SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Iran kuasa baharu? Perang Timur Tengah gugat dominasi AS

Iran kuasa baharu? Perang Timur Tengah gugat dominasi AS

Perang kelihatan dimenangi AS tetapi mungkin untungkan Iran
Apr 13, 2026 | 5:30 AM

Iran kuasa baharu? Perang Timur Tengah gugat dominasi AS

Rakyat Iran berarak di hadapan papan iklan besar memaparkan pemimpin tertinggi baharu yang dicalonkan, Ayatollah Mojtaba Khamenei, ketika perhimpunan Hari Al-Quds (Baitulmakdis), iaitu acara tahunan menyokong rakyat Palestin yang diadakan pada Jumaat terakhir Ramadan, di Teheran pada 13 Mac 2026.
Rakyat Iran berarak di hadapan papan iklan besar memaparkan pemimpin tertinggi baharu yang dicalonkan, Ayatollah Mojtaba Khamenei, ketika perhimpunan Hari Al-Quds (Baitulmakdis), iaitu acara tahunan menyokong rakyat Palestin yang diadakan pada Jumaat terakhir Ramadan, di Teheran pada 13 Mac 2026. - Foto AFP

TEHERAN: Gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat dengan Iran mungkin menghentikan pertempuran buat sementara waktu.

Namun, analisis terkini menunjukkan konflik itu telah mengubah keseimbangan kuasa serantau secara mendalam, dengan implikasi jangka panjang terhadap keselamatan dan ekonomi sejagat.

Selepas hampir enam minggu peperangan, kedua-dua pihak mengisytiharkan kemenangan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyifatkan operasi ketenteraan sebagai kejayaan besar, manakala pihak Iran mendakwa Washington akhirnya menerima syarat-syaratnya.

Di sebalik naratif kemenangan itu, realiti di lapangan jauh lebih rumit.

Pakar Timur Tengah, Profesor Fawaz Gerges, melihat konflik itu sebagai satu kesilapan strategik besar oleh Washington.

“Perang ini akan diingati sebagai kesilapan besar yang mengubah rantau ini dengan cara yang tidak dijangka,” katanya.

Iran Muncul dengan Kelebihan Strategik Baharu

Walaupun menjadi sasaran serangan udara berterusan, Iran bukan sahaja bertahan, malah memperkukuh kedudukannya dalam aspek tertentu.

Salah satu perubahan paling ketara adalah kawalan de facto Teheran terhadap Selat Hormuz – laluan tenaga paling penting dunia.

Profesor Sains Politik dari Universiti Chicago, Dr Robert Pape, menyifatkan keadaan itu sebagai kemunculan pusat kuasa baharu.

“Satu pusat kuasa sejagat keempat sedang muncul – Iran, bukan kerana kekuatan ekonomi atau ketenteraan semata-mata, tetapi kerana kawalannya terhadap titik tenaga paling penting di dunia,” katanya.

Sebelum perang, Selat Hormuz dianggap laluan antarabangsa yang dipantau Iran.

Namun kini, Teheran dilihat bertindak sebagai ‘penjaga pintu’, menentukan siapakah yang boleh melalui laluan tersebut dan dalam keadaan apa.

Malah, terdapat cadangan untuk mengenakan bayaran kepada kapal bagi laluan selamat.

Perubahan itu bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan peralihan kuasa yang berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi sejagat memandangkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia melalui selat tersebut.

Walaupun Washington mendakwa berjaya melemahkan program peluru berpandu Iran, Teheran masih mampu melancarkan serangan sehingga saat-saat akhir sebelum gencatan senjata.

Ini menimbulkan persoalan sama ada matlamat utama perang benar-benar tercapai.

Profesor Gerges menegaskan kegagalan mencapai matlamat utama.

“Perubahan rejim di Teheran? Tidak. Iran menyerah? Tidak. Penamatan sokongan kepada sekutu serantau? Juga tidak,” katanya.

