Topic followed successfully
Go to BHkuIran dakwa AS terima pelan damai 10 perkara untuk tamatkan perang
Iran dakwa AS terima pelan damai 10 perkara untuk tamatkan perang
Iran dakwa AS terima pelan damai 10 perkara untuk tamatkan perang
TEHERAN: Iran mendakwa Amerika Syarikat “pada dasarnya” telah menerima cadangan 10 perkara yang bertujuan menamatkan konflik antara kedua-dua negara, sekali gus membuka laluan kepada rundingan damai yang dijadual bermula di Islamabad, Pakistan.
Menurut laporan media pemerintah Iran, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memaklumkan bahawa cadangan tersebut akan menjadi rangka kerja utama bagi rundingan yang bertujuan memuktamadkan perjanjian lebih menyeluruh.
“Cadangan ini akan menjadi asas rundingan untuk mencapai perjanjian yang lebih luas,” menurut kenyataan majlis tersebut. Walaupun begitu, butiran penuh cadangan tidak diperincikan secara rasmi.
Laporan oleh Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) menyatakan pelan tersebut merangkumi beberapa tuntutan utama Teheran, termasuk jaminan bahawa tiada pencerobohan akan dilakukan terhadap Iran serta pengiktirafan hak negara itu untuk meneruskan program pengayaan uranium.
Selain itu, Iran turut menuntut agar semua sekatan utama dan sekatan tambahan oleh Amerika Syarikat ditarik balik sepenuhnya.
Cadangan tersebut juga merangkumi penamatan semua resolusi terhadap Iran oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Lembaga Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), pembayaran pampasan perang, serta pengunduran pasukan tentera AS dari rantau tersebut.
Tidak kurang penting, Iran menegaskan kawalan berterusan ke atas Selat Hormuz serta penghentian permusuhan di semua medan, termasuk di Lebanon.
Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran menegaskan bahawa rundingan yang bakal berlangsung tidak bermakna konflik telah berakhir. “Rundingan ini tidak menandakan penamatan perang. Sebarang perjanjian akhir bergantung kepada jaminan kepentingan Iran dan pemuktamadan butiran,” menurut kenyataan itu.
Dalam tempoh rundingan, Iran memberi jaminan bahawa laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dikekalkan melalui penyelarasan dengan angkatan tenteranya.
Rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat dijadual bermula pada Jumaat, 10 April di Islamabad di bawah pengantaraan Pakistan, dan dijangka berlangsung selama dua minggu dengan kemungkinan dilanjutkan berdasarkan persetujuan bersama.
Iran mengemukakan pelan 10 perkara sebagai asas untuk menamatkan konflik dengan Amerika Syarikat, dengan tuntutan utama agar Washington menerima program pengayaan uranium negara itu serta menarik balik semua sekatan ekonomi yang dikenakan sejak sekian lama.
Dalam satu kenyataan rasmi, Republik Islam itu turut mendakwa pelan tersebut sebagai satu “kemenangan diplomatik”, sambil menegaskan bahawa ia menuntut pengiktirafan terhadap kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, di samping penerimaan terhadap hak pengayaan nuklear dan pemansuhan sekatan utama serta sekatan tambahan oleh Amerika.
Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran menegaskan bahawa pelaksanaan pelan itu perlu disokong oleh resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan ia mengikat di bawah undang-undang antarabangsa.
“Penggunaan resolusi sedemikian akan menjadikan semua perjanjian ini mengikat di sisi undang-undang antarabangsa dan merupakan kemenangan diplomatik penting bagi Iran,” menurut kenyataan tersebut.
Pelan itu juga menuntut pengunduran tentera Amerika dari Asia Barat, penghentian semua serangan terhadap Iran dan sekutunya, pembebasan aset Iran yang dibekukan, serta pembayaran pampasan bagi kerugian akibat perang.
Selain itu, Teheran turut menggesa penamatan semua resolusi terhadapnya oleh Majlis Keselamatan PBB dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), selain menuntut agar konflik di semua medan termasuk Lebanon dihentikan sepenuhnya.
Perkara paling kritikal dalam pelan itu ialah tuntutan untuk memperluas kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan kini terjejas akibat konflik selama lima minggu itu.
Pengumuman pelan tersebut dibuat selepas Pakistan mengemukakan cadangan saat akhir bagi mengelakkan serangan besar-besaran Amerika dengan Presiden Donald Trump sebelum ini memberi amaran bahawa “seluruh tamadun akan musnah malam ini” jika tiada persetujuan dicapai.
Namun, kira-kira 90 minit sebelum tarikh akhir, Encik Trump menyatakan bahawa Washington telah menerima pelan Iran dan menyifatkannya sebagai asas rundingan yang “boleh dilaksanakan”.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, menegaskan bahawa rundingan akan diteruskan berdasarkan pelan tersebut.
“Kenyataan Presiden Trump jelas ini adalah asas yang boleh dirunding, dan perbincangan akan diteruskan,” kata Cik Leavitt. Beliau turut menambah bahawa tekanan ketenteraan Amerika memainkan peranan penting dalam memaksa Iran membuka semula Selat Hormuz.
“Hakikatnya, Presiden Trump dan kekuatan tentera kami telah menyebabkan Iran bersetuju membuka semula Selat Hormuz, dan rundingan akan diteruskan,” kata Cik Leavitt.
Walaupun begitu, masih belum jelas sama ada Washington bersetuju dengan mana-mana tuntutan Iran, termasuk isu sensitif seperti pampasan perang dan pengunduran tentera Amerika dari rantau tersebut.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata pelan 10 perkara itu akan menjadi asas perbincangan bersama cadangan 15 perkara yang dikemukakan oleh Amerika, dengan rundingan dijadual bermula di Islamabad.
Namun, beberapa tuntutan Iran dilihat bercanggah dengan dasar lama Washington.
Encik Trump sebelum ini secara terbuka mengkritik mantan Presiden Barack Obama kerana membebaskan dana Iran dalam perjanjian nuklear 2015, sekali gus menjadikan cadangan pembayaran pampasan kepada Teheran sebagai sesuatu yang sukar diterima.
Selain itu, cadangan pengunduran tentera Amerika dari Asia Barat juga bertentangan dengan strategi geopolitik Amerika selama beberapa dekad, walaupun terdapat isyarat sebelum ini bahawa Washington ingin mengurangkan kehadiran ketenteraan di rantau tersebut.
Lebih ketara, pelan Iran tidak menyebut sebarang komitmen untuk menghentikan program nuklearnya – satu isu utama yang menjadi keutamaan pentadbiran Encik Trump.
Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun rundingan bakal bermula, jurang perbezaan antara kedua-dua pihak masih besar, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pelan tersebut benar-benar mampu menamatkan konflik atau sekadar membuka ruang kepada rundingan yang lebih panjang dan mencabar. - Agensi berita

