Kebangkitan Mojtaba Khamenei: Golongan tegar Iran kukuhkan kuasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebangkitan Mojtaba Khamenei: Golongan tegar Iran kukuhkan kuasa

Isyarat struktur kuasa Iran pilih kesinambungan dan kestabilan politik dalam hadapi tekanan luar
Mar 16, 2026 | 5:30 AM

Kebangkitan Mojtaba Khamenei: Golongan tegar Iran kukuhkan kuasa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
iran
Seorang wanita memegang poster pemimpin tertinggi baru Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei (kanan), bersama gambar bapanya yang telah meninggal dunia, Ali Khamenei, ketika satu perhimpunan menyokong beliau di Dataran Enghelab, Teheran, pada 9 Mac 2026. - Foto AFP

TEHERAN: Pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi Iran menandakan satu perubahan besar dalam politik Republik Islam ketika negara itu berdepan krisis paling serius sejak Revolusi Iran 1979.

Peralihan kuasa itu berlaku selepas ayahnya, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan udara melibatkan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari.

Ia sekali gus memaksa sistem politik Iran memilih pemimpin baru ketika negara itu berada di tengah-tengah perang yang semakin meluas di Asia Barat.

Pada 9 Mac, Majlis Pakar Iran yang terdiri daripada 88 pemimpin agama mengumumkan Encik Mojtaba, 56 tahun, dipilih sebagai pengganti ayahnya.

Keputusan itu bukan sekadar pelantikan pemimpin baru, malah, satu isyarat bahawa struktur kuasa Iran memilih kesinambungan dan kestabilan politik dalam menghadapi tekanan luar.

Dengan memilih seorang Khamenei untuk menggantikan Khamenei yang lain, Republik Islam Iran cuba menunjukkan sistem pemerintahannya masih kukuh walaupun berdepan serangan ketenteraan dari luar.

Namun, di sebalik mesej kestabilan itu, pelantikan Encik Mojtaba juga menandakan kebangkitan golongan tegar dalam politik Iran, khususnya pengaruh Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Tokoh berpengaruh di sebalik tabir

Walaupun tidak pernah memegang jawatan rasmi besar dalam pemerintah, selama bertahun-tahun Encik Mojtaba dianggap sebagai tokoh berpengaruh di sebalik tabir dalam politik Iran.

Beliau diketahui bekerja rapat di pejabat ayahnya dan menjalin hubungan kuat dengan IRGC serta pasukan paramilitari Basij – dua institusi keselamatan yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan sistem Republik Islam.

Menurut Encik Reza H. Akbari dari Institut Pelaporan Perang dan Keamanan, pengaruh Encik Mojtaba banyak terbina melalui rangkaian politik generasi baru dalam sistem Iran.

“Hubungan Mojtaba kebanyakannya dengan tokoh daripada generasinya sendiri yang naik seiring dalam sistem politik Iran.

“Mereka berkongsi rangkaian, interaksi dan pandangan yang selari, terutama dalam hal keselamatan negara,” katanya.

Namun pengaruh tersebut juga disertai kontroversi.

Pengkritik mengaitkan Encik Mojtaba dengan campur tangan dalam pilihan raya serta tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, khususnya semasa krisis pilihan raya presiden Iran pada 2009.

Ramai penganalisis percaya pelantikan Encik Mojtaba akan mengukuhkan lagi peranan IRGC dalam sistem politik Iran.

Sementara itu, Encik Ali Alfoneh, dari Institut Negara-Negara Teluk Arab berkata hubungan Encik Mojtaba yang rapat dengan IRGC bermakna institusi tersebut akan menjadi sumber utama sokongan politiknya.

“Mojtaba Khamenei ialah tokoh yang agak tertutup dan tidak mempunyai ramai sekutu kuat dalam struktur politik Iran.

“Oleh itu beliau berkemungkinan bergantung lebih besar kepada IRGC untuk mengekalkan kekuasaannya,” katanya.

Pengaruh IRGC dalam kepimpinan baru itu menjadi kian penting ketika Iran berdepan serangan udara berterusan dari Amerika Syarikat dan Israel.

Sejak perang bermula pada 28 Februari, Iran telah melancarkan serangan balas terhadap Israel, pangkalan tentera Amerika di rantau itu serta beberapa negara Teluk.

