Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump gesa rakyat Iran teruskan protes, beri bayangan bantuan bakal tiba

Trump ikrar akan ambil ‘tindakan yang sangat tegas’ sekiranya Iran menggantung penunjuk perasaan
Jan 14, 2026 | 10:39 AM
Foto yang dikeluarkan pada 7 Januari 2026 oleh pejabat media Tentera Iran menunjukkan para pelajar akademi ketenteraan mendengar ucapan Ketua Tentera Iran, Jeneral Amir Hatami (tidak kelihatan), di Teheran.
Ketua tentera Iran itu memberi amaran bahawa negara tersebut tidak akan berdiam diri dan membiarkan dirinya diancam oleh kuasa luar, susulan sokongan Amerika Syarikat dan Israel terhadap protes anti-kerajaan di Iran.
“Republik Islam Iran menganggap peningkatan retorik bermusuhan terhadap rakyat Iran sebagai satu ancaman dan tidak akan bertolak ansur terhadap kesinambungannya tanpa sebarang tindak balas,” kata Jeneral Amir Hatami, seperti dipetik oleh agensi Fars.
Foto yang dikeluarkan pada 7 Januari 2026 oleh pejabat media Tentera Iran menunjukkan para pelajar akademi ketenteraan mendengar ucapan Ketua Tentera Iran, Jeneral Amir Hatami (tidak kelihatan), di Teheran. Ketua tentera Iran itu memberi amaran bahawa negara tersebut tidak akan berdiam diri dan membiarkan dirinya diancam oleh kuasa luar, susulan sokongan Amerika Syarikat dan Israel terhadap protes anti-kerajaan di Iran. “Republik Islam Iran menganggap peningkatan retorik bermusuhan terhadap rakyat Iran sebagai satu ancaman dan tidak akan bertolak ansur terhadap kesinambungannya tanpa sebarang tindak balas,” kata Jeneral Amir Hatami, seperti dipetik oleh agensi Fars. - Foto AFP

WASHINGTON/TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pembatalan semua pertemuan dengan pegawai Iran dan secara terbuka menggesa penunjuk perasaan di negara itu supaya “mengambil alih institusi mereka sendiri”, ketika Teheran memperketat tindakan terhadap gelombang protes terbesar yang dihadapi negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam satu hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, pada 13 Januari, Encik Trump berkata bahawa “bantuan sedang dalam perjalanan”, namun enggan memberikan sebarang butiran lanjut mengenai maksud kenyataan tersebut. Kenyataan itu dibuat ketika beliau secara terbuka tidak menolak kemungkinan mengarahkan serangan ketenteraan terhadap Iran.

“Patriot Iran, TERUSKAN PROTES – AMBIL ALIH INSTITUSI ANDA!!! Simpan nama pembunuh dan penindas. Mereka akan membayar harga yang mahal,” tulis EncikTrump dalam kenyataan tersebut.
Beliau turut menambah: “Saya telah membatalkan semua pertemuan dengan pegawai Iran sehingga pembunuhan tidak masuk akal terhadap penunjuk perasaan BERHENTI. BANTUAN SEDANG DALAM PERJALANAN. MIGA!!!”

Kenyataan keras itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Washington dan Teheran, ketika Iran berdepan tekanan dalaman akibat protes besar-besaran, sementara Amerika Syarikat meningkatkan ancaman ekonomi dan ketenteraan sebagai alat tekanan politik.

Ketika ditanya oleh wartawan mengenai maksud sebenar kenyataannya bahawa “bantuan sedang dalam perjalanan”, Encik Trump enggan menjelaskan dengan terperinci. “Anda perlu menafsirkannya sendiri. Saya minta maaf,” katanya ringkas.

Dalam satu wawancara susulan bersama CBS News, Encik Trump sekali lagi memberi amaran bahawa sekiranya pemerintah Iran melaksanakan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan, Amerika Syarikat akan mengambil “tindakan yang sangat kuat”. Namun beliau mengakui belum menerima “angka yang tepat” mengenai jumlah korban setakat ini.

Menurut Kumpulan Hak Asasi Iran yang berpangkalan di Norway, hukuman gantung adalah amalan biasa di penjara Iran.

