WASHINGTON: Iran dilaporkan tidak mempunyai rancangan menyertai pusingan rundingan baru dengan Amerika Syarikat, beberapa hari sebelum tempoh gencatan senjata di Asia Barat berakhir.

Media rasmi Iran melaporkan keputusan itu dibuat susulan tindakan Presiden Donald Trump mengarahkan delegasi Amerika ke Pakistan untuk meneruskan rundingan, walaupun ketegangan antara kedua-dua pihak terus meningkat.

“Buat masa ini tiada perancangan untuk menyertai rundingan seterusnya dengan Amerika,” lapor penyiar negara, Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB), yang memetik sumber Iran.

Beberapa agensi berita Iran menyifatkan suasana rundingan ketika ini sebagai tidak memberangsangkan, dengan sekatan laut Amerika terhadap pelabuhan Iran menjadi isu utama.

“Keadaan keseluruhan tidak boleh dianggap positif,” lapor agensi berita Iran, Fars dan Tasnim, sambil menegaskan bahawa penarikan sekatan merupakan syarat utama untuk meneruskan rundingan.

Agensi berita Iran, Irna pula menyatakan tuntutan Washington sebagai “tidak munasabah dan tidak realistik”.

“Dalam keadaan ini, tiada prospek jelas untuk rundingan yang membuahkan hasil,” tambah laporan itu.

Ketegangan semakin memuncak selepas sebuah kapal Iran dilapor cuba menembusi sekatan laut Amerika, sebelum diserang dan ditahan oleh tentera laut Amerika.

Encik Trump mendakwa kapal itu dihalang selepas cuba melepasi sekatan.

“Kapal itu cuba melepasi sekatan laut kami, dan ia tidak berakhir dengan baik untuk mereka,” katanya.

Beliau menambah kapal tersebut kini berada dalam tahanan tentera Amerika.

Sebagai tindak balas, Iran memberi amaran akan bertindak balas terhadap tindakan tersebut.

“Angkatan tentera Republik Islam Iran akan segera bertindak balas terhadap lanun bersenjata ini,” kata jurucakap pusat komando Iran dipetik agensi berita, Isna.

Menurut Fars, Markas Pusat Khatam al-Anbiya, memaklumkan tentera Amerika menyasarkan kapal berkenaan, melumpuhkan sistem kemudi dan kemudian menaikinya dalam kejadian yang didakwa sebagai pencabulan gencatan senjata.

Jurucakap tentera Iran, Encik Ebrahim Zolfaghari, berkata tentera Amerika melepaskan tembakan ke arah kapal itu sebelum menaikinya.

“Amerika yang bertindak agresif dengan melanggar gencatan senjata dan menjadi lanun maritim, telah menyerang sebuah kapal Iran selepas melumpuhkan sistem kemudi.

Konflik turut tertumpu kepada Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Iran sebelum ini membuka semula laluan tersebut secara sementara, namun menutupnya semula sebagai reaksi terhadap sekatan berterusan oleh Amerika.

Pengawal Revolusi Iran memberi amaran mana-mana kapal yang melalui selat tanpa kebenaran akan dianggap bekerjasama dengan musuh.

Rundingan antara kedua-dua pihak setakat ini menunjukkan kemajuan terhad, dengan hanya satu sesi selama 21 jam di Islamabad pada 11 April yang berakhir tanpa keputusan muktamad.

Encik Trump tetap yakin dan menyifatkan tawaran Amerika sebagai adil.

“Kami menawarkan perjanjian yang sangat adil dan munasabah, dan saya harap mereka akan menerimanya,” katanya, sambil mengulangi ancaman terhadap prasarana Iran jika tiada persetujuan dicapai.

Delegasi Amerika dijangka diketuai Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, bersama utusan Asia Barat, Encik Steve Witkoff, dan Encik Jared Kushner.

Satu lagi isu utama adalah simpanan uranium diperkaya Iran yang hampir mencapai tahap senjata.

Encik Trump mendakwa Iran bersetuju menyerahkan sekitar 440 kilogram uranium tersebut.

Namun, Iran menafikan dakwaan itu. “Kami tidak akan memindahkan simpanan itu ke mana-mana, dan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam rundingan,” ujar Kementerian Luar Iran.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, turut mempertikaikan tuntutan tersebut.

“Mengapa kami perlu melepaskan hak sah kami untuk program nuklear?” katanya.

Setakat ini, hanya terdapat satu sesi rundingan selama 21 jam yang diadakan di Islamabad pada 11 April yang berakhir secara tidak tekal, walaupun kerja asas untuk rundingan baru diteruskan selepas itu.

“Kami menawarkan PERJANJIAN yang sangat adil dan munasabah, dan saya harap mereka menerimanya,” kata Encik Trump dalam satu catatan semalam, sambil turut memperbaharui ancamannya terhadap prasarana Iran, jika perjanjian tidak dimeterai. – Agensi berita.