Konflik itu turut melibatkan sekutu Iran seperti Hezbollah di Lebanon dan kumpulan militia pro-Iran di Iraq, sekali gus memperluaskan medan perang di seluruh Asia Barat.

Ketegangan politik dalam negara

Kekuasaan golongan tegar turut terserlah dalam perdebatan politik dalaman Iran semasa minggu pertama konflik.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pada satu ketika mengumumkan Iran akan menghentikan serangan terhadap negara jiran dan hanya bertindak balas terhadap serangan dari wilayah mereka.

Beliau juga memohon maaf kepada negara-negara Teluk yang terjejas.

Namun kenyataan itu segera ditolak oleh tokoh tegar dalam pemerintahan.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, memberi amaran bahawa keamanan di rantau itu tidak akan tercapai selagi pangkalan tentera Amerika masih berada di Asia Barat.

“Selagi kehadiran pangkalan Amerika di rantau ini berterusan, negara-negara di kawasan ini tidak akan menikmati keamanan,” katanya.

Encik Pezeshkian kemudian menarik balik kenyataannya, dan serangan Iran terhadap sasaran serantau diteruskan.

Dalam konteks ketenteraan, Iran kini dilihat menggunakan strategi pertahanan asimetri yang dikenali sebagai “pertahanan mozek”, yang memberi kuasa kepada komander tempatan untuk bertindak secara bebas sekiranya komunikasi pusat terputus.

Menurut Dr Arman Mahmoudian, dari Universiti South Florida, strategi tersebut mempunyai dua matlamat utama.

“Pertama, untuk menimbulkan tekanan ekonomi terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya. Kedua, untuk melemahkan bekalan peluru berpandu pertahanan Amerika dan negara sekutunya,” kata beliau.

Strategi itu penting kerana banyak negara Arab menggunakan sistem pertahanan udara Patriot yang sama seperti Amerika.

Golongan tegar kuasai politik

Pelantikan Encik Mojtaba turut mencerminkan perubahan dalam landskap politik Iran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Profesor Politik di Universiti Antarabangsa Florida, Dr Eric Lob, berkata institusi politik utama Iran kini dikuasai oleh golongan konservatif tegar.

Menurutnya, perubahan tersebut bukan kebetulan tetapi sebahagian daripada strategi yang dibina oleh Ali Khamenei sebelum kematiannya.

“Struktur institusi Iran hari ini jelas memihak kepada golongan tegar yang menentang pembaharuan politik dan tidak cenderung kepada hubungan dengan Amerika atau Israel,” katanya.

Walaupun kumpulan reformis dan konservatif mungkin menangguhkan persaingan politik mereka semasa perang, penganalisis menjangkakan perebutan pengaruh akan kembali muncul selepas keadaan stabil.

Encik Sina Azodi dari Universiti George Washington berkata pemimpin baru Iran masih perlu menyesuaikan diri dengan peranan besar tersebut.

“Walaupun seorang pemimpin tertinggi baru dilantik, beliau masih perlu membina pengaruh.

“Pelbagai kumpulan dalam sistem, termasuk IRGC, akan cuba memperluaskan pengaruh mereka terhadap kepimpinannya,” katanya.

Jika Republik Islam Iran berjaya bertahan daripada perang ini, negara itu mungkin muncul dengan sistem politik yang lebih berorientasi keselamatan.

Dr Trita Parsi dari Institut Quincy berkata masa depan Iran sangat bergantung kepada bagaimana konflik semasa berakhir.

“Segalanya bergantung kepada bagaimana perang ini berakhir dan sama ada sistem politik Iran mampu bertahan,” katanya.

Menurut beliau, kemungkinan besar pengaruh golongan tegar akan terus meningkat.

“Senario yang paling mungkin ialah golongan tegar menjadi semakin berkuasa dan ruang politik di Iran menjadi semakin sempit,” katanya.

Bagi Iran, pelantikan Encik Mojtaba mungkin memberi kestabilan jangka pendek ketika negara berdepan tekanan luar.

Namun, dalam jangka panjang, kepimpinannya akan menentukan sama ada Republik Islam dapat mengekalkan sistemnya atau menghadapi cabaran politik yang lebih besar di masa depan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg