TEHERAN/WASHINGTON: Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menafikan dakwaan Teheran merancang melaksana hukuman mati terhadap penunjuk perasaan antipemerintah, susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang berkata beliau menerima jaminan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan di Iran telah dihentikan.
Dalam wawancara bersama Fox News pada 14 Januari, Encik Araghchi menegaskan tiada sebarang rancangan untuk menggantung atau menghukum mati penunjuk perasaan.
“Tiada langsung rancangan untuk hukuman gantung. Hukuman gantung adalah sesuatu yang tidak dipertimbangkan,” katanya apabila ditanya mengenai kemungkinan pelaksanaan hukuman mati.
Kenyataan Encik Araghchi itu dibuat selepas Encik Trump sebelum ini memberitahu wartawan beliau telah dimaklumkan pembunuhan terhadap penunjuk perasaan di Iran telah dihentikan dan rancangan pelaksanaan hukuman mati turut dibatalkan.
Bercakap beberapa jam selepas Amerika mula menarik keluar sebahagian kakitangan dari sebuah pangkalan udara di Qatar susulan kebimbangan konflik baru antara Washington dengan Teheran, Encik Trump berkata beliau menerima maklumat tersebut daripada “sumber yang sangat penting di pihak bertentangan”.
“Kami akan melihat bagaimana proses ini berkembang,” kata Encik Trump, sambil menambah bahawa pentadbirannya menerima satu “kenyataan yang sangat baik” daripada Iran.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan Amerika sekiranya keadaan kembali meruncing.
Pemerhati menilai kenyataan Encik Trump pada 14 Januari itu sebagai satu perubahan nada yang lebih lunak terhadap Iran.
Pendapat Encik Trump dilihat sebagai isyarat meredakan kebimbangan bahawa kekerasan di Iran mungkin mencetuskan konflik serantau yang lebih luas atau tindak balas ketenteraan Amerika.
“Beliau masih mempertimbangkan pelbagai pilihan dan telah menerima taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara, tetapi kenyataan ini menunjukkan potensi penyejukan keadaan dan Encik Trump mula berundur daripada ancaman tindakan segera yang sebelum ini dilontarkan,” lapor Al Jazeera.
Penganalisis dasar luar turut berhati-hati dalam mentafsir kenyataan tersebut.
Zamil Kanan Bukan Pemastautin di Pusat Dasar Antarabangsa,Encik Sina Toossi, berkata dakwaan Encik Trump bahawa pembunuhan telah dihenti kelihatan lebih sebagai satu usaha menyelamatkan imej politik bagi mengelakkan keperluan campur tangan ketenteraan.
“Sukar untuk menerima kenyataan Trump sepenuhnya pada permukaan, tetapi kita tahu beliau cenderung mengelak konflik ketenteraan berskala besar yang berpanjangan,” kata beliau.
“Kenyataan ini menunjukkan beliau sedang mencari jalan keluar yang tidak memalukan, namun, ia tidak sepenuhnya menutup kemungkinan konflik.”
Encik Toossi turut mengingatkan bahawa Encik Trump mempunyai rekod menggabungkan ugutan ketenteraan dengan usaha rundingan, khususnya dalam hubungannya dengan Iran.
Encik Trump sebelum ini beberapa kali mengancam Iran dengan serangan ketenteraan sebagai tekanan terhadap Teheran agar mematuhi tuntutan Amerika.
Dalam tempoh seminggu lalu, beliau berkata tindakan keras pemerintah Iran terhadap penunjuk perasaan boleh mencetuskan serangan Amerika.
Zamil terkemuka di Pusat Stimson di Washington, Cik Barbara Slavin, berkata Encik Trump kelihatan terperangkap antara keinginan untuk bertindak tegas dengan keengganan terlibat dalam konflik berpanjangan di Asia Barat.
“Beliau mungkin mahukan satu lagi kemenangan pantas, tetapi saya tidak fikir beliau mahu terheret ke dalam konflik panjang di Asia Barat yang bercanggah dengan nalurinya,” kata Cik Slavin.
Beliau menjangkakan sebarang tindakan ketenteraan, jika berlaku, bersifat terhad bagi membolehkan Encik Trump mendakwa beliau menunaikan janji untuk ‘membantu’ rakyat Iran tanpa mencetuskan peningkatan konflik yang lebih luas.
Terdahulu pada 14 Januari, Britain dan Amerika menarik keluar sebahagian kakitangan dari Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, selepas seorang pegawai kanan Iran memberi amaran Teheran akan menyerang pangkalan Amerika di rantau itu jika Washington melancarkan serangan.
Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata, langkah menarik keluar sebahagian anggota dari pangkalan utama di rantau itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ketegangan yang memuncak.
Qatar memaklumkan pengurangan anggota di Pangkalan Udara Al Udeid, pangkalan terbesar Amerika di Asia Barat, dibuat ‘sebagai tindak balas terhadap ketegangan serantau semasa’.
Tiga diplomat berkata, sebahagian anggota telah diarah meninggalkan pangkalan itu.
Britain turut menarik keluar sebahagian anggotanya dari sebuah pangkalan udara di Qatar menjelang kemungkinan serangan Amerika, lapor akhbar, The I Paper.
Kementerian Pertahanan Britain bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Beberapa negara lain turut mengeluarkan nasihat keselamatan kepada rakyat masing-masing susulan kebimbangan peningkatan konflik serantau.
Media Amerika NewsNation melaporkan Pentagon sedang menggerakkan kumpulan kapal induk dari Laut China Selatan ke Asia Barat, namun laporan itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Iran menegaskan kesediaannya bertindak balas terhadap sebarang campur tangan Amerika.
Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Encik Mohammad Pakpour, berkata Iran berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk bertindak balas terhadap “salah perhitungan musuh”.
“IRGC berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum untuk bertindak tegas terhadap salah perhitungan musuh,” katanya dalam satu kenyataan bertulis yang dipetik televisyen negara.
Beliau menuduh Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebagai “pembunuh belia Iran”.
Encik Araghchi pula menegaskan kerajaan Iran mengawal sepenuhnya keadaan selepas tindakan keras terhadap bantahan yang tercetus sejak 8 Januari.
“Selepas tiga hari operasi pengganas, kini keadaan kembali tenang. Kami berada dalam kawalan penuh,” katanya.
Protes bermula pada lewat Disember apabila peniaga turun ke jalan membantah kejatuhan nilai mata wang dan peningkatan kos sara hidup, sebelum berkembang menjadi demonstrasi antipemerintah di seluruh negara.
Televisyen negara Iran mengakui angka korban tinggi, sambil menyalahkan “kumpulan bersenjata dan pengganas”.
Agensi hak asasi berpangkalan di Amerika, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia melaporkan lebih 2,400 penunjuk perasaan terbunuh, manakala Amnesty International menyatakan terdapat bukti “pembunuhan haram secara besar-besaran” oleh pasukan keselamatan, termasuk tembakan terus ke arah penunjuk perasaan yang kebanyakannya aman.
Angka itu bagaimanapun belum dapat disahkan secara bebas.
Pihak berkuasa Iran berusaha mempamerkan imej mereka masih mendapat sokongan rakyat.
Televisyen kerajaan Iran menyiarkan rakaman perarakan pengebumian besar-besaran bagi individu yang terbunuh dalam rusuhan di Teheran, Isfahan, Bushehr dan bandar lain.
Orang ramai dilihat mengibarkan bendera serta gambar Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, selain mengangkat sepanduk dengan slogan menentang rusuhan – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg