Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonflik serantau lumpuhkan nadi ekonomi Qatar
Konflik serantau lumpuhkan nadi ekonomi Qatar
Pergolakan rantau Asia Barat jejas eksport gas asli cecair Qatar, ganggu model bangun ekonomi
Konflik serantau lumpuhkan nadi ekonomi Qatar
DOHA: Selama beberapa dekad, Qatar dikenali sebagai antara negara paling mewah di dunia hasil kekayaan gas asli yang mengalir keluar melalui Selat Hormuz ke pasaran Asia dan Eropah.
Namun kini, perang melibatkan Iran dan penutupan laluan strategik itu mula menggoncang asas ekonomi negara Teluk tersebut.
Konflik serantau yang tercetus sejak Februari bukan sahaja menjejas eksport gas asli cecair (LNG) Qatar, malah mengganggu keseluruhan model pembangunan ekonomi negara itu yang selama ini bergantung pada kestabilan rantau Asia Barat.
Selama ini, Qatar membina reputasi sebagai kuasa tenaga sejagat melalui pengeluaran gas dari North Field, iaitu medan gas asli terbesar di dunia.
Hasil kekayaan itu digunakan untuk membangunkan Doha menjadi metropolis moden lengkap dengan pencakar langit, sistem metro, bandar pintarnya bernama Lusail, pusat beli-belah mewah serta dana kekayaan negara bernilai ratusan bilion dolar.
Namun, apabila Selat Hormuz ditutup akibat perang dan serangan Iran, seluruh sistem ekonomi Qatar mula terjejas.
Penganalisis di Asia Group, Encik Ahmed Helal, berkata eksport gas adalah asas utama kewujudan ekonomi moden Qatar.
“Tiada satu pun pembangunan yang kita lihat di sini akan berlaku tanpa kekayaan tenaga. Sebab itu Qatar kini berdepan keadaan fiskal yang amat mencabar,” katanya.
Selat Hormuz nadi ekonomi Qatar
Berbeza dengan Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai saluran paip alternatif untuk mengeksport minyak dan gas tanpa melalui Selat Hormuz, Qatar hampir sepenuhnya bergantung pada laluan laut itu.
Penutupan selat berkenaan menyebabkan hampir tiada LNG dapat dihantar keluar dari Qatar selama lebih dua bulan.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila peluru berpandu dan dron Iran menyerang kompleks gas, Ras Laffan, pusat industri LNG terbesar Qatar.
Serangan itu merosakkan peralatan penting dan mengurangkan kemampuan pengeluaran negara sebanyak 17 peratus.
Ras Laffan yang sebelum ini menjadi lambang kemakmuran Qatar kini dilaporkan lumpuh.
Jalan ditutup, operasi tergendala dan pelabuhan utama Hamad di selatan Doha pula menyaksikan kren pengangkut kontena tidak lagi bergerak.
Kesan ekonomi mula dirasai dengan cepat.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangka ekonomi Qatar akan menguncup 8.6 peratus pada 2026 sebelum pulih secara perlahan pada 2027.
Ketua Ekonomi IMF, Profesor Pierre-Olivier Gourinchas, berkata bagi setiap hari Selat Hormuz terus ditutup, ia akan memburukkan lagi prospek ekonomi negara Teluk yang bergantung pada eksport tenaga.
Negara kaya bergantung pada kestabilan
Krisis itu juga memperlihatkan kelemahan sebenar Qatar sebagai negara kecil yang terlalu bergantung pada kestabilan geopolitik.
Sejak 1990-an, Qatar menggunakan hasil gas untuk membina imej sebagai pusat pelancongan, kewangan dan sukan antarabangsa.
Negara itu menjadi tuan rumah 2022 Piala Dunia Fifa, menarik perlumbaan Formula 1 (F1) serta menganjurkan pelbagai kejohanan dunia.
Pada masa sama, Qatar cuba mengurangkan kebergantungan pada sektor hidrokarbon dengan membuka ekonomi kepada syarikat asing dan menarik pelaburan luar.
Namun, perang menyebabkan strategi itu mula tergugat.
