Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran kaitkan serangan Hamas di Israel dengan pembunuhan komander

Dec 28, 2023 | 5:59 PM
KAITKAN DENGAN PEMBUNUHAN: Kain rentang yang memaparkan Mejar-Jeneral Qassem Soleimani, dipasang pada sebuah bangunan sebagai menyokong rakyat Palestin di Teheran, Iran, pada 17 Oktober.
KAITKAN DENGAN PEMBUNUHAN: Kain rentang yang memaparkan Mejar-Jeneral Qassem Soleimani, dipasang pada sebuah bangunan sebagai menyokong rakyat Palestin di Teheran, Iran, pada 17 Oktober. - Foto REUTERS

TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran mendakwa bahawa serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh Hamas yang disokongnya adalah sebagai sebahagian tindakan balas terhadap pembunuhan seorang komander tertinggi Iran oleh Amerika Syarikat pada 2020.

Namun, kumpulan militan Palestin itu menolak kenyataan awal jurucakap Pengawal yang mendakwa motivasi utama serangan adalah untuk membalas dendam terhadap kematian Mejar-Jeneral (Mej-Jen) Qassem Soleimani bagi pihak Iran.

Serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober telah membunuh lebih 1,400 orang dan mereka turut menahan sekitar 240 orang sebagai tebusan.

Israel bertindak balas dengan pengeboman dan serangan darat berterusan yang sehingga kini telah meragut nyawa lebih 21,100 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.

Iran, yang menyokong Hamas dari segi kewangan dan ketenteraan, telah memuji serangan maut itu sebagai ‘kejayaan’ tetapi menafikan sebarang penglibatan secara langsung.

“Tidak dinafikan, sebahagian daripada kemenangan bersejarah yang hebat… adalah hasil usaha Mej-Jen Qassem Soleimani,” kata Encik Ramezan Sharif, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), pada 27 Disember.

Mej-Jen Soleimani, bekas komander Pasukan Quds, cabang operasi asing IRGC, terbunuh dalam serangan dron Amerika di Baghdad, Iraq, pada 3 Januari 2020.

“Seseorang boleh menganggap kejayaan operasi (Hamas) sebagai sebahagian daripada dendam penentangan terhadap pembunuhan oleh pihak pengecut,” tambah Encik Sharif.

Beliau berkata bahawa “penindasan selama 70 tahun, pendudukan, penghinaan terhadap Masjid Al-Aqsa, dan pengepungan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak berdaya” juga antara motif serangan Hamas ke atas Israel.

Encik Sharif sebelum ini memberitahu sidang akhbar di Teheran bahawa serangan Hamas pada 7 Oktober adalah antara “tindakan membalas dendam” atas pembunuhan Mej-Jen Soleimani “oleh Amerika yang disokong Zionis (Israel)“.

Kenyataan itu, yang kemudiannya dikatakan oleh Encik Sharif sebagai “salah faham”, mendapat teguran daripada Hamas yang menyatakan “tidak ada kebenaran” dalam kenyataan tersebut.

“Kami telah mengumumkan beberapa kali motivasi dan sebab di sebalik serangan ke atas Israel ialah bahaya yang dihadapi Masjid Al-Aqsa,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis timur adalah tapak suci bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Masyarakat Yahudi menyebutnya sebagai Gunung Kuil.

Ia juga menempatkan Kubah al-Sakhrah (Dome of the Rock) yang terletak betul-betul di atas Tembok Barat, tempat paling suci untuk orang Yahudi memanjatkan doa. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg