuk menyusuli pelaksanaan komitmen Amerika di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani baru-baru ini.
“Pusingan pertama perbincangan teknikal dalam kumpulan kerja yang ditetapkan akan diadakan sebaik sahaja syarat-syarat dipenuhi dan selepas persetujuan dicapai mengenai tarikh serta lokasi,” katanya.
Pegawai kanan Iran itu turut berkata rundingan mengenai isu berkenaan masih diteruskan menerusi negara pengantara.
Isu utama yang masih membayangi proses damai itu ialah kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang sebelum konflik digunakan untuk mengangkut kira-kira satu perlima minyak dan gas asli cecair dunia.
Ketegangan terbaru berlaku awal 28 Jun apabila Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata ia menyerang 10 sasaran tentera Iran atas alasan “agresi berterusan Iran terhadap perkapalan komersial”.
Iran pula berkata ia membalas dengan serangan ke atas pangkalan Amerika di Kuwait dan Bahrain.
Sekatan dan kawalan laluan di Selat Hormuz kekal menjadi perkara paling sensitif dalam rundingan.
Iran dan Oman berkongsi perairan wilayah di selat itu, tetapi undang-undang antarabangsa secara umum tidak membenarkan kedua-dua pihak menyekat laluan atau mengenakan bayaran tol terhadap kapal yang melaluinya.
Encik Gharibabadi berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Hormuz telah diadakan di Muscat.
“Dalam lawatan ke Muscat, mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Hormuz telah berlangsung,” katanya menerusi X.
Teheran sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang percubaan kapal menggunakan laluan alternatif yang tidak dipersetujui Iran di Selat Hormuz boleh “meningkatkan ketegangan” di Timur Tengah.
Iran mahu kapal yang melalui selat itu menggunakan koridor berhampiran pesisirnya.
Namun, cara pelaksanaan memorandum Amerika-Iran masih belum jelas, terutama berhubung isu pembersihan periuk api.
Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dengan Sultan Oman, Haitham bin Tariq, Paris dan Muscat berkata mereka akan melaksanakan operasi pembersihan periuk api secara bersama.
Iran segera membantah kenyataan itu.
Encik Gharibabadi berkata, berdasarkan perjanjian, hanya Iran diberi peranan melaksanakan pembersihan periuk api.
“Keadaan ini sensitif dan rumit. Kami menasihatkan Perancis supaya tidak menambah kerumitan melalui provokasinya,” katanya.
Data firma penjejakan maritim Kpler menunjukkan trafik kapal di Selat Hormuz perlahan pada hujung minggu selepas sebuah kapal terkena serangan ketika melalui laluan itu.
Sebanyak 29 kapal komoditi melintasi selat itu pada 27 Jun, manakala hanya 12 kapal melaluinya pada 28 Jun.
Menurut Kpler, tiada kapal menggunakan koridor selatan melalui perairan Oman, sementara firma penjejakan lain, AXSMarine, mendapati 44 kapal berhenti menghantar kedudukan mereka secara terbuka.
Teks memorandum Amerika-Iran yang diumumkan bulan Jun menyatakan Iran akan menentukan pentadbiran masa depan Selat Hormuz melalui dialog dengan Oman dan negara Teluk lain, tetapi perlu selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran pula berkata ia sedang mengambil langkah mengawal trafik di selat itu dan kapal yang melanggar peraturan akan ditangani dengan lebih tegas.
Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mohammad Mokhber, berkata selagi Iran menguruskan selat itu, “impian hegemoni” Washington di rantau berkenaan tidak akan tercapai.
Pakar menjangka insiden di Selat Hormuz masih boleh berulang. Encik H.A. Hellyer dari Institut Diraja Perkhidmatan Bersatu (RUSI) di London berkata rundingan panjang yang disertai tekanan terkawal di selat itu boleh memberi kelebihan kepada Iran.
“Bagi Iran, rundingan berlarutan yang disertai tekanan terkawal di selat tersebut boleh bekerja untuk kepentingannya,” katanya.
Harga minyak yang minggu lalu turun ke paras sebelum perang kembali meningkat sedikit semalam, mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap keselamatan laluan tenaga global itu.
Dalam perkembangan berkaitan, media pemerintah Lebanon berkata serangan Israel mengenai selatan negara itu, kubu kuat Hezbollah yang disokong Iran, meskipun kedua-dua pihak menandatangani rangka persetujuan minggu lalu bagi membuka jalan kepada perjanjian damai.
Hezbollah mengheret Lebanon ke dalam perang Timur Tengah pada Mac lalu selepas melancarkan roket ke Israel, yang kemudian membalas dengan serangan udara dan pencerobohan darat.
Di bawah perjanjian yang ditaja Washington, Hezbollah perlu dilucutkan senjata dengan tanggungjawab itu diletakkan kepada tentera Lebanon.
Namun, pemimpin Israel berkata tenteranya akan terus menduduki bahagian selatan sehingga proses itu selesai.
Hezbollah menentang keras perjanjian tersebut, sekali gus menambah satu lagi cabaran kepada usaha diplomasi serantau yang masih rapuh. – Agensi berita.