Negara Barat mengeluarkan nasihat perjalanan ke rantau Teluk, manakala syarikat berbilang negara, mula memindahkan kakitangan mereka keluar dari Qatar kerana bimbang keadaan keselamatan kian buruk.
Di pasar tradisional terkenal di Doha, Souq Waqif, peniaga melaporkan jumlah pelancong asing merosot dengan ketara.
Di bandar Lusail pula, pertunjukan air pancut di pusat beli-belah mewah, Place Vendome, yang sebelum ini dipenuhi pengunjung kini hanya menarik beberapa individu sahaja.
Menurut laporan oleh penganalisis Majlis Timur Tengah bagi Hal Ehwal Sejagat, Dr Frederic Schneider, strategi kepelbagaian ekonomi Qatar sangat bergantung pada persepsi bahawa negara itu stabil dan selamat.
“Imej lapangan terbang Qatar di bawah amaran serangan udara dan Ras Laffan dibedil peluru berpandu bertentangan sama sekali dengan persepsi kestabilan yang cuba dibina negara itu,” katanya.
Menurutnya, perang itu menjejas kedua-dua asas ekonomi Qatar, iaitu sektor hidrokarbon dan ekonomi pasca hidrokarbon secara serentak.
Qatar cuba kekal imej tenang
Walau berdepan tekanan besar, Qatar dilihat cuba mengekalkan imej tenang bagi mengelakkan panik dan penghijrahan besar-besaran tenaga kerja asing.
Ini penting kerana sekitar 90 peratus daripada 3.2 juta penduduk Qatar terdiri daripada warga asing.
Pihak berkuasa juga bertindak mengekalkan subsidi besar-besaran bagi memastikan harga barang import tidak melonjak terlalu tinggi.
Qatar mengimport hampir 90 peratus makanan dari luar negara.
Sebelum perang, kebanyakan bekalan tiba melalui laut, namun, kini banyak produk seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dihantar menggunakan kargo udara atau laluan darat melalui Arab Saudi.
Walaupun kos logistik meningkat mendadak, harga barang import dilaporkan hanya naik sekitar 5 hingga 10 peratus hasil campur tangan kerajaan.
Penduduk Doha berkata mereka masih berasa selamat, tetapi serangan ke atas Ras Laffan meninggalkan trauma psikologi mendalam.
Ada yang melihat api besar menjulang di kaki langit pada malam serangan, seiring asap tebal dan bau hangit dapat dihidu hingga ke ibu negara.
Walaupun ekonomi Qatar sedang berada dalam tekanan, negara itu masih mempunyai kekuatan kewangan besar melalui dana kekayaan negara bernilai sekitar AS$600 bilion ($768 bilion).
Dana itu memiliki pelaburan di seluruh dunia termasuk Lapangan Terbang Heathrow di London dan Bangunan Empire State di Bandar New York.
Firma penarafan S&P Global Ratings, mengekalkan penarafan kredit Qatar pada Mei sambil menyatakan negara itu masih memiliki aset fiskal dan kewangan luar yang besar.
Namun. persoalan utama adalah berapa lama Qatar mampu bertahan jika konflik berterusan?
Encik Helal berkata kerajaan Qatar setakat ini berjaya menguruskan kesan perang dengan baik, tetapi risiko jangka panjang kian membimbangkan.
“Jika syarikat asing mula keluar dan tenaga kerja ekspatriat berhijrah, keadaan boleh menjadi sangat menakutkan,” katanya.
Menurut beliau, jurang fiskal Qatar akan terus melebar selagi Selat Hormuz kekal ditutup.
Bagi Qatar, perang Iran bukan sekadar konflik serantau biasa.
Ia kini menjadi ancaman langsung terhadap model pembangunan yang menjadikan negara kecil itu antara kuasa ekonomi paling berpengaruh dalam dunia Arab. – Agensi berita.
“
“Imej lapangan terbang Qatar di bawah amaran serangan udara dan Ras Laffan dibedil peluru berpandu bertentangan sama sekali dengan persepsi kestabilan yang cuba dibina negara itu.”