Hengaw, sebuah kumpulan hak asasi Kurdi Iran, melaporkan, seorang lelaki berusia 26 tahun, Enci Erfan Soltani, yang ditahan berkaitan protes di bandar Karaj akan dihukum mati pada 14 Januari. Menurut Hengaw yang memetik sumber rapat dengan keluarga, pihak berkuasa memaklumkan kepada keluarga mangsa, hukuman mati itu adalah muktamad.

Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas dan media negara itu juga tidak melaporkan sebarang hukuman mati setakat ini.

Ketua keselamatan Iran, Encik Ali Larijani, di platform X pula menyelar Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu sebagai ‘pembunuh utama’ rakyat Iran. Pihak berkuasa Iran menuduh Amerika menjadi dalang di sebalik kekacauan tersebut. Panglima tertinggi tentera Iran, Encik Abdolrahim Mousavi, mendakwa Amerika Syarikat dan Israel telah mengerahkan anggota kumpulan ISIS ke dalam Iran untuk melancarkan serangan, walaupun tidak mengemukakan bukti.

Menteri Luar Iran, EncikAbbas Araghchi, sebelum ini mendakwa pihak berkuasa memiliki rakaman suara dari luar negara yang mengarahkan “ejen pengganas” supaya menembak polis dan penunjuk perasaan.

Encik Araqchi turut berkata beliau terus berhubungan dengan utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff dan Teheran sedang mengkaji idea yang dikemukakan Washington.

Menurut laporan Axios, Encik Witkoff sebelum ini bertemu Reza Pahlavi, anak kepada Shah terakhir Iran yang hidup dalam buangan dan suara penting dalam pembangkang yang berpecah-belah, pada hujung minggu lalu.

Encik Pahlavi juga menggesa supaya Encik Trump segera campur tangan di Iran manakala pihak berkuasa Iran menuduh AS dan Israel menghasut ketegangan dan rusuhan.

Russia mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘campur tangan luaran bersifat subversif’ dalam politik dalaman Iran dan memberi amaran sebarang ulangan serangan Amerika seperti tahun 2025 akan membawa ‘malapetaka’ kepada Asia Barat dan keselamatan antarabangsa.

Penganalisis memberi amaran bahawa sebarang serangan Amerika Syarikat ke atas Iran, yang berkemungkinan melanggar undang-undang antarabangsa, boleh membawa kesan tidak dijangka dan memburukkan lagi keadaan di negara itu. “Rakyat Iran kini terperangkap antara sebuah rejim yang represif dan ancaman pencerobohan asing,” kata Encik Ali Vaez, Pengarah Projek Iran di Kumpulan Krisis Antarabangsa dalam satu wawancara televisyen bersama Al Jazeera. Menurut Encik Vaez, jika kepimpinan tertinggi Iran digulingkan secara paksa, senario selepas itu amat tidak menentu.

“Jika berlaku pemenggalan politik di puncak sistem Iran, apa yang akan menyusul? Tiada pembangkang yang teratur dan berdaya maju di dalam Iran yang mampu mengambil alih dengan segera. Senario paling mungkin ialah unsur paling keras dalam Pengawal Revolusi akan menguasai keadaan,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa kekosongan kuasa di Iran berpotensi mencetuskan kekacauan ganas dan konflik dalaman, seperti yang pernah berlaku di Libya, Syria, Yaman dan Iraq.

Beberapa negara termasuk Perancis dan Qatar berusaha meredakan ketegangan. Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengadakan perbualan telefon dengan Encik Ali Larijani dan menegaskan sokongan Doha terhadap usaha mengurangkan ketegangan dan penyelesaian secara aman.

Encik Araqchi juga dilaporkan berbincang dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, mengenai perkembangan terkini krisis tersebut.

Encik Trump dalam beberapa hari kebelakangan ini telah berulang kali memberi amaran bahawa tindak balas keras pihak berkuasa Iran terhadap penunjuk perasaan boleh mencetuskan “tindakan sangat tegas” daripada Amerika Syarikat, termasuk serangan ketenteraan.

Pada 12 januari, Encik Trump mengumumkan bahawa mana-mana negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Iran akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat. Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi untuk mengasingkan Teheran di peringkat global.

Sehari kemudian, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan amaran keselamatan yang menggesa warganya supaya “meninggalkan Iran sekarang” berikutan peningkatan ketegangan dan ketidakstabilan keselamatan.

Iran sekian lama dikenakan sekatan berat Amerika dan mengeksport sebahagian besar minyaknya ke China dan Turkiye, Iraq, Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta India, yang juga antara rakan dagang utamanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg