Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarapan kembali selepas AS, Iran adakan rundingan buat kali pertama dalam beberapa bulan
Harapan kembali selepas AS, Iran adakan rundingan buat kali pertama dalam beberapa bulan
Harapan kembali selepas AS, Iran adakan rundingan buat kali pertama dalam beberapa bulan
DUBAI: Rundingan secara tidak langsung pertama antara Amerika Syarikat dengan Iran dalam tempoh beberapa bulan mencetuskan harapan pada 23 September bahawa kedua-dua negara yang bermusuhan itu mungkin mencapai kemajuan ke arah menamatkan perang di Timur Tengah.
Namun, kedua-dua pihak tidak menyatakan sebarang perubahan dalam pendirian mereka.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, dan wakil Amerika, Encik Steve Witkoff serta Encik Jared Kushner, berkomunikasi melalui orang tengah di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Ini merupakan hubungan seumpama itu yang pertama sejak perjanjian gencatan senjata sementara gagal pada Julai.
“Steve dan Jared mengadakan pertemuan yang sangat produktif hari ini dengan orang tengah Iran. Kita lihat apa yang berlaku selepas ini,” kata Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
“Mereka telah berunding melalui orang tengah untuk beberapa ketika, tetapi saya fikir terdapat harapan untuk mereka mencapai satu perjanjian. Itulah yang kami dengar daripada semua pihak.”
Sebelum itu, Encik Trump memberitahu Perhimpunan Agung PBB dalam ucapannya bahawa beliau perlu membuat keputusan sama ada untuk mencapai perjanjian dengan Iran atau “memusnahkan” negara itu.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, dijadualkan berucap pada persidangan tersebut pada 23 September.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, berkata Teheran telah berhubung dengan Amerika melalui orang tengah dari Qatar di New York dan menyampaikan beberapa syarat, termasuk menamatkan perang di semua medan serta menghentikan “tindakan pencerobohan” Amerika.
Sesetengah media pemerintah Iran sebelum ini melaporkan bahawa Encik Araqchi dan Encik Witkoff telah bertemu, tetapi pegawai Iran menjelaskan kepada Reuters bahawa pertemuan itu bukan secara bersemuka.
Encik Araqchi bertemu Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang merupakan salah seorang orang tengah utama dalam rundingan terdahulu.
Pembukaan diplomatik itu membantu mengekalkan harga minyak berhampiran paras terendah dalam tempoh dua minggu. Harga minyak mentah Brent kini kekal di bawah AS$100 setong ($128). - Reuters.