Sebaliknya, Iran terus mengekalkan rangkaian pengaruhnya melalui kumpulan seperti Hezbollah di Lebanon; militia Syiah di Iraq; dan Houthi di Yaman.

Ini menunjukkan keupayaan proksi Iran masih utuh, malah berpotensi menjadi lebih agresif dalam persekitaran pascaperang.

Gencatan Senjata Rapuh, Negara Teluk Bimbang

Walaupun gencatan senjata memberi ruang kepada rundingan diplomatik, penganalisis memberi amaran ia hanya bersifat sementara dan berisiko tinggi untuk gagal.

Presiden Pusat Dasar Amiriah, Dr Ebtesam Al-Ketbi, menyifatkan perjanjian itu sebagai ujian terhadap niat sebenar kedua-dua pihak.

“Gencatan senjata ini bukan penyelesaian, tetapi ujian.

“Jika tidak berkembang menjadi perjanjian lebih luas, ia hanya jeda sebelum konflik yang lebih berbahaya,” katanya.

Beliau menambah, isu utama seperti peluru berpandu, dron, program nuklear dan peraturan di Selat Hormuz mesti diselesaikan secara menyeluruh.

Tanpa itu, konflik hanya akan ditangguhkan, bukan diselesaikan.

Bagi negara Teluk, keadaan itu amat membimbangkan.

Selat Hormuz merupakan nadi eksport minyak mereka, dan sebarang kawalan oleh Iran dilihat sebagai ancaman langsung.

Penganalisis Arab Saudi, Encik Ali Shihabi, menegaskan bahawa kawalan Iran ke atas selat itu adalah garis merah.

“Jika laluan ini kekal di bawah pengaruh Iran, ia akan menjadi kekalahan besar bagi Washington,” katanya.

Selain itu, cadangan Iran untuk mengenakan bayaran kepada kapal boleh memberi kesan besar kepada pasaran tenaga sejagat.

“Implikasinya sangat besar, bukan sahaja kepada rantau ini, malah, kepada ekonomi dunia,” kata Dr Ketbi.

Walaupun bermula rundingan di Islamabad, jurang antara kedua-dua pihak masih luas.

Iran menuntut pengiktirafan hak memperkaya uranium, penamatan sekatan dan pampasan perang, manakala Amerika kekal bertegas mahu menamatkan program nuklear Iran sepenuhnya.

Sumber serantau menegaskan sebarang perjanjian jangka panjang perlu disokong oleh komitmen bertulis yang jelas, termasuk jaminan keselamatan maritim dan tidak campur tangan dalam hal dalaman negara lain.

Peralihan Kuasa Belum Selesai

Gencatan senjata itu mungkin menghentikan konflik secara fizikal, tetapi ia membuka bab baharu yang lebih rumit.

Iran muncul bukan sebagai pihak yang lemah, bahkan, sebagai kuasa yang semakin berpengaruh, khususnya dalam aspek kawalan tenaga sejagat.

Pada masa sama, kegagalan menyelesaikan isu teras berpotensi mencetuskan konflik lebih besar pada masa hadapan.

Secara zahirnya, Amerika dan Israel mungkin dilihat menguasai konflik ketenteraan terhadap Iran melalui serangan udara dan operasi strategik yang berterusan.

Namun, analisis terkini menunjukkan gambaran yang lebih kompleks.

Seperti yang dirumuskan oleh Dr Pape, perubahan itu bukan bersifat sementara.

Jika berterusan, ia akan “membentuk semula aturan dunia secara kekal”.

“Apa yang sedang berlaku bukan sekadar perang, tetapi peralihan kuasa,’’ katanya.

Dalam konteks ini, gencatan senjata bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada fasa baharu persaingan geopolitik yang lebih rumit.

Kuasa tidak lagi diukur semata-mata melalui kekuatan ketenteraan, tetapi melalui kawalan terhadap sumber dan laluan strategik dunia dengan Selat Hormuz menjadi medan utama yang menentukan masa depan dunia. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg