TEHERAN: Iran, Iraq dan Syria menutup sebahagian ruang udara masing-masing selepas Teheran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan terkini Israel di Lebanon.

Iran menutup ruang udara di bahagian barat negara itu sejurus selepas melancarkan serangan peluru berpandu tersebut.

Jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Nasional Iran, Encik Majid Akhavan, berkata langkah itu diambil atas faktor keselamatan.

“Berdasarkan penilaian keselamatan dan keadaan semasa, ruang udara di bahagian barat negara ditutup sehingga diberitahu kelak,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita, Irna.

Iraq turut menutup sementara ruang udaranya dan menggantung operasi penerbangan selama 72 jam selepas serangan Iran.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iraq berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan penerbangan awam ketika ketegangan ketenteraan meningkat di rantau tersebut.

Syria pula menutup ruang udara di selatan negara itu selama 12 jam selain menggantung operasi di Lapangan Terbang Damsyik.

Dalam perkembangan berkaitan, Qatar turut mengehadkan pergerakan penerbangan melalui ruang udaranya, termasuk pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha serta penerbangan yang melalui ruang udara Qatar dari Arab Saudi.

Sekatan itu dimaklumkan kepada syarikat penerbangan menerusi Notis kepada Juruterbang (Notam), sistem amaran antarabangsa yang digunakan untuk memaklumkan juruterbang mengenai potensi bahaya atau perubahan operasi ruang udara dan lapangan terbang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar mengeluarkan dua Notam pada 7 Jun, termasuk pemberitahuan bahawa sebahagian ruang udara negara itu ditutup serta arahan laluan alternatif kepada juruterbang.

Langkah itu dibuat hanya beberapa hari selepas Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait mengalami kerosakan teruk akibat serangan peluru berpandu Iran.

Sekurang-kurangnya seorang maut dalam serangan tersebut yang berlaku beberapa jam selepas terminal itu dibuka semula selepas dibaik pulih susulan serangan Iran terdahulu.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran bagaimanapun mendakwa mereka tidak menyasarkan lapangan terbang itu secara langsung.

Menurut mereka, kerosakan berlaku akibat kegagalan sistem pertahanan udara Patriot yang digunakan untuk memintas peluru berpandu balistik dan dron Iran yang dilancarkan ke arah Kuwait dan Bahrain.

Notam Qatar dijangka kekal berkuat kuasa sehingga 14 Jun, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa Doha menjangkakan kemungkinan serangan balas dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Qatar menempatkan Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat yang menjadi pusat operasi utama tentera Amerika di Asia Barat.

Laporan terbaharu menyebut pusat kawalan operasi tentera Amerika di pangkalan itu terkena serangan peluru berpandu Iran pada peringkat awal konflik bersama Israel sebelum mengalami kerosakan besar.

Iran turut menutup ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Teheran selepas Israel melancarkan serangan ke kawasan tengah dan barat Iran.

Tentera Israel berkata serangan udara itu dilakukan beberapa jam selepas Iran melancarkan gelombang peluru berpandu balistik ke arah utara Israel.

Media Israel melaporkan Iran melancarkan tiga gelombang serangan peluru berpandu pada malam 7 Jun malam, serangan pertama sejak gencatan senjata bermula pada 8 April lalu.

Saluran Channel 12 Israel melaporkan berlaku kerosakan di bandar Tiberias selepas salah satu serangan peluru berpandu yang dipercayai melibatkan empat misil.

Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv turut menggantung sementara operasi penerbangan.

Tentera Iran kemudian mengesahkan mereka menyasarkan Pangkalan Udara Ramat David sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai” Israel di selatan Lebanon dan pinggir selatan Beirut.

Menteri Pengangkutan Israel, Encik Miri Regev, mengadakan mesyuarat tergempar bersama pihak berkuasa lapangan terbang negara itu susulan serangan Iran.

Setakat ini, Israel belum memutuskan untuk menutup sepenuhnya ruang udaranya, namun, pihak berkuasa sedang bersiap sedia sekiranya konflik dengan Iran dan Hezbollah terus meningkat.

Konflik itu kini memberi kesan besar terhadap laluan penerbangan komersial di Asia Barat apabila beberapa syarikat penerbangan masih belum menyambung semula operasi ke Israel sejak perang dengan Iran tercetus pada Februari lalu. – Agensi berita.