NEW YORK: Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menyatakan kesediaan negaranya mencapai perjanjian dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan peperangan sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada November, sambil menegaskan Teheran tidak mahu konflik itu berlarutan.

Kenyataan itu dibuat pada 24 September di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika Iran mengemukakan cadangan baharu untuk membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari sekiranya Washington memenuhi syarat tertentu.

“Kami tidak mahu perkara ini berlarutan sehingga pilihan raya pertengahan penggal.

“Kami berharap Amerika kembali kepada memorandum persefahaman sebelum pilihan raya pertengahan penggal,” kata Encik Pezeshkian dalam pertemuan ringkas bersama NBC News dan beberapa pertubuhan media lain.

Beliau merujuk kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani kedua-dua negara pada Jun lalu, yang menggariskan rancangan gencatan senjata sementara sebelum perjanjian itu gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Pendirian Encik Pezeshkian berbeza daripada jangkaan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang sebelum ini menyatakan bahawa perjanjian dengan Iran mungkin hanya dapat dicapai selepas pilihan raya pada 3 November.

Dalam ucapannya kepada Perhimpunan Agung PBB pada 22 September, Encik Trump mendakwa Teheran sengaja menangguhkan rundingan kerana mahu melihat keputusan pilihan raya Amerika terlebih dahulu.

“Saya percaya kita akan mencapai perjanjian sejurus selepas pilihan raya kerana tidak masuk akal bagi mereka untuk tidak berbuat demikian,” katanya.

Dalam wawancara berasingan bersama Fox News, Encik Pezeshkian menegaskan bahawa Iran bersedia menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dan tidak mahu meneruskan peperangan.

“Apabila kita boleh menyelesaikan masalah melalui dialog, kita tidak sepatutnya saling membunuh,” katanya.

Beliau menuduh Israel mencetuskan peperangan melalui serangan terhadap Iran sehingga memaksa Teheran bertindak balas.

“Tetapi kami tidak mahu meneruskannya. Amerika yang perlu memilih sama ada mahu menamatkan peperangan ini atau tidak,” katanya.

Pendirian itu menyusuli ucapan beliau di PBB pada 23 September yang menegaskan Iran tidak akan tunduk kepada tekanan Washington, meskipun bersedia meneruskan usaha diplomatik.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, mengesahkan bahawa Teheran telah mengemukakan pelan baharu kepada Amerika melalui negara pengantara bagi membuka semula Selat Hormuz dan menyambung rundingan damai.

Menurutnya, cadangan tersebut membolehkan laluan perkapalan strategik itu dibuka semula dalam tempoh tujuh hari selepas Washington bersetuju memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Kami telah mengemukakan satu pelan kepada Amerika melalui pihak pengantara. Sekiranya syarat tertentu dipenuhi, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh tujuh hari dan rundingan akan disambung,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa syarat yang dikemukakan bukan tuntutan baharu, sebaliknya berdasarkan memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara di Islamabad pada Jun lalu.

Antara syarat utama ialah Washington menerima pengaturan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz yang telah dipersetujui Iran dengan Oman, selain mengambil langkah mengurangkan tekanan ketenteraan dan sekatan terhadap Teheran.

Cadangan itu menyusuli pertemuan Encik Araghchi dengan utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, serta menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, di luar Perhimpunan Agung PBB.

Bagaimanapun, pertemuan tersebut belum menghasilkan persetujuan yang dapat membuka jalan kepada penamatan peperangan.

Selat Hormuz menjadi antara isu utama dalam rundingan kerana laluan itu mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia sebelum peperangan tercetus.

Sekatan terhadap laluan berkenaan telah mengganggu bekalan tenaga antarabangsa dan meningkatkan tekanan terhadap ekonomi dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumah Putih mempertahankan tindakan ketenteraan Amerika dengan menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Anna Kelly, menuduh pemerintahan Iran melakukan pengganasan dan melancarkan serangan terhadap negara jirannya.

Encik Pezeshkian pula menegaskan bahawa Iran terbuka kepada pemeriksaan kemudahan nuklearnya, sambil mengulangi pendirian Teheran bahawa program nuklear negara itu bertujuan awam.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa pemerintah Iran merancang membunuh Encik Trump atau anggota keluarganya.

Walaupun kedua-dua negara menyatakan kesediaan untuk berunding, perbezaan mengenai syarat gencatan senjata, sekatan ekonomi dan pembukaan Selat Hormuz masih menjadi halangan utama kepada sebarang perjanjian.

Cadangan tujuh hari Iran kini menyediakan satu rangka kerja baharu untuk rundingan, tetapi pelaksanaannya bergantung pada persetujuan Washington terhadap syarat yang dikemukakan Teheran. – Agensi berita.